Pendapatan Garis Kemiskinan Terbaru Dinaikkan Kepada RM2,208

- Advertisement -

Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) disemak kepada RM2,208 berdasarkan pengiraan yang dibuat mengikut metodologi pada 2019, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Sebelum ini, PGK dikira berdasarkan metodologi pada 2005 yang menjadikan penanda aras kemiskinan pada RM980 berdasarkan keperluan asas untuk isi rumah hidup sihat dan aktif.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, semakan PGK itu adalah berdasarkan keperluan semasa yang menekankan kepada pengambilan makanan optimum dan keperluan asas bukan makanan yang lebih berkualiti.

“Malah, pengelasan isi rumah kepada 10 kategori adalah berdasarkan kelompok 10 peratus dan Pendapatan Boleh Guna yang boleh dijadikan sebagai salah satu ukuran pilihan bagi analisis agihan pendapatan serta alternatif ukuran kemiskinan iaitu Indeks Kemiskinan pelbagai Dimensi (MPI) dan Kemiskinan Relatif turut disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bertajuk Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas dan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia, 2019 yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Uzir berkata, insiden kemiskinan mutlak bertambah baik daripada 7.6 peratus pada 2016 kepada 5.6 peratus pada 2019 dan kemiskinan tegar adalah 0.4 peratus pada 2019 berbanding 0.6 peratus pada 2016.

Selain itu, nilai pekali Gini meningkat sebanyak 0.008 mata indeks daripada 0.399 (2016) kepada 0.407 (2019) yang menunjukkan jurang pendapatan isi rumah semakin melebar.

Bagaimanapun, berdasarkan pendapatan boleh guna, nilai pekali Gini adalah 0.393.

Sementara itu, beliau berkata, pendapatan penengah tumbuh sederhana pada 3.9 peratus setahun kepada RM5,873 pada 2019, manakala pendapatan purata pula meningkat 4.2 peratus setahun kepada RM7,901.

Tujuh negeri mencatatkan pendapatan penengah melepasi paras nasional manakala Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor merekodkan nilai pendapatan purata lebih tinggi daripada paras nasional iaitu RM7,901.

Sementara itu perbelanjaan purata isi rumah meningkat kepada 3.9 peratus pada 2019.

Pendapatan isi rumah penengah di bandar mencatatkan peningkatan pada kadar 3.8 peratus daripada RM5,860 pada 2016 kepada RM6,561 manakala pendapatan isi rumah penengah di luar bandar turut bertambah pada kadar 3.3 peratus bagi tempoh yang sama iaitu daripada RM3,471 kepada RM3,828.

Pendapatan isi rumah purata di bandar pula meningkat 3.9 peratus setahun daripada RM7,671 kepada RM8,635 manakala di luar bandar, pendapatan isi rumah purata adalah RM5,004 pada 2019, naik 0.8 peratus lebih tinggi daripada paras nasional sebanyak 4.6 peratus.

Kuala Lumpur mencatatkan pendapatan penengah tertinggi iaitu RM10,549 diikuti Putrajaya (RM9,983), Selangor (RM8,210), Labuan (RM6,726), Johor (RM6,427), Pulau Pinang (RM6,169) dan Melaka (RM6,054).

Putrajaya mencatatkan peningkatan tertinggi kadar pertumbuhan tahunan dikompaun bagi pendapatan penengah iaitu 6.3 peratus dalam tempoh 2016 hingga 2019 iaitu lebih 1.6 kali ganda daripada kadar pertumbuhan penengah nasional, 3.9 peratus

Lapan negeri lain yang juga melepasi kadar pertumbuhan penengah nasional, iaitu Terengganu (5.6 peratus), Kuala Lumpur (5.0 peratus), Kelantan (4.9 peratus), Pulau Pinang (4.4 peratus), Johor (4.3 peratus), Selangor (4.3 peratus), Labuan (4.2 peratus) dan Kedah (4.2 peratus).

Pendapatan isi rumah boleh guna bulanan penengah RM5,116 pada 2019 meningkat 4.2 peratus daripada RM4,513 pada 2016, manakala, pendapatan isi rumah boleh guna bulanan purata adalah RM6,764 daripada RM5,928 yang dicatatkan pada 2016.

Pendapatan boleh guna purata yang direkodkan pada 2019 meliputi 85.6 peratus dari jumlah pendapatan kasar purata.

Mohd Uzir berkata, Kajian Perbelanjaan Isi Rumah turut menunjukkan permintaan kepada sektor perkhidmatan oleh isi rumah turut meningkat dengan komposisi perbelanjaan bagi komponen perkhidmatan naik kepada 52.1 peratus pada 2019.

Corak perbelanjaan penggunaan isi rumah kekal kepada kumpulan utama perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api (23.6 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (17.3 peratus); restoran dan hotel (13.9 peratus) dan pengangkutan (13.5 peratus) yang menjadi empat kumpulan perbelanjaan tertinggi merangkumi 68.3 peratus daripada jumlah perbelanjaan isi rumah di Malaysia pada 2019.

Selari dengan pembangunan negara, komposisi perbelanjaan bagi kesihatan dan pendidikan merekodkan peningkatan 0.2 mata peratus pada 2019.

Perbelanjaan ke atas komunikasi kekal tidak berubah pada 5.0 peratus, manakala kumpulan utama lain yang menjurus kepada perbelanjaan pilihan pengguna turut meningkat.

Perbelanjaan rekreasi dan kebudayaan masing-masing meningkat 0.3 dan 0.1 mata peratus manakala hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah pula menokok 0.2 mata peratus.

Secara keseluruhan, perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata tumbuh pada kadar 3.9 peratus setahun selari dengan pertumbuhan sederhana pendapatan isi rumah bulanan purata 4.2 peratus bagi tempoh 2016 hingga 2019

Dari segi nilai, perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata meningkat daripada RM4,033 pada 2016 kepada RM4,534 pada 2019 manakala perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan penengah mencatatkan RM3,654 pada 2019 berbanding RM3,314 pada 2016.

Perbelanjaan penggunaan isi rumah di kawasan bandar menunjukkan peningkatan pada 3.7 peratus setahun daripada RM4,402 kepada RM4,916 manakala, di luar bandar meningkat pada kadar 3.6 peratus setahun daripada RM2,725 kepada RM3,038 bagi tempoh 2016 hingga 2019.

Secara tidak langsung, ini menggambarkan perbelanjaan penggunaan isi rumah purata di kawasan bandar adalah 1.6 kali lebih tinggi daripada di luar bandar.

Peningkatan perbelanjaan di bandar ini juga adalah dalam jajaran yang setara dengan peningkatan pendapatan purata isi rumah iaitu 1.7 kali lebih tinggi (RM8,635) berbanding kawasan luar bandar (RM5,004).

Di peringkat negeri, perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata tertinggi direkodkan di Putrajaya (RM7,980).

Lima negeri lain turut mencatatkan perbelanjaan penggunaan isi rumah melebihi purata nasional (RM4,534) iaitu Kuala Lumpur (RM6,913), Selangor (RM5,830), Melaka (RM4,955), Johor (RM4,793) dan Pulau Pinang (RM4,630).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat