Kesilapan Besar UMNO & Kematangan Ismail Sabri

- Advertisement -

Oleh Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Setelah menonton Sidang Media oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam dan pada hari ini menonton pula Sidang Media Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri saya tertany kepada diri sendiri, bagaimana UMNO sebagai sebuah parti yang telahpun tertubuh sejak sebelum Merdeka lagi menjadi begini.

Sungguhpun UMNO kalah pada PRU14 yang lepas, parti Melayu terbesar ini seakan-akan hampir berjaya membuat “come back” dengan memenangi beberapa siri pilihanraya kecil (PRK). Tetapi kini mereka seolah-olah tiada hala tuju yang jelas.

Jika mereka meneruskan agenda untuk menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional, apakah langkah seterusnya yang bakal diambil oleh UMNO? Adakah UMNO ingin bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH)? Ataupun percaya bahawa ahli-ahli Parlimen PH akan menyokong mereka untuk membentuk kerajaan baharu?

Tiada pelan atau sasaran yang jelas untuk UMNO atau lebih tepat lagi Presiden UMNO di sini.

Kita perlu sedar bahawa Kerajaan Perikatan Nasional yang memegang tampuk pemerintahan pada ketika ini bukanlah kerajaan yang sempurna.

Malah jika dinilai sepertimana kita menilai seorang pelajar di dalam peperiksaan, pada hemat saya markah yang perlu diberikan kepada mereka mungkin B – ataupun C + sahaja.

Namun, apa yang dihadapi kerajaan pada ketika ini tidak pernah dihadapi oleh mana-mana kerajaan sebelumnya. Covid-19 telah melumpuhkan pembangunan banyak negara dan Malaysia adalah salah satu daripadanya.

Sekalipun kita menukar kerajaan buat kali ke-3 dalam tempoh terdekat ini, apakah jaminan yang kerajaan baharu ini dapat menyelesaikan kesemua permasalahan yang kita hadapi?

Kita sudah melihat bagaimana Pakatan Harapan memerintah negara selama 22 bulan dibawah Tun Mahathir Mohamed. Sebelum wujudnya Covid-19 pun kita telah melihat kegagalan mereka dalam mentadbir negara, inikan pula semasa Covid-19 (dengan tambahan variant Delta) sedang mengganas pada ketika ini.

Mungkin ada yang menyatakan kini Calon Perdana Menteri PH adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukannya Tun Mahathir. Ya benar, kita belum lagi melihat bagaimana DSAI akan mentadbir negara sekiranya diberikan peluang.

Namun, pada ketika ini beliau juga tidak mempunyai sokongan yang kukuh dikalangan ahli Dewan Rakyat dan tingkahnya yang terlalu menerima Tun Mahathir (sebagai contoh dalam Demonstrasi Ahli Parlimen Pembangkang baru-baru ini) membuatkan saya ragu-ragu dengan keupayaannya untuk mentadbir negara.

Berapa kali lagi beliau mahu terus dipergunakan oleh Tun Mahathir, sehingga beliau terus dilihat lemah dan gagal dalam menobatkan dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri.

Bagi UMNO pula, jika berasa jengkel dengan kerajaan sekarang, mengapa bersetuju untuk menyertainya dalam “Langkah Sheraton” yang berlaku pada tahun lepas.

Adakah penolakan terhadap PN pada ketika ini disebabkan permintaan peribadi sesetengah pemimpin tidak ditunaikan atau termakan dengan janji orang-orang tertentu yang sesetengah pemimpin UMNO akan mendapat laba lebih besar?

Walauapapun alasannya, tindakan untuk menarik sokongan pada saat negara sedang bertarung dengan Covid-19 adalah satu langkah dangkal yang tidak patut berlaku.

Suka atau tidak, PN adalah pilihan yang paling sesuai untuk menerajui negara pada ketika ini. Sudahlah kita bergelumang dengan ketidakstabilan ekonomi, jika pertelingkahan politik ini tidak ditamatkan, maka tidak mustahil keadaan negara ini sukar untuk dipulihkan dalam masa terdekat.

Apabila menonton Sidang Media Datuk Seri Ismail Sabri pada hari ini, saya merasakan beliau mempunyai ketokohannya tersendiri. Ismail tampak lebih matang dan peka dengan keadaan politik semasa, sungguhpun masih lagi setia kepada UMNO.

Berada pada sudut yang amat sukar, kita dapat melihat beliau masih lagi cuba berdiplomasi, walaupun pemimpin partinya sendiri sedang berusaha untuk meruntuhkan kerajaan.

Beliau telah bertindak dengan cukup matang sebagai seorang negarawan dan bukannya bertaksub buta kepada personaliti atau parti tertentu. Saya rasa perkara ini haruslah diberikan pujian.

Semua pemimpin politik pada ketika ini haruslah mempunyai jatidiri dan bertindak sebagai seorang negarawan atau statesmen dan bukannya sebagai ahli politik yang penuh dengan retorik sahaja.

Rakyat sudah muak dengan permainan politik, sudah tiba masanya semua pihak bekerjasama dalam membangunkan semula negara kita.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat