Malaysia, New Zealand Buktikan Negara Kecil Boleh Bekerjasama – Nanaia Mahuta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia dan New Zealand telah membuktikan bagaimana negara-negara kecil boleh bekerjasama secara dua hala, serantau dan global, dalam menangani cabaran geopolitik global dan serantau dengan lebih berkesan, kata Menteri Luar New Zealand Nanaia Mahuta.

Kedua-dua negara turut sama berperanan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari 2015-16 dan bekerjasama erat di bidang lain termasuk pelucutan dan kawalan senjata.

“Kita juga bekerjasama dalam isu undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut. Tahun lepas New Zealand menyertai mereka yang lain dalam menentukan pendiriannya akan Laut China Selatan, yang menyokong pendirian Malaysia,” katanya semasa Siri Kuliah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) bertajuk “Dasar Luar Negara untuk Negara-negara Kecil” di sini, Selasa.

Syarahan itu diadakan sempena 65 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan New Zealand.

Dalam perdagangan, selain Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-New Zealand, kedua-dua negara juga merupakan anggota FTA ASEAN-NEW ZEALAND, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans Pasifik, serta Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik baharu.

Perdagangan bukan sahaja untuk pertumbuhan ekonomi, kerana sektor itu juga menjalin kerjasama dan mencipta hubungan erat serta mewujudkan kepentingan, kewajipan dan faedah bersama, katanya.

Mengambil contoh Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), beliau menyebut bahawa idea untuk pakatan itu dicetuskan oleh tiga negara – New Zealand, Singapura dan Chile, manakala Brunei menyertainya apabila jelas bahawa kuasa besar tidak dapat dapat capai kata sepakat bagaimana untuk mewujudkan perjanjian perdagangan serantau.

“Itulah nilai yang boleh dibawa oleh negara-negara kecil – rasa ingin tahu, idea yang baik, kebolehsuaian dan kesediaan untuk mengambil risiko yang wajar. Apabila kita memanfaatkan kekuatan teras yang ada, dan bekerja secara kolektif sebagai pihak yang membangun dan berprinsip di pentas antarabangsa, kita boleh – dan melakukannya – dengan berkesan,” katanya.

Sementara itu, mengenai perang Rusia-Ukraine, Mahuta berkata New Zealand akan campur tangan sebagai pihak ketiga dalam kes Ukraine di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

“Implikasi perang turut dirasai di negara yang jauh dari Eropah, termasuk di Indo-Pasifik.

Peperangan menunjukkan bahawa apabila negara besar mengabaikan kedaulatan dan integriti wilayah kerana menganggap mereka kebal daripada hukuman, ia menjejaskan banyak negara terutamanya negara-negara kecil.

“Sebagai respons kepada peningkatan ketegangan atau risiko di rantau ini – sama ada di Pasifik, Laut China Selatan, atau Selat Taiwan – pendirian New Zealand kekal konsisten – kami menyeru semua pihak agar mematuhi peraturan dan norma antarabangsa; untuk diplomasi, mengurangkan ketegangan dan dialog – dan menolak ancaman dan paksaan,” katanya.

Mahuta sedang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Malaysia mulai Sabtu, lawatan pertamanya ke sini sejak memegang jawatan Menteri Luar pada Nov 2020.

Sepanjang lawatan itu, Mahuta mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, berucap di Majlis Perniagaan Malaysia-New Zealand, serta bertemu dengan pemimpin belia Orang Asli pada satu acara sempena Hari Antarabangsa Orang Asli Sedunia. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat