10,000 Skuad Keluarga Malaysia akan turun padang bantu rakyat terkesan pandemik – Perdana Menteri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sempena prapelancaran Keluarga Malaysia hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan seramai 10 ribu anggota “Skuad Keluarga Malaysia” telah bersedia untuk digerakkan

ke segenap pelusuk negara, bagi membantu rakyat yang terkesan ekoran pandemik.

Kata beliau, jumlah ini dijangka bertambah apabila lebih banyak kementerian dan agensi serta sukarelawan Keluarga Malaysia mendaftarkan diri.

Hal demikian Ismail Sabri berkata, bagi memastikan kejayaan idea Keluarga Malaysia ini, setiap kementerian dan agensi kini sedang giat mengenal pasti produk yang bersesuaian untuk diangkat menjadi sebahagian usaha membantu rakyat.

“Ini merupakan langkah untuk menyemai budaya khidmat, berorientasikan prestasi bagi meringankan beban Keluarga Malaysia, yang memerlukan bantuan dan sokongan.

” Dalam usaha ini, kerajaan akan memastikan setiap produk Keluarga Malaysia memberi impak positif seperti yang
diharapkan. Oleh itu, kerajaan turut memperkenalkan mekanisme Keberhasilan Kebahagiaan (atau Key
Happiness Outcome – KHO) yang juga merupakan pelengkap kepada Petunjuk Prestasi Utama (atau KPI),” katanya.

Perdana Menteri menambah, garis panduan ini akan dibentuk berasaskan nilai sejagat sedia ada, termasuk Indeks Kebahagiaan yang diguna pakai kebanyakan negara di seluruh dunia.

Sementara itu, Ismail Sabri juga menjelaskan idea sebenar di sebalik jenama Keluarga Malaysia ia membawa makna
sebuah institusi keluarga sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela.

“Kita meraikan ‘keterangkuman’ (atau inclusivity) dalam perbezaan, menjunjung semangat Malaysia sebagai
sebuah negara bangsa.

“Kemajmukan yang kita raikan inilah yang menjadi benih yang membugar dalam hati setiap rakyat Malaysia.
Kelangsungan ini merupakan aset yang mesti terus dipertahankan. Justeru, nilai setiap Keluarga Malaysia
merupakan komponen penting demi menentukan jatuh, bangun bumi bertuah ini,” ujar beliau.

Kata Perdana Menteri lagi, majlis ini merupakan manifestasi hasrat dan komitmen kerajaan, untuk meningkatkan usaha menyebar luas konsep dan hala tuju Keluarga Malaysia, agar ia dapat difahami dan dihayati setiap lapisan masyarakat.

Jelasnya, ia seiring dengan perjalanan kita memulih dan mengembalikan negara, daripada impak krisis berkembar kesihatan dan ekonomi yang sedang kita lalui.

“Kesemua nilai Keluarga Malaysia adalah berpaksikan kepada Keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah termaktub dalam Rukun Negara.

“Ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, manakala batang dan ranting menjulang kukuh nilai-nilai Keluarga Malaysia, yang kemudiannya membuahkan hasil seperti daun, bunga dan buah yang subur dan inayahnya, memanfaatkan rakyat. Inilah metafora Keluarga Malaysia,” katanya.

Antara indikator yang diterapkan ujarnya ialah kebersamaan (atau common ground) agar pemegang taruh utama iaitu Keluarga Malaysia merasai nikmatnya.

“24 hari selepas pembentukan kabinet baharu, kerajaan telah melancarkan inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang melibatkan 2,000 unit rumah yang menjadi teduhan kepada Keluarga Malaysia yang kehilangan dan kekurangan pendapatan akibat pandemik COVID-19.

“Justeru Skuad Keluarga Malaysia yang menyaksikan penyelarasan semua mekanisme penyampaian bantuan, untuk rakyat yang memerlukan di seluruh negara di bawah satu jentera.

“Skuad Keluarga Malaysia ini akan diterajui Jabatan Kebajikan Masyarakat, di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ia merupakan kolaborasi pelbagai agensi di bawah kementerian berbeza, pihak swasta dan pertubuhanpertubuhan bukan kerajaan (atau NGO),” ujarnya.

Selain daripada itu, Ismail Sabri turut menekankan ciri kesyukuran kerana katanya tidak mudah mempertahankan payung toleransi andainya Keluarga Malaysia meminggirkan nilai-nilai yang boleh mewujudkan konflik dan perbezaan. Rasa ‘kesyukuran’ (atau contentment) terhadap toleransi ini telah diterjemahkan sebagai salah satu ciri-ciri Keluarga Malaysia.

“Saya ingin mengingatkan kembali bahawa keutamaan kita adalah untuk memerangi kemelut kesihatan dan ekonomi, tanpa memandang siapa yang ditimpa musibah. Usaha memulihkan negara ini akan tercapai dengan terus memupuk, menyemai dan mempertahankan ciri-ciri ‘Keterangkuman’ (Inclusivity), ‘Kebersamaan’ (Common Ground) dan ‘Kesyukuran’ (Contentment) yang kita miliki.

“Kejayaan ini akan membolehkan kita membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu, pasca
pandemik. Ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, keyakinan pelabur harus dikembalikan.

“Yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada Keluarga Malaysia, peperangan melawan pandemik
COVID-19 akan berakhir dengan kemenangan,” seru beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,573FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat