Dewan Negara lulus perbekalan tambahan perkhidmatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2022) 2023, membabitkan pengeluaran wang tidak lebih RM60,174,928,000 daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan 2022.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibentang bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dengan dibahaskan tujuh Ahli Dewan Negara.

Perbelanjaan tambahan berkenaan membabitkan 10 perkhidmatan, yang mana Perkhidmatan Am Perbendaharaan menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM52,776,595,400, diikuti Peruntukan kepada Kumpulan Wang Terkanun (RM2,241,548,100) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (RM2,058,146,000).

Selain itu, Perbendaharaan menerima peruntukan sebanyak RM1,191,328,300; Kementerian Pendidikan (RM803,613,600); Kementerian Kesihatan (RM676,518,300); Kementerian Pertahanan (RM303,726,600); Suruhanjaya Pilihan Raya (RM84,822,600); Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (RM24,531,500) dan Kementerian Perpaduan Negara (RM14,097,600).

Bagi menjawab soalan Senator Ros Suryati Alang mengenai kos untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN), Ahmad berkata, kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk melaksanakan PRN di enam negeri.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan jumlah peruntukannya secara spesifik berikutan pihaknya kini masih lagi dalam proses penelitian mengenai perkara itu dengan mengambil kira bila PRN akan dilaksanakan.

“Ya, kita ada dana mencukupi, sejumlah dana tertentu akan digunakan untuk melaksanakan PRN di enam negeri.

“Untuk PRN ada jumlah tertentu dan mereka sedang mengira berapa jumlahnya, saya belum pasti bila, tetapi khabarnya bulan Jun, Julai, Ogos, begitulah. Nanti mereka akan membuat anggaran berapa jumlahnya,” katanya di Dewan negara, pada Isnin.

Lapor Utusan lagi, Ahmad dalam masa yang sama turut memaklumkan jumlah perbelanjaan yang diperuntukkan pada PRU15 adalah sebanyak RM1 bilion.

“Sebagaimana yang ditanyakan itu mengenai PRU15, RM1 bilion kita telah gunakan, banyak,” katanya ringkas.

Mengenai isu subsidi diesel bersasar, Ahmad turut menjelaskan sistem yang diguna pakai nanti akan siap pada Julai ini dan akan memaklumkan tempoh pelaksanaannya.

“Mengenai isu subsidi diesel, walaupun kita akan laksanakan kemudian, pemberian subsidi akan dikekalkan untuk pengangkutan bas sekolah, bas ekspres, teksi, tidak akan terjejas. Walaupun kita akan gunakan subsidi bersasar ini, sistem akan siap pada Julai, Ogos, kemudian kita akan laksanakan bila sampai waktunya.

“Selain itu, jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi subsidi bersasar. Data dari Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, kita akan kumpulkan data itu untuk ketika ini dan kita akan kekalkan Ron95,” jelasnya bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan Senator Datuk Dr. Hatta Ramli mengenai subsidi bersasar.

Tambahnya, antara sebab peruntukan tambahan ini dipohon susulan kenaikan harga minyak dunia di mana tahun lepas ia mencecah sehingga AS$110 setong berbanding tahun sebelumnya, AS$80 setong.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, subsidi bersasar akan dibuat secara berperingkat bagi mengelakkan kadar inflasi yang boleh mencecah sehingga 10 ke 12 peratus.

“Subsidinya adalah untuk diesel, selepas diesel barulah petrol. Kita buat secara berperingkat jika kita buat secara sekali gus, ia akan mendatangkan kesan besar seperti mana ia boleh menaikkan kadar inflasi 10 ke 12 peratus,” katanya.

Selain itu, Timbalan Menteri itu juga berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk memansuhkan pencen kerana ia merupakan perbelanjaan yang termaktub di bawah Perkara 98 Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga mengenai isu pendanaan politik, Ahmad berkata ia amat wajar dilaksanakan bagi mengelakkan ramai menjadi mangsa dana politik apabila ia tidak diaktakan.

“Oleh itu, wajar diadakan dan pelaksanaannya sedang diambil kira untuk penyiapan RUU nya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat