KRC: Padang Terap kini nikmati limpahan kemakmuran, hapus miskin tegar

- Advertisement -

PADANG TERAP – Kerajaan komited menjayakan misi Rancangan Malaysia Ke12 (RMK-12) ke arah membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025 melalui perasmian Projek Strategik NCER – Kedah Rubber City (KRC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelancaran projek KRC yang merupakan salah satu projek strategik nasional di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) ini tepat pada masanya ketika negara sedang dalam menjalani proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi setelah terkesan oleh impak pandemik COVID-19.

Kata beliau, NCER kini sedang berdepan dengan prospek pertumbuhan yang cerah, yang mana ia diunjurkan akan mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Wilayah sebanyak 6.5 peratus-6.9 peratus dalam tempoh pemulihan 2021-2022.

“Sentimen pelabur juga sangat positif ketika ini dan pengutamaan projek dan program pemangkin serta insentif oleh Kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan terus merangsang pertumbuhan dan pemulihan ekonomi di wilayah ini.

“Malah, NCER telah menyumbang majoriti pelaburan sektor pembuatan yang diluluskan di Malaysia sehingga Suku Tahun Ketiga 2021, iaitu 61.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di Malaysia.

“Kemasukan pelaburan swasta di NCER saling berkait rapat dengan pelaksanaan program-program Modal Insan berteraskan Keluarga Malaysia oleh NCIA, yang telah memberi manfaat kepada 67,935 orang dari 30 daerah di NCER sejak 2019 sehingga 2021,” ujar Perdana Menteri.

Ismail Sabri memberitahu, program-program tersebut juga adalah selaras dengan sasaran. Ia juga melalui suntikan bantuan sara hidup yang diintegrasikan dengan
pendidikan, latihan kemahiran untuk rakyat tempatan, serta penyediaan peluang pekerjaan bagi golongan sasaran.

” Berdasarkan perkembangan-perkembangan positif tersebut, adalah penting bagi negeri Kedah khususnya, dan NCER amnya, untuk terus meningkatkan daya saing dalam era pasca COVID-19 agar mampu menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa.

“Langkah ini penting bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan menjana peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu untuk Keluarga Malaysia,” jelasnya.

Perdana Menteri menyebut, di bawah RMK-12, Kedah telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada enam negeri yang akan diberi keutamaan dalam perancangan
pembangunan negara.

Justeru tegasnya, KRC merupakan salah satu daripada pelbagai projek “game changer” yang dilaksanakan NCIA dengan kerjasama Kerajaan Negeri untuk mentransformasi negeri Kedah sebagai negeri yang maju, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

“KRC dibangunkan dengan matlamat untuk menjadikannya sebagai peneraju pembangunan industri getah negara serta hab industri getah bernilai tinggi di peringkat global.

“Kewujudannya mencerminkan momentum pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negeri Kedah, yang akan dipacu oleh sektor pertanian moden dan pintar serta pembuatan
bernilai tinggi.

“Jika sebelum ini, pembangunan berskala besar kebanyakannya hanya tertumpu di kawasan bandar. Hari ini, Keluarga Malaysia di kawasan luar bandar termasuk di Padang Terap juga mampu menikmati limpahan kemakmuran yang dicipta hasil daripada projek-projek strategik nasional seperti KRC ini.

” Berdasarkan lokasinya yang strategik di kawasan “Rubber Belt” sempadan Malaysia-Thailand, KRC juga akan memupuk kerjasama dan integrasi serantau yang lebih erat antara kedua-dua negara, serta dijangka menjadi penggerak dalam menghubungkan pengeluarpengeluar getah utama di rantau ini di bawah platfom Indonesia MalaysiaThailand Growth Triangle (IMT-GT).

“KRC juga akan menjadi pusat inovasi produk getah yang boleh membantu aktiviti hiliran dan huluan untuk sektor ini,” ujar Perdana Menteri.

Menurut Ismail Sabri lagi, selaras dengan visinya untuk menjadi sebagai sebuah taman perindustrian mesra alam bertaraf dunia, KRC menawarkan infrastruktur
dan jaringan kesalinghubungan yang baik, serta kumpulan bakat dan ekosistem yang mesra pelabur.

Katanya, KRC bakal menarik pelaburan berpotensi bernilai RM10 bilion dan mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2025.

“Projek ini bakal memberi pelbagai limpahan manfaat kepada masyarakat setempat. Walaupun baharu sahaja dilancarkan, KRC sehingga kini telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4 bilion yang bakal menjana hampir 7,000 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.

” Sebagai contoh, kerjasama strategik di antara Mitsui & Co (Malaysia) Sdn Bhd dengan Hong Seng Consolidated Berhad (Hong Seng) melibatkan pelaburan bernilai kira-kira RM3 billion untuk KRC.

“Kerjasama ini juga akan mengukuhkan rantaian bekalan bahan mentah dalam pembuatan polimer NBL dengan kepakaran Mitsui dalam industri ini. Pelaburan ini bukan sahaja bakal mewujudkan 1,600 peluang pekerjaan baharu tetapi juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import polimer NBL kerana Hong Seng akan memindahkan
teknologi canggih baharu yang diperolehi kepada negara.

“Selain kerjasama strategik ini, kita bakal menyaksikan sembilan pertukaran dokumen perjanjian, surat niat dan memorandum persefahaman (MoU) di antara pelabur dengan NCIA serta agensi kerajaan yang lain.

“Saya amat mengalu-alukan dan mengucapkan terima kasih kepada pelabur yang memberikan sokongan untuk menjayakan projek nasional ini.

“Sebagai seorang anak penoreh getah, saya amat berbesar hati kerana projek KRC ini bakal memberi manfaat kepada pekebun kecil getah di negeri ini. Walaupun Kedah merupakan salah satu kawasan penanaman getah yang penting di tanah air, namun industri getah di negeri ini kebanyakannya masih tertumpu kepada aktiviti bernilai rendah
dengan saluran pemasaran yang terhad. Ini mengakibatkan ramai pekebun kecil masih dibelenggu dengan pendapatan yang rendah dan kemiskinan,” ujarnya.

Justeru Ismail Sabri berkata, Projek KRC akan membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil dengan memastikan permintaan yang berterusan untuk bekalan getah asli mereka, di samping menstabilkan harga getah melalui penggunaan getah asli secara optimum dengan penghasilan produkproduk hiliran yang bernilai tambah.

Di samping itu juga katanya, projek KRC ini akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu untuk penduduk setempat.

” Sehubungan itu pihak NCIA akan bekerjasama dengan RISDA bagi memaju dan membangunkan masyarakat pekebun kecil getah tempatan yang berpotensi memberi manfaat kepada 73,642 pekebun kecil negeri Kedah, termasuklah 11,190 pekebun kecil dari daerah Padang Terap,” jelasnya.

Beliau juga memberitahu, kerajaan turut menyedari akan kepentingan peranan institusi kewangan dalam menyediakan kemudahan pembiayaan terutamanya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam fasa pemulihan pasca pandemik ini.

“Saya gembira apabila dimaklumkan bahawa Maybank dan Agrobank secara terkumpul telah memberikan pembiayaan sebanyak RM223.8 juta untuk 16,600 PMKS sejak 2019.

” Dua buah bank iaitu CIMB dan AFFIN Bank akan turut bekerjasama dengan NCIA bagi program yang sama. Dengan penglibatan keempatempat bank tersebut, lebih 22,500 PMKS lagi disasarkan akan mendapat manfaat daripada program ini sepanjang tempoh RMK-12,” ucap Perdana Menteri.

Beliau juga menyeru para pelabur bahawa KRC kini bersedia untuk menerima dan mengalu-alukan kedatangan anda. Kerajaan Persekutuan melalui NCIA dengan kerjasama Kerajaan Negeri akan membantu memudahcara urusan pelaburan di KRC khususnya, dan NCER amnya.

” Kementerian Kewangan turut menawarkan Pakej Insentif Khas untuk projek KRC dalam usaha menarik lebih ramai pelabur ke taman perindustrian ini. Kerjasama erat yang sedia terjalin di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam menjayakan projek-projek berimpak tinggi seperti KRC ini pastinya berupaya meneruskan momentum pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negeri Kedah,” kata beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat