70 Peratus Penjawat Awam Negeri Sabah di Arah Kerja Dari Rumah

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menetapkan 70 peratus penjawat awam di negeri ini bekerja dari rumah sepanjang sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, berkuat kuasa serta-merta.

Melalui kenyataan media oleh jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata hanya 30 peratus kakitangan dibenarkan hadir di pejabat berbanding 60 peratus yang ditetapkan sebelum ini.

“Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah COVID-19 menetapkan kehadiran kakitangan awam di organisasi masing-masing hendaklah sekurang- kurangnya 30 peratus di pejabat dan 70 peratus bekerja dari rumah. Arahan ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Beliau menjelaskan keputusan itu diambil berikutan peningkatan kes COVID-19 yang membabitkan penjawat awam, di samping kewujudan pelbagai kluster di seluruh negeri.

Sementara itu kerajaan negeri juga telah mengetatkan lagi sekatan pergerakan orang ramai di negeri ini termasuk menyekat pergerakan penjawat awam dan swasta yang berulang-alik di antara Wilayah Persekutuan Labuan dan tanah besar Sabah.

“Bagi penjawat awam negeri dan persekutuan serta swasta yang berulang- alik di antara Sabah dan Labuan adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP 3.0 berkuat kuasa serta-merta.

“Larangan ini bagi mengekang penularan kes COVID-19 yang membabitkan pasangan suami isteri berulang alik dari Sabah ke Labuan yang setakat ini menyebabkan enam kes positif COVID-19 di Kampung Manggis, Kuala Penyu,” katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, kerajaan negeri turut mengarahkan sekatan pergerakan di antara daerah Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang dikuat kuasa serta-merta.

Ujarnya semua daerah itu sebelum ini dikategorikan sebagai satu daerah dan tiada sekatan kepada penduduknya untuk bergerak dalam ketiga-tiga daerah.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira bilangan kes positif COVID-19 di ketiga-tiga daerah yang mencapai 70 kes pada hari ini (semalam).

“Sebagai usaha mengurangkan perjalanan yang tidak perlu maka orang awam tidak dibenarkan merentas daerah kecuali untuk perkhidmatan dan barangan perlu.

“Mulai esok (hari ini) polis akan melaksanakan pemeriksaan ketat kawalan larangan rentas daerah yang membabitkan tiga daerah ini,” katanya.

Selain itu, Masidi berkata kerajaan negeri juga memutuskan waktu operasi perniagaan di seluruh negeri dihadkan dari jam 9 pagi hingga jam 6 petang berbanding dari jam 7 pagi hingga 7 malam sebelum ini, kecuali pasar awam yang beroperasi mulai jam 6 pagi hingga 3 petang berkuat kuasa serta-merta.

Perubahan semasa itu dibuat selepas mengambil kira situasi penularan COVID-19 yang terus meningkat dengan semalam saja merekodkan sebanyak 305 kes baharu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat