Pertubuhan Belia Jadi Pengantara Orang Muda Dengan Kerajaan – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peranan Majlis Belia Malaysia (MBM) diiktiraf sebagai badan induk pertubuhan belia yang menjadi pengantara orang muda dengan kerajaan.

Menurut beliau, MBM juga berperanan besar dalam membantu kerajaan membangunkan belia Keluarga Malaysia di seluruh negara.

“Saya yakin, MBM yang mewakili suara anak-anak muda, sememangnya dekat dan peka kepada kehendak belia untuk bergerak bersama Kerajaan ke arah meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Keahlian pertubuhan belia yang kini kira-kira 1.2 juta, mewakili hanya 8 peratus daripada keseluruhan populasi belia negara, sewajarnya ditambah menerusi aktiviti-aktiviti yang diminati golongan itu selain mempelbagaikan pendekatan bagi mempertingkatkan penglibatan mereka ke dalam organisasi belia.

“Penglibatan mereka dalam aktiviti seumpama ini dapat menggalakkan pembudayaan aktiviti yang lebih sihat seperti penyertaan NGO belia dalam menghulur bantuan kepada mangsa bencana banjir di Kedah, Lembah Klang, Johor dan yang terbaharu, di Pantai Timur Semenanjung.

“Program khidmat komuniti dan pasca bencana seperti Rakan Muda Day Out & Rakan Muda Prihatin amat memerlukan tenaga sukarelawan muda untuk berkhidmat dengan masyarakat.

“Saya percaya bukanlah penghargaan yang dikejar oleh mereka namun pada malam ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh sukarelawan belia, anda semua adalah wira-wira belia negara,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-71 Majlis Belia Malaysia (MBM), di Subang sebentar tadi.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi membolehkan MBM menjalankan aktiviti berkaitan belia.

Beliau turut mengimbas kembali peranan yang dilakukannya ketika memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan kira-kira 13 tahun lalu.

“Berada di pentas ini menyingkap kembali kenangan 13 tahun lalu, semasa saya menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Belia dan Sukan.

“Saya masih ingat ketika itu saya mahu agar anak muda aktif berpersatuan kerana saya yakin persatuan belia mampu menjadi ejen dalam membentuk insaniah serta menggilap bakat dan potensi belia dalam kepemimpinan.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ketika itu mewujudkan satu inisiatif yang dinamakan ‘1 Suara’ yang menggalakkan anak muda menyertai persatuan belia untuk membawa perubahan sebenar kepada negara,” katanya.

Perdana Menteri selanjutnya berkata, kerajaan pimpinannya turut prihatin dengan nasib yang menimpa sesetengah belia dan mereka yang yang hilang pekerjaan kerana pandemik Covid-19.

“Kerajaan sedar ramai yang terkesan akibat pandemik COVID-19, terutamanya golongan pekerja dan peniaga muda yang kehilangan kerja, malah ada perniagaan yang sukar untuk bangkit semula.

“Justeru itu, dalam Bajet 2022, kerajaan menawarkan lebih 25 insentif yang boleh dimanfaatkan oleh golongan belia, baik daripada segi bantuan tablet, e-dompet, insurans, perantisan sehingga kepada inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan dan 320,000 pekerjaan baharu menerusi PenjanaKerjaya.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pula, Kerajaan menyediakan perancangan yang jelas untuk golongan belia ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi pada tahun 2025.

“Saya difahamkan, KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah mula menggerakkan inisiatif Pembangunan Profesional Kerja Belia dan sewajarnya pemimpin-pemimpin dan penggerak belia mengambil peluang ini untuk memperolehi pensijilan kerja yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) hingga ke tahap SKM 3, SKM 4 dan SKM 5,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat