Malaysia kekal pendirian kembalikan Palestin merdeka, berdaulat – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pendirian dan dasar luar negara oleh Kerajaan Madani dalam konflik Palestin-Israel adalah jelas dan tidak pernah berubah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perjuangan membebaskan tanah dan hak rakyat Palestin akan tetap menjadi salah satu tunjang keutamaan dasar luar Kerajaan Malaysia.

Tegas beliau, Malaysia kekal berpendirian bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, hak dikembalikan tanah yang telah dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

“Pendirian lantang dan tegas Malaysia telah kerap kali dinyatakan secara jelas dan terang di setiap lapangan, keadaan dan masa.

“Ia termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Tambah Zahid lagi, sebagai Negara yang bertunjang kepada prinsip-prinsip kemanusian dan keihsanan, sudah pasti Malaysia tidak menyokong apa jua gerakan atau tindakan yang kesannya akan menyebabkan kehilangan nyawa, khususnya orang awam yang tidak bersalah.

Jelas beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 22 September 2023 lalu, telah dengan tegas menekankan pendirian Malaysia mengenai isu Palestin.

“Ketegasan Malaysia juga jelas dapat dilihat berdasarkan kenyataan keras yang seringkali dikeluarkan negara dalam mengecam
dan membantah segala bentuk provokasi dan tindakan keganasan rejim Israel.

“Ia termasuk menggesa masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk terus menekan rejim Israel agar menghentikan dasar apartheid, dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin,” ujarnya.

Kata Zahid lagi, Malaysia turut menyertai beberapa negara lain dalam mengemukakan kenyataan bertulis kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 25 Julai 2023 mengenai pendudukan, penempatan haram dan pengilhakan (pengambilan wilayah tanpa kebenaran) yang berpanjangan Israel ke atas Wilayah Palestin sejak 1967.

“Malaysia terbuka dan akan terus menyokong segala usaha konkrit dan realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.

“Penyelesaian ini hendaklah berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB serta memenuhi teras-teras yang telah saya nyatakan dahulu.

“Ia juga termasuk memberi sokongan terhadap keabsahan rakyat Palestin membentuk sebuah negara yang bebas dari pencerobohan Israel yang berterusan dalam meluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat,” katanya.

Menurut beliau lagi, sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia amat jelas dan merentasi segala aspek baik dari segi politik, ekonomi dan penyaluran bantuan kewangan, pembangunan kapasiti, termasuk pembangunan semula infrastruktur.

“Sumbangan dan bantuan ini disalur dengan pelbagai cara sama ada secara dua hala, serantau atau pelbagai hala. Alhamdulillah, setakat ini bantuan kita ini membantu rakyat Palestin tidak pernah terhenti.

“Selain bantuan daripada kerajaan, kita juga turut membantu menyalurkan sumbangan kemanusiaan daripada dana yang dikumpul
dari sumbangan awam. Ia dilaksana melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan oleh Kementerian Luar Negeri. NGO-NGO yang berhasrat untuk membantu rakyat Palestin bolehlah menggunakan saluran ini.

“Saya sesungguhnya amat berterima kasih atas sokongan berterusan dan keprihatinan daripada setiap Ahli-ahli Yang Berhormat mengenai isu Palestin. Di dewan yang mulia ini, sering kali wujud percanggahan dan perbalahan antara pihak Kerajaan dan pembangkang untuk pelbagai isu.

“Tatkala timbul isu Palestin, pasti dewan yang mulia ini bergegar dengan suara keramat kesemua Ahli-ahli Dewan menzahirkan
solidariti bersama untuk Palestin. Kita menjadi satu, senada dan sehati sejiwa menyokong perjuangan dan hak rakyat Palestin atas dasar kemanusiaan,” katanya.

Zahid menambah, atas semangat Perpaduan dan soladiriti rakyat Malaysia, dan berdasarkan prinsip-prinsip Malaysia MADANI seperti kemampanan, kesejahteraan, hormat dan ihsan.

