HONG KONG – Harga minyak melonjak lebih daripada empat peratus hari ini selepas Hamas melancarkan serangan ke atas Israel pada hujung minggu, mencetuskan kebimbangan terhadap kejutan bekalan daripada rantau yang kaya dengan minyak mentah itu.
Brent meningkat 4.7 peratus kepada AS$86.65 manakala West Texas Intermediate (WTI) menokok 4.5 peratus kepada AS$88.39 dalam dagangan awal di Asia, lapor AFP.
Serangan mengejut itu dan pengisytiharan perang Israel sebagai tindak balas kepadanya menyebabkan lebih 1,000 terkorban dan menambah kebimbangan bahawa potensi konflik yang melebar akan menarik campur tangan Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
“Kunci kepada pasaran adalah sama ada konflik itu kekal dibendung atau merebak untuk membabitkan wilayah lain, terutamanya Arab Saudi,” kata Brian Martin dan Daniel Hynes dari ANZ Group.
“Sekurang-kurangnya pada peringkat awal ini, pasaran dilihat akan menganggap situasi itu akan terhad dari segi skop, tempoh dan kesan kepada harga minyak. Namun, turun naik yang tinggi boleh dijangka,” katanya.
Krisis itu berlaku ketika harga minyak telahpun meningkat disebabkan oleh masalah bekalan yang disebabkan oleh pemotongan ouput oleh Russia dan Arab Saudi, mencetuskan kebimbangan baharu terhadap inflasi global.