Seribu satu kemanisan

- Advertisement -

BULAN Ramadan ternyata membawa seribu kemanisan buat pelakon dan pengacara cantik Uyaina Arshad yang mengesahkan dirinya kini hamil anak sulung.

Kandungan pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu kini sudah memasuki trimester kedua dan dia memohon doa ramai untuk keselamatan dan kesejahteraannya sekeluarga.

“Ramadan kali ini membawa seribu satu kemanisan buat saya dan suami, Syahiran. Pertama kali sambut Ramadan sebagai suami isteri dan pertama kali juga menyambut Ramadan dan Syawal sebagai bakal ibu bapa.

“Alhamdullillah terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan untuk kami. Insya-Allah tak lama lagi keluarga kecil kami akan bertambah dan syukur padamu ya Allah,” katanya.

Uyaina dan Raja Syahiran yang juga penyanyi melangsungkan pernikahan di Colony Star Boulevard, Kuala Lumpur pada 20 Disember, tahun lalu.

Pasangan yang baru pulang bercuti itu turut bersyukur dengan kata-kata positif serta doa yang dititipkan buat mereka berdua.

 

UYAINA dan Syahiran baharu empat bulan berumah tangga.
UYAINA dan Syahiran baharu empat bulan berumah tangga.

 

“Kami sedia berkongsi mengenai berita kehamilan ini kerana sudah ramai menanyakan mengenai kandungan saya. Apatah lagi, usia kandungan juga sudah memasuki trimester kedua dan tak dapat disorok lagi.

“Malah, saya dan Syahiran berpendapat tidak baik untuk terus menafikan berita gembira ini dan kami pun berkongsi. Malah, kandungan saya juga sudah kuat kerana hampir masuk 15 minggu.

“Buat masa ini saya masih diberikan kudrat untuk berpuasa, malah alahan juga tidak seteruk ketika di awal kehamilan. Badan jadi lembik dan tidak boleh hendak bekerja, namun kini sudah kembali normal.

“Bercerita mengenai puasa, Syahiran jenis yang perlu sahur nasi, berbeza dengan saya yang hanya minum air dan makan bijiran. Jadi, puasa dan raya tahun ini memberikan pengalaman yang baharu dan berbeza buat kami berdua,” katanya.

Sementara itu, penyanyi Usop Mentor turut mengklasifikasikan bulan Ramadan kali ini penuh kesempurnaan dengan kehadiran isteri tercinta, Nur Fatihah Md Hashim yang kini hamil cahaya mata sulung mereka.

Usop dan isterinya mendirikan rumah tangga pada 4 Februari lalu dan mendapat perkhabaran gembira bakal dikurniakan zuriat untuk menyerikan lagi keluarga kecilnya itu.

 

USOP akui teruja bakal bergelar bapa.
USOP akui teruja bakal bergelar bapa.

 

“Apa yang boleh dikatakan, Ramadan saya tahun ini terasa sempurna. Ini adalah definisi kegembiraan yang sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata.

“Jika sebelum ini berpuasa dan beraya sebagai orang bujang, tidak lama lagi saya akan bergelar bapa. Dulu hendak ke bazar pun tidak begitu teruja, kini sejak ada orang rumah berbeza perasaan membeli juadah berbuka.

“Apatah lagi, saya bukan saja hanya memikirkan mengenai perut sendiri, tapi isteri serta bayi dalam kandungan juga. Jadi, dah tak boleh ikut tekak sendiri saja dan kena ubah rutin tahun ini,” katanya.

Usop mengakui dia juga bertindak terlalu awal berkongsi mengenai kehamilan isterinya di media sosial gara-gara teruja bakal bergelar bapa.

Dalam pada itu, Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor juga risau akan kesihatan dan keadaan isterinya yang kini meniaga di bazar Ramadan Seberang Jaya, Pulau Pinang.

“Fatihah berniaga kuih-muih di bazar sepanjang bulan puasa ini. Saya sudah melarang, namun dia tetap teruja untuk berniaga. Jadi, sebagai suami, saya turut turun padang membantunya menjual kuih.

 

RAMADAN Usop dirasakan sempurna dengan kehadiran isteri.
RAMADAN Usop dirasakan sempurna dengan kehadiran isteri.

 

“Saya memohon doa supaya semuanya berjalan lancar. Insya-Allah, doakan supaya semua urusan kami dipermudahkan. Cuma, silap saya berkongsi terlalu awal berita kehamilan itu kerana terlalu teruja. Ibu saya juga ada menegur mengenai perkara itu,” katanya.

Jelas Usop, dia dan Fatihah tidak merancang soal cahaya mata sebaliknya menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah SWT.

Biarpun bergelar suami pada usia muda, Usop berharap status yang disandangnya bakal menjadikan dia lebih matang dalam segala tindak tanduk.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat