Sudah Terlewat Gabung Undi Pejuang Dengan PH, MUDA – Mukhriz

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Pejuang menolak ajakan Pakatan Harapan (PH) dan MUDA agar semua parti yang menentang Barisan Nasional (BN) hanya mengundi calon-calon PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sudah terlewat untuk PH dan MUDA membuat cadangan tersebut.

“Saya kira agak terlewat untuk kita gabungkan undi-undi ini dan kenapa pula nak kena sokong calon dia sahajakan? Patutnya kalau serius nak buat begitu kena bincang awal-awallah,” sindir Mukhirz dalam sidang akhbar di Pusat Media Jabatan Penerangan hari ini.

Pengarah-pengarah komunikasi daripada PKR, Amanah, DAP dan MUDA hari ini mengeluarkan kenyataan bersama mengesyorkan agar semua pihak hanya memberi undi kepada calon PH dan MUDA.

Ajakan tersebut dibuat kepada penyokong Pejuang, Warisan dan Perikatan Nasional iaitu parti-parti yang menentang BN dalam pilihan raya yang berlangsung Sabtu ini.

Menurut kenyataan tersebut, undi yang diberikan kepada calon-calon selain PH dan MUDA hanya akan menguntungkan BN, sambil menambah hanya PH dan MUDA mampu mengalahkan BN.

“Tak acilah macam tu. Kami pun bertanding juga. Saya faham mungkin tujuan dia hendak menyatukan pengundi yang tidak menyokong BN dan PN.

“Sebelum ini ada dikatakan bahawa undi pembangkang ini perlu disatukan. Saya sudah sebut sebelum ini bahawa khemah besar yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan tak menjadi.

“Hanya satu parti yang menyertai iaitu MUDA itu pun dengan tiga lambang iaitu Pakatan Harapan, PKR dan MUDA. Jadi ini pun pada pandangan kami mengelirukan pengundi,” tegas Mukhriz.

Sementara itu Mukhriz berkata, Pejuang tidak menolak kemungkinan calonnya yang menang akan bergabung dengan parti-parti lain untuk menubuhkan Kerajaan Negeri Johor selepas PRN berakhir.

Bagaimanapun, mereka sama sekali tidak bergabung atau bekerjasama dengan BN sekiranya parti itu tidak mengubah ‘karenah’.

“Iaitu sekiranya terpalit dengan masalah-masalah kluster mahkamah jadi kita tak nampaklah macam-mana kita ingin merapatkan jurang antara kami dengan mereka.

“Saya ingat dalam banyak-banyak parti, jurang paling besar wujud adalah antara Pejuang dengan Barisan Nasional. Parti-parti lain duduk tengah,” katanya.

Pejuang meletakkan 42 calon pada PRN Johor dengan negeri itu mempunyai 56 Dewan Undangan Negeri. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat