137 lot tanah Persekutuan dijadikan kawasan pertanian, perkukuh sekuriti makanan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Tujuh badan berkanun di bawah seliaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini diberikan hak eksklusif untuk membangunkan 137 lot tanah Persekutuan berkeluasan 2,305.28 hektar sebagai kawasan pertanian bagi memperkukuh sekuriti makanan negara.

Pemberian hak eksklusif itu dicapai menerusi pemeteraian perjanjian pajakan antara Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain bersama tujuh badan berkanun berkenaan di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Tujuh badan berkanun itu ialah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Pemeteraian itu disempurnakan oleh Muhammad Azmi bersama Ketua Pengarah LPP Datuk Azulita Salim, Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Yang Razalli, Pengurus Besar MADA Kamarudin Dahuli, Ketua Pengarah LKIM Yusoff Othman, Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M. Salleh, Pengurus Besar KADA Mohd Faizul Mustafa dan Timbalan Ketua Pengarah MARDI Dr Asfaliza Ramli.

Ia disaksikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mohamad ketika berucap pada majlis tersebut berkata menerusi pajakan bernilai RM281,121.37 setahun itu, kerajaan dapat memastikan tahap keterjaminan makanan negara kekal terjamin selain membolehkan badan berkanun berkenaan menjana pendapatan sendiri.

“Dalam daya upaya kita memastikan tahap keterjaminan makanan negara kekal terjamin, usaha sama yang utuh amat diperlukan daripada pelbagai pihak dan rakyat melalui pendekatan whole of government dan whole of society,” katanya lapor Bernama.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata perjanjian pajakan dilaksanakan selaras dengan Seksyen 221 Kanun Tanah Negara 1965 [AKTA 828] (KTN 1965) dengan PTP selaku pemilik tanah yang berdaftar boleh memajakkan tanah PTP bagi tempoh maksimum 99 tahun, jika ia berkaitan dengan seluruh tanahnya dan 30 tahun jika ia berkaitan dengan sebahagian tanahnya.

Bagi tanah rizab Persekutuan pula, mengikut Perkara 85(4) Perlembagaan Persekutuan, beliau berkata kerajaan Persekutuan boleh memberi apa-apa hak menduduki, mengawal atau menguruskan atau suatu penyewaan atau pajakan, keseluruhan atau mana-mana bahagian tanah itu kepada mana-mana orang dan untuk apa-apa tempoh.

“Perjanjian pajakan ini membolehkan badan berkanun di bawah seliaan KPKM mendapat kepentingan eksklusif sebagai badan korporat untuk mengawal selia, membangunkan dan mengurus semua perkara yang berkaitan dengan tanah atau fasiliti yang didirikan di atasnya dengan lebih teratur, cekap dan menepati kehendak undang-undang.

“Mekanisme perjanjian pajakan ini juga dilihat dapat membuka peluang baharu kepada badan berkanun yang terlibat dalam merencana serta mengorak langkah proaktif, agar terimaan hasil dapat diperkembangkan, seterusnya mengurangkan kebergantungan peruntukan kewangan daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat