‘Magnet’ penyanyi rock legenda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tak ubah kembali pada masa silam ketika irama rock menjadi fenomena, begitulah gambaran tatkala berada dalam Konsert Rock On 40 The Legends yang menampilkan Datuk Awie, Ella, Muss dan gitaris ‘berbisa’, Man Kidal di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Sabtu lalu.

Genre rock asli yang agak tenggelam sejak beberapa tahun ini dilihat menyumbang kepada kehadiran ramai peminat tegar yang mahu melepaskan kerinduan.

Kesunyian pada awal menyelubungi segenap sudut Panggung Sari, IB dipecahkan dengan pukulan dram dan ‘gorengan’ gitar Ritz Metalasia tepat jam 9.15 malam.

Bagaikan kejutan dalam jiwa yang lama terlena, ia sekali gus membangkitkan mood dalam diri setiap penonton.

Selang beberapa detik, muncul susuk tubuh Muss di atas pentas, sekali gus auditorium meriah dengan sorakan lebih 1,000 penonton yang hadir.

Tidak cukup itu, Muss, 54, yang juga bekas vokalis May terus membuat peminat tidak keruan dengan lontaran suaranya menerusi lagu Sinar yang menjadi antara karya malar segar yang berjaya membolosi pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 2003.

Muss atau nama sebenarnya, Mustaffa Din bagaikan memahami kehendak penonton apabila menyanyikan Gadis Bertudung Putih daripada album Rahsia terbitan 1990 yang juga pernah menjadi lagu kegilaan ramai.

Penyanyi kelahiran Ipoh yang mengenakan seluar dan jaket kulit hitam persis ‘rockers’ sejati itu menutup tirai persembahan menerusi dua lagu, Biru Mata Hitamku dan Cintamu biarpun penonton jelas masih belum puas.

 

Muss bagaikan memahami kehendak penonton apabila menyanyikan Gadis Bertudung Putih daripada album Rahsia terbitan 1990 yang juga pernah menjadi lagu kegilaan ramai. - NSTP/Hazreen Mohamad
Muss bagaikan memahami kehendak penonton apabila menyanyikan Gadis Bertudung Putih daripada album Rahsia terbitan 1990 yang juga pernah menjadi lagu kegilaan ramai. – NSTP/Hazreen Mohamad

 

Bagaimanapun, suasana terus menjadi hingar bingar apabila Ratu Rock, Ella mula menapak ke atas pentas dengan lontaran vokal menerusi lagu Permata Biru petikan dari album studio pertama berjudul Pengemis Cinta 1989.

Berpakaian lengkap serba hitam dari hujung rambut hingga kaki, nyata vokal Ella kekal konsisten, sekali gus membuktikan gelaran Ratu Rock masih kekal dalam genggamannya penyanyi kelahiran Pulau Pinang itu.

Ella, 56, atau nama lengkapnya, Nor Zila Aminuddin terus menghiburkan peminat dengan lagu yang pernah melonjakkan nama dalam industri muzik iaitu Dua Insan Bercinta.

Penyanyi yang terkenal dengan telatah manja dan bertenaga atas pentas itu umpama ‘magnet’ yang menarik setiap pandangan penonton, selain memperlihatkan wajahnya tidak dimamah usia.

Seterusnya, Ella tidak melepaskan peluang menyanyikan dua lagu keramat, Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Sembilu, sekali gus menerima sorakan menggegarkan seluruh IB pada malam itu.

Untaian lirik lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah yang menyebut, ‘aku puisikan namamu bersama rindu’ seolah-olah menggambarkan perasaan Ella terhadap peminat yang sentiasa merinduinya.

“I love you too, don’t worry (saya sayang kamu juga, jangan risau),” balas Ella kepada seorang peminat yang tidak henti mengungkapkan perasaan sayang terhadapnya.

Senario itu juga membuatkan Ella tidak teragak-agak turun daripada pentas untuk bermesra dengan penonton, sambil mendendangkan Pengemis Cinta sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu berjudul Kesal.

Selain persembahan nyanyian, antara yang turut mencuri tumpuan adalah aksi memukau gitaris legenda, Man Kidal.

 

Telatah manja dan aksi bertenaga atas pentas Ella umpama ‘magnet’ yang menarik setiap pandangan penonton, selain memperlihatkan wajahnya tidak dimamah usia. - NSTP/Hazreen Mohamad
Telatah manja dan aksi bertenaga atas pentas Ella umpama ‘magnet’ yang menarik setiap pandangan penonton, selain memperlihatkan wajahnya tidak dimamah usia. – NSTP/Hazreen Mohamad

 

Man Kidal, 58, tampil selepas keadaan pentas kembali tenang dengan mengenakan ‘blazer’ putih dan berseluar jeans hitam.

Berbekalkan pengalaman selama 43 tahun dalam indsutri muzik, beliau umpama ‘ahli hipnotis’ yang mampu memukau keseluruhan penonton dengan aksi lincah jari-jemarinya memetik gitar elektrik.

Terpaku dan hanyut dalam kesyahduan bunyian gitar petikan Man Kidal antara suasana menyelubungi konsert pada malam itu.

Suasana IB terus gamat apabila Datuk Awie menerjah masuk ke pentas dengan menyampaikan lagu Peronda Jaket Biru yang dipetik daripada album Belenggu Rindu pada 1987, sebelum meneruskan persembahan menerusi lagu Biarkan Berlalu.

Awie, 54, yang mengenakan sut labuh berwarna kelabu gelap meneruskan persembahan dengan mendendangkan lagu hit, Di Penjara Janji.

Biarpun dijangkiti COVID-19 dan Influenza beberapa hari sebelum konsert, Awie tetap berjaya mencapai bahagian tertinggi pada korus lagu Di Penjara Janji dengan cemerlang.

“Bukan anda sahaja sayang saya, tetapi COVID-19 dan Influenza pun sama. Tapi ‘show’ (persembahan) must go on (mesti diteruskan),” katanya kepada peminat, sebelum disusuli dengan sorakan penonton.

Awie menutup tirai konsert dengan dua lagu, Debunga Wangi dan Pemuzik Jalanan bergandingan bersama Man Kidal. Ia sekali gus meninggalkan memori penuh bermakna buat penonton dan menjadikan pelaburan tiket pada malam itu tersangat berbaloi.

Konsert Rock On 40 The Legends yang dianggarkan menelan kos RM500,000 direalisasikan Menara Network Sdn Bhd (MNSB) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat