‘Parodi okay, cedok lagu timbul masalah’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi, Naim Daniel tidak menganggap cara Azman Naim memberi versi baharu kepada lagu My Way sebagai sesuatu yang boleh menggugat atau merosakkan karya asal.

Naim yakin Azman Naim hanya mahu menyampaikan kandungan menghiburkan untuk pengikut laman sosialnya.

“Secara peribadinya, saya amat menyukai kandungan Azman Naim. Saya ikut dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, iaitu sejak dia memuat naik parodi lagu Hari Raya.

“Bagaimanapun, saya percaya kita akan menerima pelbagai pendapat daripada pengkarya, komposer dan sebagainya berhubung perkara ini.

“Saya melihat apa yang dilakukan Azman Naim, bukanlah sesuatu yang memudaratkan. Kandungan yang dimuat naik itu kita gelar parodi atau nafas baharu daripada versi aslinya.

Naim mengakui gemar menonton video parodi yang dirakam Azman Naim yang disifatkan menghibur dan tersirat mesej. Foto IG Naim Daniel
Naim mengakui gemar menonton video parodi yang dirakam Azman Naim yang disifatkan menghibur dan tersirat mesej. Foto IG Naim Daniel

 

“Saya pernah melakukan perkara sama melalui lagu My All. Saya rakamkan dalam versi Bahasa Melayu dan dimuat naik di platform sosial media,” katanya kepada BH Online.

Sejak akhir-akhir ini, seolah timbul aliran dalam media sosial apabila lagu saduran termasuk yang dirakam sebagai kandungan video parodi, dihasilkan banyak pihak.

Terbaru, video lagu My Sejahtera Way, iaitu karya parodi dinyanyikan Azman Naim mengikut lagu asal dendangan mendiang Frank Sinatra, My Way, tular.

Ini mencetuskan perdebatan apabila isu pelanggaran hak cipta dikaitkan dengan dendangan viral itu.

Kira-kira empat bulan lalu, Naim memuat naik rakaman versi bahasa Melayu lagu My All, dendangan asal Mariah Carey. Lagu yang diberi judul Malam itu menampilkan Firdaus Rahmat sebagai rakan duet.

Sehingga hari ini, muzik video Malam meraih 810,000 tontonan di saluran YouTube Naim Daniel.

Naim yang meraih trofi Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 melalui lagu Sumpah berpendapat orang ramai boleh menerima kandungan yang dimuat naik Azman Naim sebagai suatu yang positif.

“Saya percaya kandungan dimuat naik Azman Naim sejak PKP 1.0 sekadar memberi hiburan di sebalik apa yang berlaku sekarang ini.

“Dia hanya merakamkan karya parodi, bukannya perkara yang mendatangkan masalah.

“Saya percaya semua orang ada cara tersendiri untuk menyampaikan hasrat dan karya mereka. Saya bukanlah menggalakkan orang mencedok lagu dan seumpamanya, tapi kita perlu melihat daripada sudut berbeza.

“Kita perlu lihat apakah perkara itu mengganggu dan menggugat karya asal atau sekadar mahu menghiburkan,” katanya.

Naim berkata, semuanya bergantung kepada niat pengkarya.

“Selagi seseorang tidak meniru atau menggunakan karya orang lain atas kebaikannya sendiri, ia tidak menjadi masalah.

“Ini bergantung pada niatnya. Kalau pelaku mahu menggunakan lagu itu secara rasmi, jadi memang dia patut melalui proses hitam dan putih (dokumentasi).

“Sekiranya apa yang dilakukan mendatangkan impak yang besar kepada pengkarya asal, contohnya berselisih atau pihak terbabit menerima imbuhan, itu sudah dianggap cerita lain.

“Namun, jika itu menjadi niatnya, maknanya, dia bekerja atas karya orang lain… Itu salah,” katanya.

Naim percaya setiap pengkarya ada rujukan tersendiri dalam menghasilkan kandungan seperti dirinya.

“Sebagai komposer muda, saya selalu mencari ‘originality’ dalam bunyian kita. Saya selalu menjadikan Noh Salleh dan Faizal Tahir sebagai rujukan.

“Mereka adalah antara penyanyi yang ada ‘originality’ masing-masing. Boleh dengar, lagu saya pun kebanyakannya kedengaran seperti lagu mereka.

“Kita perlukan rujukan dalam menggerakkan kita untuk berkarya,” katanya.

Bagi Naim, inspirasi atas tujuan menghasilkan percambahan seni baharu, tidak menjadi persoalan.

“Kalau kita tiru bulat-bulat, tidak menukar melodi, lirik dan sebagainya serta menguasai lagu itu dengan cara kita, itu bahaya.

“Saya percaya perkara berkaitan pengambilan ‘sample’ lagu bukanlah baharu. Kita boleh lihat sekarang ramai yang menggunakan ‘sample’ lagu bagi menghasilkan kandungan atau kerja seni seni.

“Bagaimanapun, bagi saya, seni adalah subjektif. Sama ada kita mahu mencipta semula atau memelihara, bergantung kepada bagaimana kita mahu meletakkan seni kita itu,” katanya.

Lagu saduran My Sejahtera Way dendangan Azman Naim setakat ini meraih lebih 475,000 tontonan di YouTube.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat