KOTA KINABALU – Kabinet pusingan kedua Kerajaan Negeri Sabah ini ditunjangi parti lokal dan ia diuruskan sendiri oleh orang Sabah.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kali ini membuktikan kemampuan orang Sabah mengurus negeri sendiri.
Meskipun begitu, Masidi yang juga Adun Karanaan mendedahkan, hubungan kerja kerajaan GRS Sabah dengan Kerajaan Persekutuan sangat baik dan saling memahami.
“Pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor terbahagi kepada dua bahagian sebelum 2022 apabila ada usaha untuk menjatuhkan beliau dan selepas tempoh tersebut, ertinya mereka individu-individu pemimpin sebelum itu tidak lagi berada dalam kerajaan sekarang.
“Kalau boleh saya simpulkan dalam masa empat tahun tersebut khususnya dalam masa satu tahun ini, saya dapati kesedaran di kalangan orang Sabah perlunya bagi orang Sabah sendiri mengurus kerajaan negeri begitu tinggi.
“Kalau dulu kita biasa dengan kerajaan negeri yang ditunjangi oleh parti bersifat parti nasional tetapi kali ini dia ditunjangi dengan parti lokal dan empat tahun paling penting yang terjadi ialah orang Sabah sendiri sudah ada kemampuan untuk mengurus sendiri, kedua kita rasa kita ada hubungan kerja yang lebih baik dengan kerajaan Pusat, Kerajaan Pusat pun lebih faham dengan kedudukan kita di Sabah, kita pun faham dengan kedudukan Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada Suara.TV.
Sementara itu, Masidi turut mengakui Kerajaan GRS Sabah telah mewarisi masalah banyak dari segi infrastruktur.
Justeru katanya, ia telah sedikit sebanyak telah mengambil masa pentadbiran kerajaan untuk menyelesaikan.
“Masih lagi kita usaha untuk menyelesaikan, sebahagian besar daripada masalah tersebut.
“Mudah-mudahan dapat kita selesaikan sebelum kita turun ke gelanggang untuk pilihan raya akan datang,” katanya.
Untuk rekod pada 11 Januari 2023, rombakan Kabinet kerajaan Sabah diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyaksikan perubahan dalam lapan daripada 11 portfolio menteri negeri.
Tiga menteri dari Umno-Barisan Nasional (BN) iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin; ADUN Krambunai, Datuk Yakub Khan dan ADUN Sukau, Datuk Jafry Arifin digugurkan.
Ia berikutan tindakan BN Sabah diketuai Bung Moktar menarik sokongan kepada kerajaan negeri dan Ketua Menteri hingga mencetuskan kemelut politik.