“Saya memohon Ahli-ahli Yang Berhormat semua untuk menyokong sepenuhnya ketetapan-ketetapan berikut iaitu Malaysia amat bimbang dengan ketegangan yang semakin memuncak di bumi Palestin yang telah melihat ribuan nyawa melayang termasuk orang awam yang tidak berdosa, bilangan kecederaan yang semakin meningkat mendadak dan kerosakan harta benda yang amat besar.

“Majlis Keselamatan PBB perlu mengambil tindakan segera untuk menggesa semua pihak menghentikan segala tindakan keganasan dan pertempuran demi menghormati dan melindungi nyawa orang awam,” katanya.

Tegas Zahid lagi, masyarakat antarabangsa hendaklah meningkatkan tekanan ke atas semua pihak untuk mengambil tindakan segera
menghentikan pertempuran demi keamanan dan kestabilan
serantau.

“Rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, hak dikembalikan tanah yang telah
dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

“Malaysia berpendirian teguh bahawa setiap konflik boleh diselesaikan di meja perundingan. Malaysia percaya bahawa satu hari nanti, dengan izin Allah SWT, InsyaAllah, Palestin akan dibebaskan dari cengkaman rejim Zionis dan akan mendapat semula hak-hak mereka yang diperjuangkan selama ini.

“Semoga konflik yang berlaku akan dimuktamadkan dan seluruh dunia perlu memainkan peranan dan tanggungjawab secara kolektif tanpa mengira apa-apa kepentingan tertentu,” katanya.

Mengulas lanjut Zahid memberitahu, konflik di Palestin telah berlarutan 75 tahun.

“Selama ini, rakyat Palestin telah menjadi mangsa kepada pendudukan haram Israel, penderitaan dan penindasan setiap hari oleh polisi kuku besi rejim Zionis, tanah sendiri dirampas tanpa belas ihsan dan pencerobohan berterusan ke atas Masjid Al-Aqsa. Jutaan warga Palestin yang telah diusir tidak dapat kembali ke tanah air mereka dan perlu menumpang di negara lain.

“Malangnya, masyarakat dunia khususnya pihak Barat berterusan dengan sikap acuh tidak acuh, menutup sebelah mata membenarkan kekejaman oleh rejim Israel tanpa sebarang tindakan punitif. Tindakan berat sebelah ini terus menimbulkan persoalan berhubung ketidakadilan di dalam penguatkuasaan prinsip dan undang-undang antarabangsa.

“Kenapa ada dua pendekatan yang berbeza? Krisis Ukraine misalannya, pihak Barat dengan secepat kilat memberi sokongan kepada Kiev. Malangnya apabila melibatkan Palestin, ia langsung tidak diendahkan.

“Hatta, mana-mana masyarakat yang sekian lama hidup dalam penindasan, kesengsaraan, kezaliman tanpa pembelaan sudah pasti ada tahap kesabarannya. Inilah yang terjadi di bumi Palestin selama ini,” kata beliau lagi.

Zahid juga menyebut, tindakan provokasi dan penindasan ini semakin meruncing sejak rejim Israel didokong oleh parti berhaluan radikal menguasai Tel Aviv.

“Antaranya, tindakan provokasi melampau seperti pencerobohan di dalam Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekitarnya semasa pengunjung beragama Islam mahupun Kristian sedang mengerjakan ibadah masing-masing.

“Sikap Israel ini jelas membuktikan bahawa mereka bertindak menyerang sesuka hati tanpa mengira kesucian agama lain.

“Rentetan daripada kemarahan yang tidak dapat dibendung, sudah menjadi lumrah manusia, dan telah dibuktikan dalam sejarah peradaban dunia, golongan yang teraniaya ini pasti akan bangkit mempertahankan hak mereka yang telah dicorak-carikkan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat