20 Projek Di Bawah Insentif Kawasan Kurang Membangun Bernilai RM6b diluluskan – MITI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 projek telah diluluskan di bawah Insentif Kawasan Kurang Membangun dengan jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM6.0 bilion setakat September, 2020, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MITI berkata projek itu dijangka akan menyediakan sebanyak 3,289 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan pada masa yang sama membantu meningkatkan rantaian ekonomi tempatan.

“Ia juga menggalakkan pembangunan infrastruktur dan logistik, meningkatkan usaha sama syarikat tempatan dengan syarikat asing bagi pembangunan industri dan pemindahan teknologi serta menggalakkan aktiviti hiliran untuk menghasilkan produk bernilai tambah tinggi,” kata MITI dalam jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang meminta kementerian itu menyatakan usaha, insentif bagi membuka kawasan industri baharu di luar bandar dan memberikan bukti kejayaannya serta jumlah peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada rakyat tempatan.

Sehubungan itu, MITI menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah menawarkan Insentif Kawasan Kurang Membangun bagi menarik pelaburan seperti pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus selama 15 tahun bermula dari tahun syarikat menghasilkan pendapatan berkanun atau pengecualian cukai pendapatan bersamaan elaun cukai, iaitu pelaburan sebanyak 100 peratus daripada perbelanjaan modal yang layak yang dilakukan bagi tempoh 10 tahun.

“Elaun ini dibenarkan ditolak sehingga 100 peratus daripada pendapatan berkanun bagi setiap tahun taksiran. Selain itu, MITI turut memberi pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pemindahan atau pajakan tanah atau bangunan yang digunakan untuk pembangunan,” katanya.

Antara insentif lain adalah termasuk pengecualian cukai pegangan ke atas royalti dan yuran teknikal ke atas bayaran kepada bukan pemastautin tidak lewat daripada 31 Dis 2020; pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas bahan mentah, komponen, mesin, peralatan, alat ganti dan guna habis yang tidak dikeluarkan dalam negara dan digunakan secara langsung dalam pengeluaran, ia tertakluk kepada dasar semasa MIDA.

Dalam pada itu, MIDA bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan bagi melipat gandakan usaha promosi pelaburan, termasuk dengan pihak berkuasa koridor seperti Wilayah Ekonomi Pantai Timur (negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (negeri Perak, Kedah dan Perlis), kata MITI.

Kerjasama itu telah berjaya membawa masuk pelaburan ke kawasan luar bandar, bagi tempoh Januari hingga September 2020, sebanyak RM70.5 bilion pelaburan telah diluluskan dalam sektor perkilangan menerusi 740 projek, projek tersebut dijangka akan menjana sebanyak 51,172 peluang pekerjaan.

MITI berkata antara negeri yang merekodkan jumlah pelaburan tertinggi dan peluang pekerjaan yang diluluskan adalah Sarawak dengan pelaburan sebanyak RM15.8 bilion dan menawarkan sebanyak 6,006 peluang pekerjaan.

Ini diikuti Sabah yang mencatatkan pelaburan sebanyak RM11.9 bilion (579 peluang pekerjaan); Pulau Pinang – RM10.6 bilion (9,137 peluang pekerjaan); Pahang – RM8.3 bilion (1,416 peluang pekerjaan); Selangor – RM7.3 bilion (12,195 peluang pekerjaan) dan Johor – RM5.7 bilion (10,107 peluang pekerjaan). – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat