NCER capai pelaburan RM26.27 bilion pada 2021, kekal momentum sama

- Advertisement -

PADANG TERAP – Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) pada tahun lalu telah berjaya membawa masuk pelaburan berjumlah RM26.27 bilion melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebagai pemudah cara berbanding sasaran asal RM16 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan NCIA di Wilayah Ekonomi Koridor Utara itu akan mewujudkan 30,573 peluang pekerjaan baru untuk rakyat.

“Usaha Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam mempercepatkan pertumbuhan dan pemulihan ekonomi pasca-pandemik di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) terus membuahkan hasil, dengan pemulihan dan ketahanan kukuh ekonomi yang dicatatkan oleh wilayah tersebut pada 2021 dijangka berterusan pada 2022.

“Sentimen pelabur yang positif, pelaksanaan projek dan program strategik, serta insentif menarik oleh Kerajaan Persekutuan melalui NCIA dijangka akan mengekalkan momentum pertumbuhan dan pemulihan ekonomi di wilayah tersebut untuk tahun ini.

“Pada 2021, NCIA telah berjaya memudahcara pelaburan berjumlah RM26.27 bilion ke NCER berbanding sasaran asal RM16 bilion, yang akan mewujudkan 30,573 peluang pekerjaan baru untuk rakyat,” katanya kata selepas mempengerusikan Mesyuarat ke-28 NCIA di Padang Terap pada Isnin.

Menurut Ismail Sabri, NCER telah menyumbang majoriti pelaburan sektor pembuatan yang diluluskan di Malaysia sehingga suku tahun ketiga 2021, iaitu 61.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di Malaysia dalam tempoh tersebut.

Jelas beliau, prestasi dagangan eksport NCER pada Suku Tahun Pertama hingga Suku Tahun Ketiga 2021 juga meningkat sebanyak 20 peratus tahun ke tahun, yang menyumbang 36 peratus daripada eksport negara.

Kata beliau, peningkatan tersebut dipacu oleh pertumbuhan dalam sektor pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) dan peranti perubatan, serta produk minyak sawit.

“Kadar pengangguran di NCER juga kekal di bawah kadar pengangguran nasional pada 4.1 peratus setakat Suku Tahun Ketiga 2021, manakala kadar penyertaan tenaga buruh telah meningkat secara berterusan kepada 67.8 peratus dan dijangka terus menunjukkan aliran peningkatan pada 2022.

“Usaha-usaha pemulihan pasca-pandemik NCIA di NCER adalah selaras dengan Pelan Pemulihan Nasional Kerajaan dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Ia dilaksanakan melalui pendekatan serampang tiga mata, iaitu Memudahcara Pelaburan Swasta, Melaksanakan Projek-projek Strategik Utama dan Program-program Modal Insan Berteraskan Rakyat seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Strategik NCER (2021-2025) dan Rangka Kerja Strategik Pasca COVID-19,” ujarnya.

Perdana Menteri memberitahu, projek-projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta ke wilayah ini antara lain merangkumi Kedah Rubber City (KRC), Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Perlis Inland Port, SilverValley Technology Park (SVTP) dan NCER Technology Innovation Centre (NTIC).

Antara lain misi NCER ini juga memperkasa rakyat dengan pendapatan mapan sewaktu tempoh pemulihan ekonomi dan membasmi kemiskinan melalui program-program modal insan berteraskan rakyat.

Kata beliau, pelaksanaan projek-projek strategik dan pelaburan swasta di NCER adalah berkait rapat dengan program-program modal insan berteraskan rakyat oleh NCIA.

“Hampir 68,000 rakyat dari 30 daerah di NCER yang terdiri daripada kumpulan sasar B40, wanita dan Orang Asli telah mendapat manfaat daripada program ini sejak 2019. Melalui bimbingan NCIA, termasuk dalam pemasaran e-dagang, para peserta program daripada kumpulan B40 telah berjaya menongkah trend dengan mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi sewaktu pandemik.

“Seramai 5,675 rakyat daripada komuniti tempatan kini diperkasakan dengan latihan peningkatan kemahiran dan keusahawanan dan telah berjaya menjana pendapatan terkumpul sebanyak RM71.9 juta melalui program empowerNCER dan JomNiaga@NCER.

“Sementara itu, 9,313 graduan dan pekerja yang diberhentikan telah mendapat penempatan pekerjaan dalam pelbagai industri melalui NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) dan JomKerja@NCER,” katanya.

Selain itu, ujar Ismail Sabri selaras dengan sasaran RMK-12 ke arah sifar miskin tegar menjelang 2025, wanita yang mewakili 20,836 isi rumah kini menerima bantuan kos sara hidup melalui sistem kad tanpa tunai di bawah program Kasih Ibu NCER yang dilaksanakan oleh NCIA di Kedah, Perak dan Perlis.

Jelas beliau, integrasi penerima manfaat Kasih Ibu NCER ke dalam program empowerNCER dan JomNiaga@NCER juga telah membolehkan mereka menjana pendapatan tambahan, sekali gus melepasi paras garis kemiskinan. Di samping itu, kira-kira 9,150 pelajar daripada keluarga B40 mengikuti kelas tuisyen yang disediakan oleh NCIA untuk meningkatkan prestasi akademik mereka serta dibimbing sehingga mendapat penempatan di institusi pengajian tinggi dengan matlamat membasmi kemiskinan masa hadapan.

“Sebanyak 16,667 perusahaan mikro, kecil dan sederhana turut mendapat manfaat daripada skim pembiayaan yang ditawarkan di bawah program entrepreneurNCER melalui kerjasama strategik dengan Maybank dan Agrobank, dengan jumlah pinjaman terkumpul yang diluluskan sebanyak RM223.8 juta.

“Sekali gus memastikan kelangsungan dan kemampanan perniagaan mereka dalam tempoh pasca pandemik. Seramai 22,500 lagi usahawan mikro, kecil dan
sederhana dijangka mendapat manfaat daripada program ini di bawah RMK-12 dengan penglibatan CIMB dan AFFIN Bank sebagai rakan strategik baru NCIA di bawah program entrepreneurNCER mulai tahun ini. Sementara itu, Dana Usahawan NCER (DU@NCER) juga telah memberi manfaat kepada 32 syarikat tempatan, yang seterusnya telah mewujudkan 1,582 peluang pekerjaan untuk rakyat.

“Program-program NCIA telah menyumbang impak yang tinggi terhadap kejayaan usaha pemulihan ekonomi negara dan ia juga selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia bagi memastikan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk seluruh rakyat,” kata Perdana Menteri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat