Belanjawan 2021 Bukti Kerajaan Prihatin Bantu Rakyat – Alexander Nanta

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat apabila masih mengekalkan beberapa program subsidi utama yang mendukung daya tahan ekonomi negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata antaranya Program Penstabilan Harga Minyak Masak dengan peruntukan RM400 juta serta Program Pengedaran Barang Perlu, gas petroleum cecair dan ‘community drumming’ yang meningkat sebanyak RM50 juta berbanding Belanjawan 2020 kepada RM200 juta.

Turut dikekalkan ialah Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan dengan peruntukan meningkat RM20 juta kepada RM40 juta, Subsidi Tepung Gandung Kegunaan Am (RM40 juta) dan Program Beli Barangan Buatan Malaysia (RM20 juta).

“Beberapa inisiatif yang bersifat ‘people-centric’ turut diluluskan kerajaan di bawah Belanjawan 2021 yang diyakini berupaya membantu rakyat mengharungi cabaran ekonomi semasa sehingga keadaan pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nanta berkata Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik turut diperkenalkan dengan peruntukan RM5 juta, selain Program Pembangunan Usahawan/ Pembangunan Francais yang dinaikkan sebanyak RM1.3 juta berbanding Belanjawan 2020 kepada RM3.8 juta.

“Kesemua inisiatif itu jelas memperlihatkan elemen keterangkuman dan sifat inklusif kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam membantu rantaian ekonomi domestik di semua peringkat yang berupaya membawa impak positif kepada golongan pengguna,” katanya.

Nanta berkata KPDNHEP juga akan bekerjasama rapat dengan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam membantu usahawan di bawah seliaan mereka, melalui keterlibatan secara langsung KPDNHEP dalam sektor peruncitan dan pengedaran.

Mengenai keseluruhan peruntukan untuk KPDNHEP, terdapat kenaikan peruntukan mengurus sebanyak 6.33 peratus daripada RM1.019 bilion dalam Belanjawan 2020 kepada RM1.084 bilion untuk Belanjawan 2021.

Bagaimanapun, katanya peruntukan pembangunan memperlihatkan sedikit penurunan iaitu 15.03 peratus daripada RM78.4 juta kepada RM66.6 juta berikutan beberapa projek pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) sudah siap dilaksanakan.

“Keseluruhannya, KPDNHEP berpuas hati dengan peruntukan dana disalurkan dan memahami kerajaan sentiasa berusaha memberi dan melaksanakan yang terbaik dalam mengharungi fasa mencabar pada ketika ini,” kata Nanta. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat