Trofi untuk aktres ‘senior’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejayaan Susan Lankester meraih trofi Pelakon Komedi Terbaik Asia pada Asian Academy Creative Awards (AACA) 2021 di Singapura, Jumaat lalu, ditujukan khas aktres kacukan Cina-Inggeris ini kepada pelakon wanita dalam lingkungan usianya.

Susan, 59, yang merangkul trofi itu melalui lakonan cemerlang sebagai Mama Don dalam musim kedua drama bersiri Keluarga Baha Don yang ditayangkan platform Viu, melihat pelakon wanita berusia jarang mendapat kepercayaan menerajui naskhah drama atau filem.

Susan melihat ramai pelakon berusia 40 tahun ke atas memiliki bakat bagus tetapi tidak diberi peluang. Baginya, ini berpunca ketandusan skrip berkualiti selain berdepan diskriminasi stesen televisyen (TV) yang lebih melihat pelakon popular, muda dan memiliki ramai pengikut.

“Kemenangan ini membuktikan umur sekadar angka. Jadi, saya dedikasi anugerah ini kepada pelakon wanita dalam lingkungan umur saya yang berdepan isu watak apabila pengarah dan penerbit tidak lagi memanggil mereka berlakon.

“Jika ditawar sekalipun, watak diberi kecil. Saya pernah menjadi penerbit teater dan saya faham fikiran pelakon,” katanya kepada BH Online.

Dalam berdepan situasi itu, Susan percaya penulis skrip perlu memainkan peranan mereka.

“Sudah tiba masanya penulis skrip membuka minda dan mata. Lihatlah sekeliling, wanita ada banyak fasa dalam kehidupan mereka.

“Banyak karakter bagus dan kuat boleh dibentuk serta banyak cerita menarik boleh ditulis. Mungkin penulis skrip tidak buat kajian atau stesen TV tidak mahu karya membabitkan wanita berusia,” katanya.

Bagi Susan, jika masyarakat terus dihidangkan kisah komedi romantik dengan pelakon popular, cantik dan ramai pengikut tetapi tidak berbakat, pasti ia memberi kesan tidak baik kepada dunia lakonan.

“Tidak perlu pergi jauh hingga Hollywood atau Eropah. Kita lihat sahaja di Indonesia, Korea dan India.

“Mereka mampu menghasilkan filem dan drama yang mengangkat karakter wanita sebagai teraju utama. Watak yang diwujudkan sangat bagus.

“Jadi, kenapa kita tidak boleh buat? Sedangkan pelakon wanita yang berusia tahu bagaimana mewarnakan sesebuah watak.

“Walaupun watak diberi adalah karakter komedi seperti karakter saya dalam Keluarga Baha Don, tetapi kita tidak slapstik. Sebaliknya, ada jalan cerita dan dipersembahkan dengan jujur bukan komedi paksa,” katanya.

Susan menganggap jika pengkarya atau penggiat melakukan kerja dengan jujur, penonton akan lebih menghargai karya.

Menjadikan drama i-Tanggang-Mother of All Lies sebagai contoh, Susan kagum dengan naskhah arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin itu.

Baginya, drama itu memberi peluang kepada pelakon berpengalaman seperti Sherie Merlis menonjolkan kehebatan.

 

Susan merangkul trofi Pelakon Komedi Terbaik Asia melalui lakonan cemerlang sebagai Mama Don dalam drama bersiri Keluarga Baha Don musim kedua yang ditayangkan platform Viu.
Susan merangkul trofi Pelakon Komedi Terbaik Asia melalui lakonan cemerlang sebagai Mama Don dalam drama bersiri Keluarga Baha Don musim kedua yang ditayangkan platform Viu.

 

Menyifatkan Sherie Merlis sebagai pelakon bagus, namun, ramai yang terlepas pandang kebolehan dan bakat Sherie yang disifatkan amat teliti.

“Kita sebenarnya kekurangan penulis skrip sedangkan mereka antara individu penting dalam sesebuah naskhah.

“Setiap kali berjumpa dengan budak muda yang berminat dengan industri seni, saya selalu nasihatkan mereka cuba dan belajar menulis skrip.

“Minda mereka biasanya lebih terbuka kerana ada pengaruh Netflix, Disney Plus dan sebagainya. Saya yakin mereka boleh menghasilkan naskhah bagus.

“Tetapi sayangnya, kita sering dihidangkan dengan drama komedi romantik yang tidak perlu menggunakan otak,” katanya.

Susan percaya orang ramai akan menonton drama atau filem jika skrip dihasilkan berkualiti tanpa perlu bersandar kepada pelakon popular atau ‘Instafamous’.

“Minda penonton juga sebenarnya semakin terbuka,” katanya yang menyifatkan negara masih memiliki ramai pelakon baik seperti Fatimah Abu Bakar, Datin Sofea Jane, Angeline Tan, Sharifah Amani dan Nadia Aqilah.

Sementara itu berkongsi kegembiraan merangkul trofi AACA 2021 yang dianjurkan secara virtual, Susan yang menewaskan calon dari Asia Pasifik seperti Australia, New Zealand dan Hong Kong, terkejut apabila namanya diumumkan.

Akuinya, perasaan bercampur baur kerana tidak menjangka mampu menewaskan calon lain yang hebat dan berbakat.

“Apabila syarikat produksi memaklumkan saya melangkah ke peringkat serantau, saya terkejut, tidak senang duduk dan gementar.

“Pada malam acara berlangsung, semua calon diminta ‘standby’. Kami disuruh bersedia memberi ucapan jika menang.

“Ketika menanti keputusan, macam-macam perasaan timbul. Sakit perut dan rasa hendak buang air kecil semuanya ada. Sebaik nama diumumkan sebagai pemenang, saya sangat terkejut hingga lupa pasang mikrofon.

“Suara saya bergetar ketika memberikan ucapan akibat terlalu gemuruh,” katanya yang meminta penganjur menyunting detik kemenangan untuk dikongsi dalam media sosial.

Susan berharap kemenangan itu dapat membuka rezeki melangkah ke peringkat lebih jauh seperti ke Australia, Korea dan negara berhampiran.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat