Semua Exco patut pulangkan aset, bukan cuma kami bertiga – Norhizam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datuk Norhizam Hassan Baktee menegaskan bahawa beliau hanya akan memulangkan semua aset kerajaan sekiranya 28 bekas wakil rakyat lain termasuk barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) melakukan perkara sama.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, mempersoalkan mengapa hanya tiga Exco yang diarahkan berbuat demikian sedangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibubarkan.

“Apa yang kita tahu pihak istana setakat ini belum beri apa-apa maklum balas siapa yang patut jadi ‘caretaker’. Sepatutnya pihak yang mempunyai majoriti bukan minoriti. Mana yang lebih besar, 13 atau 15?

“Saya cuma akan pulangkan kenderaan rasmi, pejabat JAPERUN dan yang lain setelah semua wakil rakyat dan Exco yang lain memulangkannya.

“Dalam erti kata lain, pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) akan beri masa dan tarikh supaya kesemuanya pulang dengan serentak secara terhormat,” katanya memetik Astro Awani di Melaka pada Jumaat.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri, (JAPERUN) Pengkalan Batu, hari ini.

Sebelum ini bekas Exco Pertanian, penternakan, pembangunan usahawan dan koperasi negeri itu mendakwa telah dihalang menggunakan fasiliti kerajaan, sehingga menyukarkannya berkhidmat kepada rakyat yang diwakilinya.

Katanya, terdapat arahan kerajaan negeri yang memaksa beliau dan dua lagi bekas Exco untuk memulangkan kenderaan rasmi serta menghalang mereka menggunakan pusat khidmat masyarakat.

“Tidak adil apabila hanya tiga Exco yang diarah memulangkannya sedangkan wakil rakyat lain masih lagi bebas menggunakannya.

“Kita bimbang ada pihak yang ambil mesempatan atas isu yang berlaku ini semata-mata demi kepentingan individu sehingga boleh mencemarkan institusi istana.

“Saya harap pihak istana boleh membuat keputusan yang bijaksana dalam isu krisis politik di Melaka agar dapat diselesaikan dengan cepat,” tegasnya.

Terdahulu, Norhizam bersama tiga lagi bekas ADUN iaitu Datuk Seri Idris Haron, Datuk Azman Hasan dan Datuk Noor Effandi Ahmad menyatakan hilang kepercayaan dengan kerajaan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

DUN Melaka terpaksa dibubarkan selepas mendapat persetujuan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Berdasarkan Perkara 19 (4) Perlembagaan Negeri Melaka, apabila DUN dibubarkan, satu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat