Suspek Kes Buang Sisa Kimia Di Rizab Sungai Langat Diberkas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dengan kerjasama polis memberkas suspek yang disyaki terbabit dalam kes pembuangan haram sisa kimia di rizab Sungai Langat, Taman Seri Reko, Kajang, Selangor pada 3 Februari lalu.

Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar yang memaklumkan perkara itu dalam kenyataan malam tadi bagaimanapun tidak menyatakan jumlah suspek diberkas pihak berkuasa itu semalam.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat risikan, JAS Selangor menemui sebuah lori tiga tan disyaki digunakan dalam aktiviti itu yang nyaris menyebabkan Sungai Langat tercemar dan lori itu disita untuk siasatan lanjut.

Katanya, kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk mendakwa suspek mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang sabit kesalahan boleh dipenjara mandatori dan didenda tidak melebihi RM500,000.

“Saya merakamkan penghargaan kepada orang awam yang melaporkan kejadian ini dan sebarang aduan pencemaran perlu dilaporkan terus ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

“Saya menegaskan JAS sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar,” katanya.

Pada 3 Februari lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan turut memaklumkan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut berikutan penemuan tong berisi bahan buangan berjadual yang berpotensi menjadi punca pencemaran sungai.

Kerajaan Selangor juga tidak akan berkompromi dengan cubaan mensabotaj bekalan air dengan penemuan 19 tong bahan kimia di tepi Sungai Langat berhampiran Taman Sri Reko, Kajang itu, malah Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kegiatan jenayah itu perlu diperangi demi kesejahteraan hidup rakyat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pula berkata 19 tong bahan kimia dipercayai bahan alkali itu ditemukan dibuang dalam keadaan terbaring berhampiran sungai berkenaan.

Pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat 13 tong berisi 200 liter bahan kimia, manakala enam tong mengandungi 25 liter bahan sama. – BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat