‘Bukan semua dana FINAS dapat’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM100 juta dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan kepada lebih 8,000 penggiat seni dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana

Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini, cukup dinantikan penggerak industri kreatif. Dianggap talian hayat buat penggiat seni yang terkesan akibat impak penularan COVID-19, persatuan mewakili anak seni, penerbit dan pengarah bagaimanapun memohon penjelasan bagaimana agihan peruntukan itu dibuat dan pihak yang layak menikmati insentif terbaharu kerajaan itu.

BH baru-baru ini melaporkan kemusykilan penggerak industri kreatif yang bimbang andai peruntukan itu disalurkan kepada pihak salah.

Menjawab persoalan dibangkitkan penggiat seni, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri menjelaskan peruntukan RM100 juta PEMULIH diagihkan kepada semua agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Peruntukan RM100 juta untuk industri kreatif itu bukanlah untuk FINAS sahaja. Ia diagihkan kepada agensi lain di bawah kementerian seperti MyCreative Ventures, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pemulihan Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA).

“Setiap agensi akan mengeluarkan maklumat dan perincian mengenai peruntukan berkenaan mengikut skop masing-masing,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan wajar memperincikan agihan peruntukan RM100 juta dan menyelaraskannya demi kepentingan semua penggiat seni.

Ahmad mendakwa, setakat ini, tiada pemberitahuan secara teliti mengenai agihan peruntukan itu termasuk agensi yang bakal mengagihkannya.

Tambahnya, tiga persatuan teras mempunyai data lengkap penggiat seni iaitu FDAM, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) jika FINAS mahu mendapatkan maklumat dalam proses agihan peruntukan itu.

Ahmad Idham berkata, FINAS dijangka membuat pengumuman mengenai agihan peruntukan PEMULIH selewat-lewatnya pertengahan bulan ini.

“Soal siapa yang layak memohon dan tata cara membuat permohonan akan diumumkan pertengahan bulan ini. Skop dana akan diumumkan mengikut pecahan masing-masing seperti khusus untuk penerbitan, latihan, mikro dan pembangunan modal insan.

“Kita juga akan maklumkan mengenai kategori penerima peruntukan itu,” katanya.

Ahmad Idham menjelaskan kekeliruan mungkin timbul atas penggunaan istilah penggiat seni dalam memperkatakan mengenai agihan peruntukan PEMULIH.

“Mereka mungkin keliru dan menganggap apa sahaja membabitkan penggiat seni, semuanya di bawah bidang kuasa FINAS. FINAS tidak menjaga keseluruhan industri kreatif. Skop kami hanyalah untuk pembangunan filem nasional.

“Jika di bawah FINAS, penggiat kami adalah golongan penerbit kerana mereka yang mendaftar di bawah perbadanan ini. Seorang penerbit mungkin boleh mewujudkan 10 atau 20 peluang pekerjaan.

“Ini bermakna jumlah pekerja yang boleh mendapat manfaat daripada bantuan itu lebih besar. Itu juga bergantung kepada skop dana yang diterima.

“Kita hanya menggunakan data ‘solid’ berdasarkan senarai yang ada pada FINAS. Ini tidak membabitkan keahlian mana-mana persatuan seperti yang disuarakan,” katanya.

Terdahulu, peruntukan PEMULIH dilaporkan meliputi insentif penghasilan karya dan kandungan digital, peluang kerjaya dan program peningkatan kemahiran.

Ini termasuk caruman perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen (TV), radio dan penciptaan lagu.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat