Usah canang kegusaran, mari bersama kukuhkan ekonomi negara – Tengku Zafrul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sempat ‘menyindir’ pihak yang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam usaha memulihkan ekonomi.

Tengku Zafrul berkata, kemungkinan pergolakan dalam geopolitik dunia dan penurunan pertumbuhan ekonomi dunia pastinya menuntut setiap negara, bukan sahaja Malaysia

“Di bawah nakhoda Perdana Menteri, Kerajaan Keluarga Malaysia telah berjaya mengemudi negara ke landasan pemulihan ekonomi yang kukuh.

“Namun, masih ada yang mencanang kegusaran dan menyebar khabar berniat mencetuskan kebimbangan.

“Sememangnya diakui, situasi ekonomi global masih perlukan kita sentiasa berwaspada. Kemungkinan pergolakan dalam geopolitik dunia dan penurunan
pertumbuhan ekonomi dunia pastinya menuntut setiap negara, bukan sahaja Malaysia, untuk bersedia anjal menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Menteri Kewangan menyeru untuk menilai beberapa petunjuk dan angka berkenaan situasi ekonomi negara iaitu bermula dengan penguncupan 4.5 peratus pada suku ketiga 2021, ekonomi negara telah kembali berkembang 3.6 peratus bagi suku keempat 2021, terus mengukuh 5 peratus pada suku pertama 2022 dan kini melonjak 8.9 peratus bagi suku kedua 2022.

“Pertumbuhan suku kedua tahun ini merupakan pencapaian terbaik di Asia Tenggara.

“Momentum pertumbuhan ekonomi dijangka berterusan, malah lebih mengukuh bagi suku ketiga 2022. Insya-Allah, ekonomi negara dijangka
berkembang lebih baik daripada unjuran Mac lalu antara 5.3 hingga 6.3 peratus. Dengan indikator ekonomi yang terus menyokong trend pertumbuhan, Kerajaan menyemak semula unjuran KDNK 2022 kepada antara 6.5 hingga 7 peratus.

“Pemulihan tahun 2022 bukanlah semata-mata tentang KDNK sahaja. Malah, kehidupan rakyat juga telah bertambah baik. Kadar pengangguran
telah menurun untuk 12 bulan berturut-turut iaitu daripada 4.8 peratus pada Julai 2021 menurun kepada 3.7 peratus pada Julai 2022,” jelasnya.

Menurut beliau, dengan hanya setahun, Kerajaan Keluarga Malaysia berjaya kembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh.

“Keyakinan pengguna juga telah kembali pulih apabila nilai jualan dagangan borong dan runcit bagi Julai 2022 telah melonjak 41 peratus berbanding Julai 2021. Bagi tujuh bulan pertama, nilai keseluruhan perdagangan borong dan runcit mencecah 882 bilion ringgit iaitu 20 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama 2021.

” Pun begitu, pemulihan ekonomi negara yang terus mengukuh ini tetap tidak terkecuali daripada berdepan ketidaktentuan. Ekoran perkembangan global, kadar inflasi negara telah meningkat daripada 2.3 peratus pada Januari 2022 kepada 4.7 peratus pada Ogos 2022.

“Jika tidak kerana bantuan dan subsidi Kerajaan sebanyak 77.7 bilion ringgit, kadar inflasi Malaysia sepatutnya akan lebih tinggi dan boleh mencecah sehingga 10 peratus,” ujarnya.

Menteri Kewangan menambah, ekoran kadar inflasi yang tinggi dihadapi negara-negara lain terutamanya Amerika Syarikat yang mencecah 8 peratus, dasar monetari mereka telah diketatkan secara agresif, dengan kadar faedah dinaikkan sebanyak 300 mata asas tahun ini.

“Ini bermakna, dengan trend negaranegara asing mengetatkan dasar monetari mereka, dijangkakan dunia bakal menghadapi kelembapan ekonomi menjelang tahun 2023.

“Tinjauan ekonomi dunia bagi tahun 2023 akan semakin tidak menentu dan mencabar susulan konflik geopolitik, tekanan inflasi global, dasar monetari yang mengetat dan prospek pertumbuhan ekonomi yang lemah,” katanya.

Tengku Zafrul berkata lagi pada Januari 2022, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi dunia 2023 pada kadar 3.8 peratus.

“Namun, pada Julai lalu, IMF telah menyemak semula unjuran 2023 kepada 2.9 peratus.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tidak boleh lari daripada tempias perkembangan global yang kian mencabar ini.

“Maka, kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2023 dijangka menyederhana iaitu antara 4 hingga 5 peratus.

“Sebagai Keluarga Malaysia, kita perlu segera bertindak untuk mendepani setiap cabaran global yang mendatang, dan pada masa yang sama bertanggungjawab membina masa depan yang cerah buat anak anak generasi legasi. Maka, bagi ke arah Malaysia yang lebih baik, Bajet 2023 akan dipandu oleh 3R – Responsive, Responsible, Reformist,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat