KUALA LUMPUR – Armada Bersatu mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim Israel yang telah menyerang melaui dron yang mengakibatkan kecedaraan kepada pasukan pengaman daripada Malaysia (Malbatt 850).
Exco Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, tindakan ini adalah sangat tidak berperikemanusiaan dan berpotensi untuk meningkatkan ketegangan bukan sahaja di Lubnan tetapi di seluruh dunia yang sedang mengikuti kerakusan kuasa Israel.
Justeru kata beliau, Armada Bersatu juga berharap agar kuasa-kuasa besar mempertimbangkan untuk melaksanakan sekatan ekonomi dan diplomatik ke atas mana-mana negara yang aktif mengugat ketenteraman dunia.
“Armada Bersatu dikejutkan dengan satu berita di mana empat anggota Malbatt 850 yang sedang bertugas di bawah United Nations Interim In Lebanon (UNIFIL) telah cedera akibat terkena serpihan letupan serangan Israel ketika sedang melalui sekatan jalan.
“Tugas pasukan Malbatt 850 yang telah dihantar ke Lubnan adalah untuk memulih keamanan di kawasan yang telah lama ditimpa musibah.
“Armada juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan perubatan Lubnan yang telah memberi rawatan pantas kepada anggota-anggota Malbatt 850 di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Harris Idaham juga berkata, Armada Bersatu berharap agar Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Luar Negeri memantau situasi dan tahap keselamatan anggota Malbatt 850.
“Kami kesejahteraan semua anggota Malbatt 850 dan mudah-mudahan niat murni delegasi ini akan diberi ganjaran oleh ALLAH SWT,” ucapnya.