‘Tolak populariti mi segera’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jika perhatian mahu ditagih, cukup mudah mencipta populariti melalui media sosial jika kena caranya.

Dengan kepesatan teknologi digital, media sosial memberi impak besar dalam kehidupan manusia, biar dalam bidang apa sekalipun.

Turut terkena tempias adalah sektor kreatif yang melahirkan ramai bakat spontan termasuk mereka yang merasakan diri mempunyai kelebihan bergelar artis terutama pelakon.

Namun, hakikatnya, bakat dikongsi sering dipertikaikan lalu tercetuslah polemik apa sebenarnya ciri yang perlu ada dalam diri setiap insan yang mahu menjadi pelakon.

Cukupkah bakat dipertaruhkan atau apakah individu terbabit perlu ‘menggali’ ilmu dalam bidang lain sebelum layak bergelar pemain karakter?

Tampil dengan program bertunjangkan objektif melahirkan lebih ramai pelakon versatil, BH Online mendapatkan pandangan juri Fit For Action terbitan TV3 iaitu sutradara terkenal, Heykal Hanafiah, Aziz M Osman dan Ellie Suriaty Omar berkongsi idea bernas mereka mengenai ciri pelakon berkualiti dan kekal relevan.

Heykal menganggap, pelakon yang baik adalah mereka yang belajar melalui pemerhatian termasuk teladan yang ditunjukkan aktor lain.

“Lakonan bagi saya adalah kita belajar melalui pemerhatian. Makin lama awak hidup, makin berusia, makin bagus lakonan awak sebab sudah menempuh pelbagai pengalaman.

“Pelakon Hollywood yang bagus semuanya bukan muda-muda seperti Robert De Niro dan Al Pacino yang bukan baru tiga tahun dalam industri.

“Jadi, sebagai pelakon, belajar daripada pemerhatian boleh memantapkan lagi lakonan.

“Selain itu, rajin melihat rujukan dan bukan tiru lakonan orang, sebaliknya jadikan ia sebagai contoh,” katanya yang popular dengan drama seperti Keranamu Laila, Titian Cinta, Cinta Fatamorgana dan Ali Alia.

Heykal yang pernah melatih beberapa pelakon seperti Farah Nabilah, Izara Aishah dan Akim Ahmad, memberitahu, seseorang pelakon perlu menerapkan empat rukun seni untuk menjadi aktor baik.

“Apabila masuk dalam industri kena ada empat perkara iaitu penghayatan yang baik, kreativiti, komitmen dan disiplin.

“Bercakap mengenai komitmen dan disiplin, kerja apa pun kena ada. Kalau awak bagus tetapi tiada komitmen dan disiplin, awak akan hancur.

“Dari awal kena tanamkan sikap ini kerana apabila sudah terkenal, empat rukun seni ini awak tidak akan lupa dan kena jaga,” katanya.

 

Heykal menganggap, pelakon yang baik adalah mereka yang belajar melalui pemerhatian dan teladan ditunjukkan aktor lain. - NSTP/Aziah Azmee
Heykal menganggap, pelakon yang baik adalah mereka yang belajar melalui pemerhatian dan teladan ditunjukkan aktor lain. – NSTP/Aziah Azmee

 

Sementara itu, mengulas mengenai pempengaruh media sosial yang semakin ramai diketengahkan sebagai pelakon, Heykal tidak menafikan golongan itu perlu mendalami ilmu lakonan agar peluang diberi tidak sia-sia.

“Saya ada tengok pelakon baharu sekarang, banyak yang tiba-tiba muncul dan popular sebab ramai pengikut media sosial.

“Namun, apabila tengok lakonannya, tiada apa, macam satu tiang lampu yang ada cahaya.

“Golongan ‘Instafamous’ ini tidaklah mencacatkan industri tetapi mereka terlalu segera memegang watak utama.

“Saya tidak tahu silapnya siapa. Ada yang bagus, tapi bukan majoriti, hanya segelintir,” katanya.

Bagaimanapun, Heykal berpendapat, kesalahan tidak boleh diletakkan pada bahu pelakon sahaja.

Baginya, pengarah juga memainkan peranan penting dalam melentur dan membentuk seseorang pelakon.

“Seorang pelakon biar tidak pandai pun, sebagai pengarah, kena jadikan dia pandai. Misalnya, Kabir Bhatia, kalau dia dapat pelakon tidak bagus, dia akan menjadikan aktor itu tampak bagus.

“Disebabkan itu, saya banyak ikut formula Kabir. Jadi, bagi saya, tak salah pelakon sepenuhnya. Apabila saya melihat karya babitkan pelakon baharu, saya akan tengok siapa pengarahnya,” katanya.

Pandangan sama dilontarkan pengarah dan pelakon ‘otai’, Aziz yang bersetuju kesuntukan masa dan lambakan kerja membuatkan pengarah terkejar-kejar hingga mengabaikan kualiti.

“Saya faham dengan senario sekarang kerana kaedah penggambaran atau kerja di lokasi tidak sama macam dulu.

“Contohnya, apabila saya memulakan kerjaya sebagai pengarah dahulu, sebuah telefilem diperuntukkan selama dua minggu untuk disiapkan.

“Sekarang, saya diberitahu hanya lima atau enam hari sahaja untuk disiapkan. Itu bukan karya, tapi sudah menjadi seperti kilang, bermaksud kandungan kita sekarang lebih kepada kuantiti berbanding kualiti,” katanya.

Sehubungan itu, Aziz tidak menyalahkan pelakon sepenuhnya.

“Semua ini terjadi kerana situasi. Saya pernah menyaksikan seorang pengarah diminta menyiapkan 12 sehingga 15 babak sehari tanpa menitikberatkan nilai seni dalam kerjanya.

“Lebih menyedihkan apabila karya itu disiarkan di televisyen (TV), penonton terima,” katanya.

 

Aziz bersetuju kesuntukan masa dan lambakan kerja membuatkan pengarah terkejar-kejar hingga mengabaikan kualiti. - NSTP/Aziah Azmee
Aziz bersetuju kesuntukan masa dan lambakan kerja membuatkan pengarah terkejar-kejar hingga mengabaikan kualiti. – NSTP/Aziah Azmee

 

Sehubungan itu, Aziz, Heykal dan Ellie cuba menerapkan elemen penting kepada bakat baharu yang dilatih dalam program Fit For Action itu.

“Untuk menghasilkan pelakon berkualiti, kita mahukan mereka mempunyai minat sebab dari minat itu akan tercetus keinginan untuk belajar.

“Itu yang berlaku pada mana-mana pelakon dan pengarah. Kita datang daripada minat dan kemudian kita teroka bidang itu,” katanya.

Aziz memberi contoh bagaimana beliau mendidik Maya Karin dan Sariyanti ketika mula menjadi pelakon dan tidak popular.

“Seperti Maya Karin, yang membintangi Seri Dewi Malam dan seterusnya, Datin Paduka Suhaimi Baba mengambil dia berlakon di dalam Pontianak Harum Sundal Malam. Mereka semua ini ada nilai yang kita cari.

“Kerana saya percaya walaupun seseorang pelakon itu dididik sebagai aktor bertanggungjawab, sekiranya skrip atau watak yang diberikan tidak cemerlang, dia boleh perbaiki atas inisiatifnya sendiri,” katanya.

Bagi Ellie, beliau senang melihat industri seni dibanjiri bakat baharu yang akan memberi variasi terhadap karya yang hendak diketengahkan kepada audiens.

Namun, untuk bergelar anak seni, Ellie berpendapat seseorang itu perlu kuat dari segi mental dan fizikal.

“Saya hargai bakat muda, tidak kira berapa umurnya. Kalau awak masuk industri pada usia 70 tahun, saya tetap hargai.

“Ini kerana bakat itu bukan kita punya, tetapi Allah punya. Jadi, apabila seseorang itu berbakat, saya hargai sebab Allah berikan padanya.

“Tapi kalau nak masuk dalam industri ini, hati awak kena kuat, mental serta fizikal juga kena kuat.

“Kena tahan maki dan kena tahan uji. Tapi tidaklah awak datang set, orang nak maki saja-saja.

“Maknanya sensitiviti itu harus disalurkan kepada karya. Bermakna, sesiapa nak cakap apa, di dalam proses anda bekerja, anda ambil sebagai pelajaran,” katanya.

 

Untuk bergelar anak seni, Ellie berpendapat seseorang pelakon perlu kuat dari segi mental dan fizikal, selain ujian. - NSTP/Aziah Azmee
Untuk bergelar anak seni, Ellie berpendapat seseorang pelakon perlu kuat dari segi mental dan fizikal, selain ujian. – NSTP/Aziah Azmee

 

Tambah Ellie lagi, aktor yang baik itu adalah mereka yang sentiasa mempunyai sikap rajin belajar, tidak bodoh, tidak ego dan tidak sombong.

“Jangan berhenti belajar sebab saya pun masih belajar. Bagi saya, aktor yang baik adalah orang yang sentiasa merendah diri.

“Kalau anda sombong, anda tidak akan jadi aktor yang bagus. Sebab hanya orang yang merendah diri akan menurunkan egonya dan meletakkan dirinya di tepi dan serap karakter yang ingin dihidupkan.

“Pelakon yang sombong juga tidak akan berjaya menzahirkan watak kerana terlalu banyak ego. Itu akan menjadi penghalang,” katanya.

Ellie berkata, pelakon juga perlu pintar.

“Anda perlu berfikir ketika berlakon dan kreatif. Kalau hendak perbaiki skrip pun, perlu perbaiki atas watak itu sendiri dan anda perlu memahami karakter anda dahulu.

“Satu perkara yang agak sukar dalam lakonan adalah untuk mendapatkan ‘naturalistic’ tapi bukan dari segi diri kita, tetapi dari segi watak.

“Jangan cuba berlakon, ketika anda cuba berlakon, bermakna anda berusaha keras dan itu tidak mendefinisikan lakonan,” katanya.

Fit For Action adalah program realiti berkonsepkan cabaran lakon layar dan fizikal bagi mencari pelakon lelaki dan wanita versatil tempatan.

Fit For Action disiarkan setiap Sabtu jam 10 malam, mulai minggu lalu. Program ini juga distrim secara langsung di laman portal www.tonton.com.my.

Setiap peserta bukan sahaja dinilai melalui penghafalan skrip dan aura diri, sebaliknya perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang kuat termasuk disiplin tinggi.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat