Loji Kimia Bocor, 6 Maut Di India

- Advertisement -

INDIA – Sekurang-kurang enam maut, manakala 1,000 lagi dimasukkan ke hospital, berikutan insiden kebocoran gas di sebuah loji kimia di timur India, hari ini, kata pihak berkuasa.

Gas terbabit bocor daripada tangki di sebuah kompleks milik syarikat LG Chem di Korea Selatan, yang menghentikan sementara operasi susulan pelaksanaan perintah berkurung di India bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Rakaman disiarkan televisyen India memaparkan orang ramai, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbaring di atas jalan sekitar Visakhapatnam yang juga bandar pelabuhan perindustrian di negeri Andhra Pradesh.

Pesuruhjaya polis tempatan, RK Meena, memaklumkan enam orang disahkan maut, namun angka sebenar mangsa kejadian itu masih belum dapat dipastikan, setakat lewat pagi tadi.

Penyelaras hospital daerah, B K Naik, pula berkata sekurang-kurang 1,000 orang telah dikejarkan ke hospital berlainan, selain dikhuatiri ramai lagi yang pengsan di rumah masing-masing.

“Tambahan pula, ia berlaku pada awal pagi dan terdapat orang yang masih tidur di rumah (ketika gas bocor) serta tidak sedarkan diri.

“Kami sedang berusaha membawa mangsa ke hospital. Mereka memerlukan pengoksigenan dan udara segar,” kata Naik kepada AFP.

Gambar diambil oleh AFP di sebuah hospital, di sini, menunjukkan dua atau tiga pesakit di atas setiap katil dengan ramai daripada mereka adalah kanak-kanak, selain ramai tidak sedarkan diri.

Sesetengah pesakit terbaring di atas katil hospital dengan hanya memakai seluar pendek tanpa baju atau kasut.

Loji dikendalikan oleh LG Polymers yang juga subsidiari LG Chem itu terletak di pinggir bandar Visakhapatnam. Bandar ini dan kawasan sekitar menempatkan kira-kira lima juta penduduk.

Menurut Asisten Komisioner Swaroop Rani di Visakhapatnam pula, penduduk setempat memaklumkan insiden kecemasan itu kira-kira jam 3.30 pagi.

“Mereka memberitahu bahawa ada bau gas dalam udara.

“Kami segera berkejar ke lokasi. Gas memang terasa dalam udara dan tiada dalam kalangan kami yang mampu bertahan lebih daripada beberapa minit di situ,” katanya.

Menurut Times of India pula, sekurang-kurang lapan mangsa maut, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, dan 5,000 orang jatuh sakit.

Selain itu, ada penduduk yang mengadu bahawa mereka mengalami masalah pernafasan, ruam pada badan dan sakit mata.

Sementara itu di Seoul, LG Chem dalam satu kenyataan berkata, kebocoran gas di loji kimia terbabit kini berada ‘dalam keadaan terkawal’.

“Kebocoran gas itu kini berada dalam keadaan terkawal dan kami sedang meneroka semua cara bagi menyediakan rawatan segera kepada mereka yang terhidu gas bocor itu,” kata LG Chem.

Menurut syarikat itu lagi, pihaknya sedang menyiasat tahap kerosakan yang berlaku dan punca sebenar kebocoran serta kematian terbabit.

LG Chem turut mengesahkan loji itu tidak beroperasi kerana perintah berkurung, namun terdapat kakitangan penyelenggaraan yang bertugas di sana.

“Seorang pekerja pada syif malam telah mengesan kebocoran itu lalu membuat laporan,” kata jurucakap syarikat itu kepada AFP di Seoul.

Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi, pula menciap dalam Twitter: ‘Saya mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua orang di Visakhapatnam’.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat