‘Daftar MyIPO, meterai perjanjian’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertukaran anggota terutama penyanyi utama dalam kalangan band popular dianggap lumrah dalam industri muzik di mana sahaja.

Namun, apa yang tidak enak, di sebalik perubahan keanggotaan, timbul apa yang dikatakan ‘pelbagai dakwaan’ hingga berlaku perpecahan yang berakhir dengan permusuhan.

Antara konflik sesama ahli yang menggemparkan dunia hiburan tanah air pastinya kontroversi membabitkan kumpulan muzik tersohor tanah air seperti Search, Wings, May dan XPDC.

Situasi ini secara tidak langsung memberi gambaran buruk terhadap industri seni serta contoh yang tidak baik kepada kumpulan muzik pelapis yang hendak berjinak-jinak mencipta populariti.

Ibarat pepatah sediakan payung sebelum hujan, vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie mencadangkan pemuzik generasi baharu terutama yang muncul secara berkumpulan mendaftar nama band dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Walaupun mungkin ada yang menganggap tindakan itu remeh, namun bagi Awie, usaha itu amat penting untuk mengelak berlaku perkara berbangkit.

“Nasihat saya, kalau fikir sesuatu kumpulan itu mempunyai nama bagus, daftarkan dengan MyIPO. Buat keputusan terbaik sama ada untuk daftarkan secara berkumpulan atau hanya seorang individu yang pegang hak.

“Kalau nama band didaftar syarikat rakaman, ia akan menjadi hak milik label. Kalau dia (label) hendak rebut, syarikat itu kena berbincang dengan siapa yang cipta nama kumpulan.

“Syarikat juga perlu mendaftar agar sesiapa pun tidak boleh tuntut jika berlaku perselisihan faham pada kemudian hari,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi pengalaman pernah mengundurkan diri seketika dari kumpulan Wings untuk bergerak solo, Awie atau nama sebenar, Ahmad Azhar Othman, 53, mengakui tidak pernah menjadikan nama kumpulan sebagai polemik.

 

Awie mencadangkan pemuzik generasi baharu mendaftar nama band dengan MyIPO bagi elak perkara berbangkit.
Awie mencadangkan pemuzik generasi baharu mendaftar nama band dengan MyIPO bagi elak perkara berbangkit.

 

Baginya, perbuatan itu tidak mendatangkan faedah kepada mana-mana pihak.

“Saya pernah keluar dari Wings. Namun, tidak pula saya guna nama itu ketika bergerak secara solo walaupun saya yang beri nama Wings.

“Ada juga anggota Wings yang keluar dari kumpulan tetapi masih mengekalkan Wings di belakang namanya. Tidak pula saya pertikaikan… Kami hanya mampu ketawa sahaja. Lagipun, kami faham masing-masing hendak cari makan,” katanya.

Pernah berdepan situasi serupa apabila kumpulan Meet Uncle Hussain yang diuruskannya berdepan krisis dengan bekas vokalis iaitu Azlan, Nafisah Mohamat Yusof Khir atau Kimmy menasihatkan mereka yang mahu menubuhkan kumpulan muzik mendalami ilmu berkaitan hak cipta.

Bagi Kimmy, usaha itu perlu supaya mereka lebih memahami hak sebagai anak seni.

“Perkara pertama yang perlu diterapkan apabila menubuhkan kumpulan adalah setiap daripada mereka wajib mempunyai asas pengetahuan mengenai hak sedia ada.

“Ini terutama apa yang termaktub di bawah Akta Hak Cipta 1987 yang memberi keistimewaan khas buat pengkarya dan penyanyi.

“Sebagai pengkarya, mereka perlu faham hak mereka seperti sebagai pencipta, penulis lirik, penyanyi atau pelaku rakaman serta hak yang diberi pemilik rakaman.

“Ini sangat penting untuk urusan pembahagian royalti,” katanya.

Berkongsi pendapat sama dengan Awie, Kimmy berkata, sebagai jaminan, band wajar menyediakan perjanjian sesama anggota sebagai jalan terbaik menghalang berlakunya perbalahan yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.

“Berdasarkan pengalaman sendiri, kebanyakan band mengambil mudah dengan tidak mementingkan perjanjian sesama anggota. Walhal, inilah penyatuan utama yang membolehkan mereka memahami hak setiap anggota.

“Apabila hak asas difahami, kita boleh mengelak dari berlakunya kecurian hak atau kejadian ‘sailang’ dalam band terbabit,” katanya.

 

Kimmy dan suaminya yang juga anggota kumpulan Meet Uncle Hussain, Taja Mustapha pernah berdepan dengan isu bersama bekas vokalis, Azlan.
Kimmy dan suaminya yang juga anggota kumpulan Meet Uncle Hussain, Taja Mustapha pernah berdepan dengan isu bersama bekas vokalis, Azlan.

 

Tambah Kimmy, untuk mengelak situasi yang berlaku kepada senior berulang, setiap keputusan berkaitan kumpulan perlu mendapat persetujuan anggota.

“Perkara pertama yang perlu mereka faham adalah soal pemilikan. Siapa yang bertanggungjawab memegang hak nama dan logo yang dicipta. Nama band dan logo adalah dua harta intelek yang berbeza.

“Jika ada ahli yang keluar kumpulan, bagaimana pula dengan status saham individu terbabit? Adakah akan dikekal atau dijual? Setiap anggota perlu tahu semua itu,” kata Kimmy yang juga Pengarah Urusan Taja Archive Publishing.

Sementara itu, pengamal undang-undang, Aizul Rohan Anuar dari Aizul Rohan Anuar & Associates berpendapat perjanjian bertulis membabitkan semua anggota kumpulan menjadi jalan terbaik untuk mengelak berlaku perebutan nama kumpulan.

“Bukanlah bermakna kepercayaan sesama ahli tidak penting hingga perlu buat perjanjian bertulis. Cuma usaha ini sebagai persediaan untuk mengelak berlaku tuntutan pada kemudian hari.

“Tetapi saya faham, tidak semua mahu buat perkara seperti itu. Selain dilihat remeh, mungkin mereka menganggap tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Tidak perlu pun sampai hendak sediakan kontrak semata-mata untuk mendaftarkan nama kumpulan. Cukup sekadar daftar di MyIPO,” kata Aizul yang pernah menyelesaikan beberapa kes berkaitan soal royalti membabitkan artis popular tanah air.

Ditanya siapa yang lebih layak menggunakan nama kumpulan jika berlaku perebutan mengikut sudut perundangan, Aizul berkata, hak itu diberi kepada individu yang memberi idea.

“Biarpun tiada hitam putih, kalau dibawa ke mahkamah, lazimnya orang yang berhak untuk menggunakan nama itu adalah individu yang memberikan nama, bukannya mereka yang mempopularkan kumpulan terbabit.

“Walaupun orang itu bukan lagi anggota band terbabit, namun dari sudut undang-undang, dialah pemilik sebenar nama berkenaan,” jelasnya.

Terdahulu, Amy mengumumkan meninggalkan kumpulan Search pada 29 Mac 2020 dan mengakui keputusan dibuat muktamad.

Sebelum ini, vokalis berasal dari Johor ini pernah meninggalkan kumpulan yang mencetuskan fenomena dengan lagu Fantasia Bukan Madu itu pada 1994 bagi memulakan karier solo.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat