LPF perkenalkan klasifikasi filem, garis panduan baru

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Klasifikasi Filem 2023 seperti diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail disifatkan tepat pada masa, bersesuaian dengan perubahan masa dan perkembangan teknologi.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Lembaga Penapis Filem (LPF), Datuk Mohd Dusuki Ya’acob yang ditemui selepas sesi Taklimat LPF berkenaan Pelaksanaan Klasifikasi Filem 2023 yang berlangsung di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), hari ini.

Mohd Dusuki berkata, LPF menjalankan kajian mengenai klasifikasi filem sejak 2019, malah menjadikan industri filem global sebagai rujukan, memandangkan mereka sudah membuat perubahan ke atas klasifikasi filem.

“Sebelum menetapkan klasifikasi baru, LPF terlebih dahulu berurusan dengan penggiat industri dengan mengambil kira ‘input’ daripada mereka. Disebabkan itu, tidak banyak persoalan ditimbulkan pada sesi taklimat kerana mereka sudah jelas mengenai pelaksanaan klasifikasi baru.

“LPF sedang dalam proses mengumpul ‘input’ daripada penggiat industri kerana kita akan memperkenalkan garis panduan baru kerana apa yang ada sekarang diguna pakai sejak 2010,” katanya kepada BH Online.

Sebahagian penerbit filem dan pemilik pawagam yang hadir pada sesi Taklimat LPF berkenaan Pelaksanaan Klasifikasi Filem 2023 di FINAS, hari ini. - NSTP/Fathil Asri
Sebahagian penerbit filem dan pemilik pawagam yang hadir pada sesi Taklimat LPF berkenaan Pelaksanaan Klasifikasi Filem 2023 di FINAS, hari ini. – NSTP/Fathil Asri

 

Tambah Mohd Dusuki, dia menggalak penggiat filem datang ke LPF untuk berbincang sekiranya terdapat kemusykilan mengenai perkara berkaitan klasifikasi dan garis panduan kerana LPF menjalankan polisi dasar buka pintu.

“LPF bersedia pada bila-bila masa sekiranya penerbit dan pembikin filem berhasrat datang berbincang. Kami juga sudah memiliki e-mel, jadi lebih mudah penggiat industri berurusan.

“Selain itu, LPF dalam proses membangunkan laman web, jadi kemusykilan boleh dirujuk di laman web,” katanya.

Diminta mengulas mengenai filem Pulau yang mencetuskan kontroversi, baru-baru ini, Mohd Dusuki berkata, pihaknya tidak boleh mengawal treler yang disiarkan untuk saluran YouTube kerana ia di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Bagaimanapun, katanya, dia menegaskan filem Pulau bukanlah filem ‘soft porn’ seperti tuduhan netizen kerana LPF sudah menonton filem itu terlebih dahulu sebelum memberikan kelulusan untuk ditayangkan.

“Filem Pulau hanyalah cerita seram, tetapi netizen yang belum menonton filem ini melabelkan ia cerita ‘soft porn’ disebabkan treler yang ditonton di saluran YouTube.

“LPF sudah menonton filem ini, ia tidaklah seperti apa yang disangka netizen.

“Untuk treler di YouTube, LPF tidak boleh campur tangan kerana tertakluk di bawah MCMC, tetapi paparan treler yang agak mencolok mata itu mungkin salah satu strategi untuk menjual filem ke pasaran antarabangsa.

“Versi diluluskan LPF adalah versi berbeza daripada treler ditayangkan di YouTube dan mengikut prosedur yang diluluskan,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat