Mark Zuckerberg Akan Berhentikan 11,000 Pekerja Meta

- Advertisement -

PARIS – Pemilik Facebook, Meta akan memberhentikan kira-kira 11,000 pekerja dalam satu perubahan paling sukar pernah dibuat dalam sejarah syarikat, kata Mark Zuckerberg.

Beliau berkata, pemberhentian itu mewakili 13 peratus daripada jumlah tenaga kerja gergasi media sosial itu dan akan memberi kesan kepada makmal penyelidikan yang menumpukan kepada metaverse selain aplikasi yang termasuk Facebook, Instagram dan Whatsapp.

Industri teknologi sedang berdepan kemerosotan serius dan firma-firma utama telah mengumumkan pemberhentian besar-besaran.

Pemilik baharu Twitter, Elon Musk memecat separuh daripada pekerjanya minggu lalu.

“Saya bertanggungjawab di atas keputusan ini dan bagaimana kita berada di sini,” kata Zuckerberg dalam satu nota kepada kakitangan.

“Saya tahu ini adalah sukar untuk semua orang, saya benar-benar meminta maaf kepada mereka yang terkesan.”

Platform disokong iklan seperti Facebook dan Google menghadapi masalah apabila pengiklan berusaha mengurangkan kos berikutan inflasi dan kenaikan kadar faedah.

Zuckerberg memberitahu kakitangan bahawa beliau menjangkakan lonjakan e-dagang dan aktiviti dalam talian semasa pandemik COVID-19 akan berterusan, namun menambah: “Saya tersilap, dan saya bertanggungjawab terhadapnya.”

Kemerosotan itu telah menjejaskan beberapa syarikat dalam sektor terbabit, dengan Apple dan Amazon baru-baru ini turut mengumumkan keputusan kewangan yang mengecewakan pelabur.

Namun, Meta turut berdepan masalah tersendiri.

Pelabur bimbang dengan keputusan Zuckerberg memperuntukkan berbilion dolar untuk membangunkan metaverse, versi web yang diakses menerusi realiti maya.

Zuckerberg menamakan semula syarikat itu kepada Meta setahun lalu bagi mencerminkan komitmen terhadap projek berkenaan, namun unit yang mengusahakan teknologi metaverse mencatatkan kerugian lebih daripada AS$3.5 bilion sejak itu.

Beliau telah memberikan bayangan beberapa kali pada tahun ini bahawa langkah pengurangan kos akan diambil dan dalam suratnya hari ini berkata bahawa pembuangan pekerja adalah ‘pilihan terakhir’.

Meta juga akan terus membekukan pengambilan pekerja sehingga tahun depan, katanya, dan langkah pemotongan kos lain sedang dipertimbangkan.

“Secara dasarnya, kami melakukan perubahan ini di atas dua sebab: tinjauan pendapatan kami lebih rendah daripada jangkaan pada awal tahun ini, dan kami mahu memastikan beroperasi dengan cekap,” tulisnya.

Bulan lalu, Meta mengumumkan keuntungan AS $4.4 bilion pada suku ketiga, penurunan 52 peratus berbanding tahun lalu, sehingga menyebabkan harga sahamnya jatuh 25 peratus.

Penurunan keuntungan itu berlaku walaupun platformnya menguasai dunia dari segi pengguna. Facebook sendiri dikatakan mempunyai kira-kira dua bilion pengguna yang membuat log masuk setiap hari. – AFP

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat