Ada Pihak Kurang Senang Tindakan Tegas Selangor Tangani Pencemaran Air – MB

- Advertisement -

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan insiden pencemaran bau di Sungai Selangor, hari ini mungkin berpunca daripada rasa kurang senang pihak tertentu terhadap tindakan tegas kerajaan negeri dalam menangani isu berkenaan.

Amirudin berkata, kerajaan negeri serius menangani isu itu untuk memastikan kejadian pencemaran sumber air di negeri itu tidak terus berulang.

“Saya menganggap ini adalah satu cabaran kepada kerajaan negeri atas usaha kita menyelesaikan isu air apatah lagi insiden berkenaan (pembuangan bahan seakan pelarut ke lurang kumbahan Indah Water Konsortium) sudah lama tidak berlaku.

“Insiden sama berlaku pada tahun lalu. Saya dimaklumkan pencemaran kini di tahap dua TON dan harapannya agar malam ini Loji Rawatan Air (LRA) akan dapat beroperasi seterusnya gangguan bekalan air tidak berlaku dalam tempoh yang panjang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, pelaku disyaki sudah mengenal pasti trend pemantauan dilakukan pihaknya kerana pembuangan bahan seakan pelarut itu dipercayai dilakukan di luar waktu kawalan penguatkuasa.

Beliau berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) (Pindaan) 2020 diluluskan semalam juga masih belum boleh digunakan.

Katanya, penasihat undang-undang perlu menghantar notis kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan RUU berkenaan boleh disahkan selepas baginda menandatanganinya atau sebulan daripada tempoh kelulusan DUN.

“Justeru, kita masih belum boleh menggunapakai undang-undang itu. Bagaimanapun, sudah saya sebutkan, kita ada beberapa lagi undang-undang iaitu Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Berkenaan rancangan kerajaan negeri (penggunaan teknologi), ia akan mengambil masa 15 ke 18 bulan seperti yang diumumkan dalam belanjawan,” katanya.

Terdahulu, empat LRA iaitu fasa satu, dua dan tiga serta Rantau Panjang di sini, terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau seakan-akan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor sekitar 12.20 hingga 12.45 tengah hari tadi.

Susulan itu, Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat, akan mengalami gangguan bekalan air mulai jam 6 petang ini. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat