KOTA TINGGI – Kerajaan melalui Belanjawan 2022, telah memperuntukkan geran sebanyak RM50 juta kepada Rukun Tetangga dan sebanyak RM4.27 juta diagihkan kepada 713 KRT di negeri Johor.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, peruntukan geran ini merupakan pengiktirafan kerajaan di atas komitmen warga Rukun Tetangga dalam memperkukuhkan keharmonian, keselamatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Adalah menjadi harapan saya agar geran ini menjadi penyuntik semangat kepada seluruh kepimpinan Rukun Tetangga untuk menyampaikan perkhidmatan yang lebih cemerlang.

“Saya juga ingin menyarankan supaya kepimpinan KRT dapat meningkatkan inisiatif kolaborasi strategik bersama pihak luar khususnya NGO atau Friends of Unity dalam melaksanakan program perpaduan di peringkat komuniti,” katanya pada Majlis Penyampaian Geran KRT Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia di sini hari ini

Halimah berkata, kemneteriannya telah menghasilkan beberapa pelan tindakan bagi memperkasakan peranan yang dimainkan oleh jentera perpaduan khususnya di peringkat komuniti.
 
“Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2030 merupakan pelan induk kepada pelaksanaan program perpaduan melibatkan pelbagai kementerian, agensi Kerajaan dan badan-badan bukan Kerajaa bagi mengukuhkan penyatupaduan Keluarga Malaysia.
 
“Manakala KAMI @Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia memberi fokus kepada inisiatif dan program di bawah peranan Kementerian Perpaduan Negara,”.

Menurutnya, peranan KRT pada masa kini tidak lagi sama dengan peranan pada masa di awal penubuhannya.

Beliau berkata, cabaran pada masa ini lebih besar dan KRT perlu lebih bersedia serta proaktif dalam menghadapi cabaran dalam usaha memperkukuhkan kesejahteraan komuniti.

“Sehingga kini sebanyak 8,330 KRT telah diwujudkan di seluruh negara dengan jumlah keahlian hampir 250,000 orang.

“Peningkatan jumlah KRT dari tahun ke tahun membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan peranan yang dimainkan oleh rukun tetangga,” katanya

Dalam pada itu katanya, Kementerian juga telah menghasilkan Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030 dan Agenda Kerja Komuniti Rukun Tetangga (RT4ALL).
 
“Sepanjang tahun lalu, Komuniti Rukun Tetangga khususnya Skuad Unity RT Cares telah digerakkan melalui pelbagai program khususnya dalam menyokong usaha Kerajaan menghadapi pandemik Covid-19 serta membantu meringankan beban rakyat yang dilanda banjir pada penghujung tahun lepas khususnya di negeri Selangor dan Pahang,” katanya.