Rumah Tangga UMNO Mula Diganggu Orang Ketiga Pada Ogos Tahun Lepas, Jajaran Baharu Dihidu – Annuar Musa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa membongkar kisah ‘rumah tangga’ UMNO yang mula dikacau orang ketiga pada Ogos tahun lalu.

Selaku bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) beliau mula menghidu permulaan rundingan jajaran baharu ketika pengurusan parti yang sedang bersiap sedia berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Memetik Astro Awani segalanya sudah diatur cantik pada awalnya.

Katanya, matlamat Muafakat Nasional (MN) untuk membentuk semula kerajaan yang berteraskan Melayu Islam tanpa mengetepikan bangsa lain sudah berada pada landasannya.

Annuar berkata, UMNO berjaya bermuafakat dengan mengetepikan hal-hal kecil dan furuk untuk menumpukan kepada agenda murni itu dengan asas yang dibina kukuh bersama.

Jelas Menteri Wilayah Persekutuan itu sokongan diberi secara ‘en bloc’, dasar ‘No Anwar, No DAP’ terus dipegang dan melawan COVID-19 menjadi teras utama.

Bagaimanapun ujarnya, semuanya hanya bertahan selama enam bulan sahaja.

“Mac hingga Ogos. Pada bulan Ogos, banyak peristiwa politik berlaku, termasuk penghakiman di mahkamah terhadap tokoh tertentu dalam UMNO.

“Dan pada ketika itu juga, berlaku di belakang tabir permulaan perundingan jajaran baharu yang pada awalnya secara bersembunyi,” dedahnya.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu menceritakan bahawa beliau mengetahui perkara tersebut kerana pada ketika itu beliau adalah Setiausaha BN yang sedang mengendalikan pengurusan parti yang sedang bersiap sedia berdepan PRN Sabah.

Ketika itulah, beliau sudah mula terhidu sesuatu sedang berlaku apabila jajaran asal yang dipersetujui berdasarkan keputusan parti itu mula dipinggirkan.

Ini kerana dakwanya, ada individu yang mula menggerakkan rundingan antara UMNO dengan PKR sehingga akhirnya diberi satu sokongan hitam putih untuk menukar kerajaan.

“Maka di sinilah berlaku perubahan haluan. Walhal di saat itu adalah saat yang penting kerana pada 18 Ogos kita telah menerima kesediaan Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional setelah pada Julai kita memanjangkan jemputan untuk mereka.

“Dan pada 19 September, sebulan kemudian, perkara itu dimeterai dalam minit mesyuarat jawatankuasa MN.

“Tapi malangnya pada masa sama, bulan September itu jugalah naratif baharu sudah mula dibina, dan naratif asal ini yang baru mula hendak membenih telah ditenggelamkan,” kata Annuar lanjut.

Ada juga yang mengatakan bahawa kegagalan Bersatu menyertai Muafakat Nasional adalah disebabkan ia tidak diterima baik oleh akar umbi.

Bidas Annuar, masakan boleh terjadi begitu sedangkan rundingan rasmi antara dua parti itu tidak pernah berlaku.

Jelas beliau, cakap-cakap itu muncul kemudian.

Sebelumnya, kerjasama yang terbina sangat molek sehingga UMNO menerima wakil dari parti minoriti itu sebagai Perdana Menteri.

“Saya di urusetia, saya tahu sebenarnya soal rundingan kerusi pun belum pernah berjalan antara UMNO dengan Bersatu.

Ia hanya baru berjalan antara UMNO dengan badan perhubungan negeri, kemudian UMNO dengan parti komponen (dalam BN), selepas itu UMNO dengan Pas.

“Antara UMNO dengan Bersatu, rundingan secara formal belum pun lagi berlaku. Tetapi macam mana boleh keluar cerita berebut kerusi itu ini dan sebagainya?” ujarnya.

//

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat