Muhyiddin tidak boleh membiarkan dirinya dibuli kumpulan 14

- Advertisement -

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh membenarkan dirinya dibuli oleh 14 orang ahli Parlimen UMNO yang menarik diri dari kerajaan dan juga burung-burung hering yang menjadi broker politik bagi mewujudkan ketidakstabilan dan menaikkan calon Perdana Mneteri lain.

Tanggungjawab beliau ialah memastikan kestabilan politik negara dengan mengurus negara mengikut perundangan dan Perlembagaan Persekutuan. Membenarkan kemelut politik ketika pandemik sedangkan tidak diperlukan oleh Perlembagaan Persekutuan adalah satu tindakan tidak bertanggung jawab.

Tindakan Muhyiddin mencadangkan kepada  Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah untuk mengadakan usul undi percaya kepada di sidang Parlimen September ini adalah tidak selari dengan kepentingan rakyat dan negara.

Sebagai pemimpin dalam sistem demokrasi, Muhyiddin perlu menguruskan negara ini mengikut acuan Perlembagaan bukan menjaga hati dan perasaan orang lain. Muhyiddin tidak harus membiarkan diri beliau dibuli oleh 14 orang ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap beliau.

Dalam Perlembagaan dan konvensyen pentadbiran sedia ada kedudukan Muhyiddin tidak terjejas dengan penarikan sokongan 14 orang ahli Parlimen ini. Ada dua perkara yang boleh menjatuhkan Muhyiddin Yassin tanpa melalui pilihan raya atau peletakan jawatan.

Pertama, ada seorang ahli Parlimen lain boleh menunjukkan kepada Al-Sultan Abdullah bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen bagi mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Ini diamalkan dalam kes pertukaran kerajaan negeri Perak pada 2009. Datuk Seri Mohd Zambry Abdul Kadir mengadap Sultan Perak memaklumkan beliau mempunyai majoriti untuk mengambil alih jawatan Menteri Besar. Setelah bertemu semua Ahli Dewan Undangan Negeri Perak yang dikemukakan oleh Zambry, baginda berpuash hati Zambry mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu. Tindakan ini kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Kedua, Muhyiddin kalah dalam usul undi percaya atau pembentangan belanjawan di Parlimen. Dalam hal usul undi percaya, ia hanya boleh dikemukakan dalam sidang Parlimen dan bukan tuntutan Perlembagaan untuk kerajaan membentangkannya.

Tanpa dua perkara ini Yang Di Pertuan Agong tiada kuasa memecat Perdana Menteri hanya kerana Baginda berpendapat Perdana Menteri telah hilang sokongan.

Kuasa baginda dalam pelantikan Perdana Menteri hanya berdasarkan Perkara 3(2)(b) menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

Oleh kerana sehingga hari ini tiada seorang individu pun membuktikan kepada Al-Sultan Abdullah bahawa mereka mempunyai sokongan majoriti. Jadi Al-Sultan Abdullah tiada kuasa meminta Muhyiddin mengosongkan jawatan, membuat pelantikan baharu atau meminta Muhyiddin membuktikan beliau cukup sokongan.

Jika Presiden UMNO mahu menjatuhkan Muhyiddin mereka perlu mengemukakan calon Perdana Menteri yang mereka sokong dan membuktikan ada majoriti. Mereka tidak boleh sesuka hati membawa negara ini ke lembah kemelut politik tanpa penyelesaian.

Muhyiddin tidak boleh membiarkan dirinya dan kerajaan dibuli oleh kumpulan 14 orang ahli parlimen UMNO ini. Sama ada beliau membuat usul undi percaya atau tidak, beliau tetap tidak akan mendapat sokongan semua pihak kerana terlalu ramai ahli parlimen yang mementingkan agenda peribadi.

Apa yang perlu dilakukan oleh Muhyiddin ialah mengatakan tidak kepada semua pembuli politik ini dengan menguruskan negara mengikut undang-undang negara.

Ini kerana pada akhirnya, sama ada jatuh pada bulan September atau Disember nanti (ketika pengundian belanjawan), Muhyiddin akan tetap dikecam oleh musuhnya. Tidak ada penyokong UMNO dan pemimpin UMNO dalam kumpulan 14 ini akan memuji beliau kerana berani melakukan usul undi percaya di Parlimen.

Ada sesuatu yang Muhyiddin boleh lakukan untuk dikenang oleh rakyat biasa ialah menunjukkan keberanian menguruskan negara dalam keadaan pandemik sehingga tiba masanya berhadapan di Parlimen.

Malahan Muhyiddin juga tidak perlu teragak-agak menggunakan ordinan darurat masih berkuatkuasa sehingga Januari 2022 kerana ordinan ini tidak mendapat perkenan pemansuhan oleh Al-Sultan Abdullah. Ia secara langsung membolehkan ordinan ini terus diguna pakai sehinggga enam bulan selepas tamat proklamasi darurat 1  Ogos lalu.

Muhyiddin harus berani mempertahankan kerajaan ini mengikut kehendak Perlembagaan dan perundangan.

Negara ini perlu diuruskan mengikut Perlembagaan bukan kehendak dan hawa nafsu sesiapa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat