‘Penyanyi tanpa vokal hebat bukan perosak’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu penyanyi tanpa vokal hebat, namun lagu tular dalam platform media sosial hingga mampu menarik peminat di peringkat antarabangsa tidak dilihat merosakkan industri muzik tempatan.

Malah, industri muzik memerlukan kepelbagaian agar tidak membosankan pendengar.

Demikian pandangan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim yang sudah 30 tahun berpengalaman dalam industri muzik.

Norman berkata, industri muzik tidak boleh terlalu ‘rigid’ dan tidak boleh mengekang selera pendengar.

“Diakui, ramai berlumba-lumba mahu menjadi penyanyi, walaupun ada antara mereka tidak boleh menyanyi. Ini termasuklah beberapa usahawan selebriti.

“Bagaimanapun, lagu nyanyian mereka berjaya menjadi popular kerana ‘catchy’ dan berkonsep. Malah, tidak boleh dinafikan, ada antaranya lebih popular berbanding artis rakaman.

“Dalam sehari, mereka mampu meraih sejuta tontonan di laman YouTube, penyanyi popular pun jarang mampu pergi sejauh ini. Tetapi, inilah dunia hiburan, kita tidak mampu mengekang apa yang orang suka.

“Kalau pendengar suka, terserah pada selera mereka. Sama seperti muzik K-Pop, ada orang suka dan sebaliknya.

“Bagi saya, ia tidak akan sesekali merosakkan industri, sebaliknya membawakan kepelbagaian dan kelainan yang perlu ada setiap masa untuk merancakkan industri muzik,” katanya kepada BH Online.

Norman berkata, penyanyi perlu datang bersama pakej lengkap, malah ada yang mampu menyanyi dengan baik, tetapi tiada pakej sebagai penghibur.

 

Norman berpendapat industri muzik tidak boleh terlalu ‘rigid’ dan tidak boleh mengekang selera pendengar.
Norman berpendapat industri muzik tidak boleh terlalu ‘rigid’ dan tidak boleh mengekang selera pendengar.

 

Katanya, berdasarkan pengalaman bekerja dengan puluhan penyanyi, mereka berjaya bukan disebabkan penyanyi yang mampu menyanyi lagu berentak R&B dengan baik, tetapi bergantung kepada pakej yang dilakukan oleh syarikat rakaman dan pengurusan.

“Kami pernah menghasilkan lagu I Am Me untuk Datuk Seri Vida, begitu juga Datuk Seri Aliff Syukri. Lagu I Am Me tular sehingga ke luar negara dan berjaya mencatat 13 juta tontonan di laman YouTube.

“Lagu I Am Me bukan sahaja unik, tetapi disertakan lirik yang ringkas dan disukai ramai. Sama juga seperti lagu Gangnam Style dan Pen Pineapple Apple Pen, kedua-dua lagu ini tidak mencabar vokal penyanyi.

“Namun, disebabkan melodi yang unik dan menarik, ia popular dan diminati ramai sehingga mencatat jumlah tontonan sehingga mencecah bilion.

“Sama seperti ada penyanyi kelab yang memiliki vokal baik, tetapi tidak akan mampu menjadi penyanyi rakaman. Semua ini seperti dikatakan bergantung kepada pakej,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan penyanyi baharu KRU Music, Timur yang melancarkan single pertama, Not A Criminal.

Sementara itu, Norman tidak menafikan kuasa tular dan pasaran digital memainkan peranan penting dalam mengangkat sesebuah karya dan nama penyanyi.

Justeru, KRU Music sendiri, katanya kini akan memberikan lebih tumpuan dan penekanan sudut promosi pada platfrom media sosial seperti TikTok bagi membantu melonjakkan artis.

Selain itu, katanya, pihaknya juga melihat strategi menjalinkan kerjasama dengan label bertaraf antarabangsa antara faktor penting mempromosikan kerjaya penyanyi baharu.

“Bukan sahaja artis di bawah label KRU Music, malah semua penyanyi tempatan harus menjalinkan kolaborasi dengan penyanyi lain dengan mewujudkan rangkaian dengan syarikat rakaman.

“Ia adalah salah satu strategi memperkenalkan mereka dengan lebih mudah.

“Sekurang-kurangnya apabila orang mencari lagu milik seseorang penyanyi yang bernaung di bawah sesebuah syarikat rakaman, secara tidak sengaja mereka akan terjumpa lagu penyanyi baharu apabila adanya usaha sama dengan syarikat label yang sudah kukuh,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat