Jemaah Menteri Setuju Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja Berkaitan Isu Tommy Thomas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi meneliti secara menyeluruh Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata penubuhan itu selaras Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, mengikut bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja itu, katanya, bertujuan mencari kebenaran serta mengemuka syor kepada kerajaan bagi reformasi institusi perundangan, bukannya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.

Beliau berkata, terma tauliah yang terperinci, keahlian dan tempoh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) itu bagaimanapun akan dicadangkan kemudian oleh kerajaan.

“Laporan pasukan berkenaan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini. Setelah meneliti syor dicadangkan Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan Datuk Seri Fong Joo Chung dalam laporannya, Kabinet bersetuju antara lain, mengenai cadangan penubuhan RCI bagi meneliti perkara ini secara holistik.

“Kerajaan memandang serius terhadap dakwaan membabitkan pelanggaran tanggungjawab profesional suatu jawatan tertinggi. Ini kerana ketelusan dan akauntabiliti adalah asas kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan dan institusi kerajaan.

“Oleh itu, cadangan Terma Tauliah RCI ini akan mempunyai skop lebih luas dan tidak terhad kepada syor dikemuka Pasukan Petugas Khas,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

BH sebelum ini, melaporkan syor terhadap dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang kini didedahkan kepada awam apabila Jemaah Menteri terdahulu menyahklasifikasikan hasil siasatan itu pada 13 Oktober lalu.

Pasukan Petugas Khas berkenaan juga mengesyorkan bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Tommy Thomas disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan (membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

Hasil siasatan terbabit antara lain mencadangkan Jabatan Audit Negara serta agensi lain menjalankan audit serta siasatan lain mengenai kemungkinan salah laku Tommy sepanjang menjadi AG.

Ia menegaskan, siasatan perlu memberi tumpuan terhadap pelbagai perkara dan tidak dihadkan kepada pendakwaan kes berprofil tinggi, pelantikan peguam luar dan penubuhan tribunal Suruhanjaya Pilihan Raya.

Audit dan siasatan berkenaan juga bagi menentukan jika ada pekeliling atau arahan dikeluarkan bekas AG yang bertentangan dengan jawatan sebagai penjawat awam.

Pasukan Petugas Khas itu turut mengesyorkan agar peranan pendakwa raya diasingkan daripada AG kerana peranan AG sepatutnya terhad kepada menasihati Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan dalam hal ehwal undang-undang.

Selain menentukan sama ada sesuatu kes boleh didakwa dan menjalankan pendakwaan, Pasukan Petugas Khas itu berkata, pendakwa raya seharusnya boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja mengenai pengampunan atau pengurangan hukuman.

Laporan Pasukan Petugas Khas itu boleh diakses melalui laman sesawang rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Orang ramai boleh mengakses laporan dalam bahasa Inggeris mengandungi 225 muka surat itu selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan menyahklasifikasikan laporan berkenaan. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat