Siapa Timbalan Ketua Polis Negara Yang Baharu?

- Advertisement -

PETALING JAYA: Selepas pengumuman pertukaran 61 pegawai termasuk tujuh pengarah dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) hujung bulan lalu, kini jawatan orang nombor dua dalam pasukan itu menjadi teka-teki.

PDRM didakwa dalam dilema untuk memilih sama ada Datuk Seri Mazlan Lazim atau Datuk Razarudin Husain, 59,.

Mazlan Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman dan sebelum berpindah ke Bukit Aman, beliau adalah mantan Ketua Polis Kuala Lumpur manakala Razarudin pula sebelum itu Ketua Polis Perak.

RAZARUDIN HUSSAIN

Bagaimanapun, selepas rombakan besar-besar pertama kali dilakukan Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara, nama Mazlan paling `popular’ disebut bakal bergandingan dengan Acryl.

Khabar tersebut semakin jadi kenyataan apabila `pesaingnya’ seperti Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya ditukar menjawat jawatan Pengarah Cawangan Khas.

Begitu juga, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din antara pegawai kanan senior dipindahkan menjawat jawatan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.

Pesaing tunggal yang tinggal dan diletak sebaris dengan Zamri dan Ramli ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Razarudin Husain. Nama Razarudin seminggu lalu kembali menyaingi Mazlan apabila PDRM kini didakwa dalam 50-50 untuk memilih antara dua personaliti tersebut.

Namun mengikut cakap-cakap warga PDRM, Mazlan yang sebelum ini agak `tenggelam’ di Jabatan Logistik berpeluang lebih cerah berbanding Razarudin.

“Jika tidak ada perubahan, Mazlan akan mengisi jawatan Timbalan KPN.

“Setakat ini, Mazlan dalam senarai sebagai Timbalan KPN,” kata seorang pegawai polis yang tidak mahu dikenali.

Bagaimanapun, satu sumber lain memaklumkan, Mazlan memang hampir mengisi kekosongan kerusi nombor dua tersebut beberapa minggu sebelum ini tetapi situasi semasa berubah apabila Razarudin turut dalam pertimbangan serius untuk diletakkan di situ.

Mazlan memulakan karier sebagai pelatih kadet Asisten Superintenden (ASP) pada 1984.

Beliau mula dilantik sebagai Ketua Pengarah AADK pada Ogos 2018 selepas menggalas beberapa jawatan penting sehingga dinaikkan pangkat sebagai Komisioner Polis (CP) pada 2011.

Selain itu, jika beberapa bulan sebelum ini bertebaran mendakwa Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bakal menerajui kerusi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengantikan Datuk Huzir Mohamed namun ramalan tersebut meleset.

Satu sumber memaklumkan, desah-desus Ayob yang `garang’ memerangi geng-geng jenayah terancang dibawa kembali ke Bukit Aman tersasar.

Sebaliknya, secara tiba-tiba Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan dipilih mengisi kekosongan yang ditinggalkan Huzir.

“Nasib Ayob kini `tergantung’ antaranya boleh kekal di Johor atau ada dakwaan beliau dalam senarai untuk berpindah ke Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADDK),” kata sumber.

Namun melihat kepada kebolehan Ayob dan cara beliau bekerja, mungkin buat masa ini agak sukar untuk pegawai kanan polis dari Kedah itu `meninggalkan’ Johor.

Pada Februari tahun ini iaitu era Hamid masih KPN, Jalil disenaraikan mengisi jawatan Ketua Polis Selangor bagi menggantikan Datuk Noor Azam Jamaludin yang bersara wajib pada 15 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, arahan pertukaran tersebut tidak berlaku dan Ketua Polis Selangor kini diisi timbalannya, Datuk Arjunaidi Mohamed.

Pada minggu lalu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara akan diumumkan tidak lama lagi sebaik selesai melalui proses yang sepatutnya.- UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat