Kedah Rubber City Transformasi Kedah Negeri Maju

- Advertisement -

PADANG TERAP – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kedah Rubber City bakal menjadi pemangkin transformasi sosioekonomi Kedah.

Perdana Menteri hari ini secara rasmi melancarkan Kedah Rubber City (KRC), taman perindustrian getah khusus mesra alam pertama di Malaysia yang dijangka akan mengekalkan trajektori pertumbuhan semasa Kedah dan NCER. Beliau juga menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara NCIA dan pelabur serta rakan-rakan strategik dalam pembangunan KRC.

“KRC merupakan salah satu daripada pelbagai projek ‘game changer’ yang dilaksanakan NCIA dengan kerjasama Kerajaan Negeri untuk mentransformasi negeri Kedah sebagai sebuah negeri yang maju, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara wilayah,” kata Perdana Menteri.

Ujarnya, projek itu turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyampaikan pembangunan berskala besar ke kawasan-kawasan kurang membangun di negara ini.

“Sambutan terhadap KRC sehingga kini adalah amat menggalakkan, yang mana ia telah berjaya menarik pelaburan komited bernilai kira-kira RM4 bilion yang akan mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan baru.

“Malah, KRC kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran pelaburan swasta RM10 bilion menjelang 2025, iaitu lima tahun lebih awal daripada
sasaran asal 2030. Pelaburan itu akan mewujudkan kira-kira 15,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, bukan sahaja di Padang Terap malah di Kedah secara keseluruhannya.

“Para pelabur perintis di KRC ialah Hong Seng Industries Sdn Bhd, yang merancang untuk membina salah sebuah kilang getah nitril butadiena (NBL) terbesar di dunia di taman perindustrian tersebut mulai tahun ini, dan LTS Logistics Sdn Bhd, yang akan membangunkan ekosistem logistik bersepadu di KRC yang terdiri daripada hab logistik, depot kontena dan gudang,” katanya.

Ismail Sabri berkata, KRC, yang bakal dibangunkan dalam dua fasa di kawasan seluas 1,244 ekar, merupakan salah satu projek strategik nasional Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan melalui NCIA dengan tujuan menjadikannya sebuah peneraju dalam pembangunan industri getah Malaysia serta hab global bagi industri getah nilai.

“Fasa 1 pembangunan KRC telah pun siap dan taman perindustrian tersebut kini bersedia untuk menerima kedatangan pelabur. Susulan kemajuan memberangsankan KRC Fasa 1, Fasa 2 projek berkenaan dijadualkan akan bermula pada 2023.

“KRC dijangka akan meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah di Kedah dengan memastikan permintaan yang berterusan dan mampan untuk getah asli mereka, serta menstabilkan harga getah dengan mengoptimumkan penggunaan getah melalui pengeluaran produk-produk hiliran bernilai tambah.

“NCIA akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk memupuk dan membangunkan para pekebun kecil getah tempatan di bawah projek KRC, yang berpotensi memberi manfaat kepada 73,642 pekebun kecil getah di Kedah, termasuk 11,190 pekebun kecil dari Padang Terap,” ujar beliau.

Perdana Menteri juga menambah, KRC juga akan memanfaatkan lokasi strategiknya di sepanjang kawasan “Rubber Belt” di sempadan Malaysia-Thailand dan dalam Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia- Thailand (IMT-GT), dan berperanan sebagai pusat inovasi produk getah untuk menyokong aktiviti hiliran dan huluan untuk sektor tersebut.

“NCIA juga akan menjalin kerjasama strategik dengan institusi dan organisasi utama untuk membangunkan ekosistem mampan untuk KRC demi memastikan kejayaannya sebagai perintis taman perindustrian getah khusus mesra alam di Malaysia.

“Program-program pengupaya seperti proses kelulusan pembangunan tanah yang cekap, program kemahiran tenaga kerja dan bakat, program pensijilan produk-produk getah, penyumberan bahan mentah dan pembangunan vendor tempatan akan diberi penekanan khusus dalam pembangunan KRC,” beritahunya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ucapannya berkata, ekonomi Kedah telah melonjak semula dengan kukuh pada 2021 dengan disokong oleh pelaburan swasta dalam sektor pembuatan yang dipacu eksport, khususnya dalam pengeluaran sarung tangan getah, produk elektrik dan elektronik, serta tenaga boleh baharu.

Tambahnya, pertumbuhan pelaburan untuk Kedah akan terus dikekalkan dengan pelaksanaan projek-projek strategik berimpak tinggi seperti KRC.

“Saya yakin, KRC juga mampu mengikut jejak langkah Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dalam menarik kemasukan pelaburan yang berkualiti yang berupaya menjana limpahan manfaat kepada rakyat negeri Kedah, khususnya dari segi mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu,” jelas beliau.

Kata Sanusi, rakyat Kedah dari segenap lapisan masyarakat juga bakal menikmati manfaat daripada pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi NCIA seperti NCER AgriBio Economic Zone (NAEZ) yang merangkumi Model Pengurusan Estet (EMM) 2.0 bagi penanaman padi di Pendang serta Bandar Baharu Innovation Hub, Kedah Science & Technology Park (KSTP), Integrated Economic & Community Centre atau iCON di Sik, Baling dan Yan, serta Perpustakaan Digital Kedah (Kedah Digital Library).

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, pelancaran projek KRC adalah sebahagian daripada usaha NCIA dalam menyokong matlamat Kerajaan untuk mempercepatkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara dalam era pasca-pandemik COVID-19.

“Pihak NCIA amat fokus dan komited dalam melaksanakan program pembangunan strategik yang selaras dengan Pelan Pemulihan Nasional dan RMK-12 untuk memperkasakan rakyat dan komuniti perniagaan di NCER ke arah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi,” kata Issace.

Pelancaran rasmi KRC pada hari ini turut dihadiri oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; dan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat