‘Tengok dulu, baru nilai’

- Advertisement -

SEJAK berkongsi pembabitannya dalam drama pilihan ramai, Kampung People 2 (KP2) yang bakal ditayangkan di TV3 tidak lama lagi, peminat sudah tidak sabar menantikan kemunculan penyanyi, Adibah Noor dalam cerita itu.

Apatah lagi, Adibah yang pernah berlakon dalam filem hebat seperti Sepet, Gubra, Mukhsin, Talentime dan banyak lagi berjaya menjadikan penampilannya kekal diingati sehingga kini.

Malah, muncul sebagai watak baharu dalam KP2 dianggap satu lagi watak ikonik yang bakal dicipta Adibah.

Bagaimanapun, Adibah yang popular menerusi lagu Terlalu Istimewa tidak mahu meletakkan harapan tinggi sebaliknya berharap peminat menonton dahulu dan baru membuat penilaian.

“Ikonik atau tidak, memberikan impak atau tidak, saya tak boleh nak cakap sekarang. Mungkin apabila ia ditayangkan kita boleh tengok hasilnya.

“Tapi, watak saya dicipta untuk memberikan satu suntikan baharu dalam keluarga yang menerajui cerita KP2. Tengok dulu dan baru nilaikan,” katanya.

Mengenai pembabitannya dalam drama yang menggunakan dialog ‘broken English’ itu, Adibah berkata, ia bukan satu masalah kerana sedikit sebanyak dapat meningkatkan tahap penguasaan bahasa dunia itu.

“Saya secara peribadi berasakan walaupun skrip KP memaparkan watak yang menggunakan ‘broken English’, ia sebenarnya menggalakkan orang ramai untuk tidak takut mempelajari dan mempraktikkan pengetahuan atau penguasaan bahasa Inggeris mereka.

“Apabila orang ramai tengok yang wujudnya karakter yang bercakap ‘broken English’ ini, secara tak langsung penonton akan berasa kurang takut untuk mencuba dan belajar untuk memperkasakan lagi bahasa Inggeris.

‘Sebagai contoh, dulu ada program Oh My English! Hasil daripada program itu, rata-rata orang ramai dan pelajar berasakan tidak mengapa jika buat kesalahan. Orang lain pun cakap tak betul dan tunggang terbalik juga, maka dengan itu ia memberikan inspirasi untuk orang belajar,” katanya.

Menurut Adibah, penggunaan bahasa yang diselangi dengan unsur komedi membangkitkan lagi keinginan penonton untuk terus memperbaiki diri.

“Pada diri saya sendiri, ‘broken language’ atau ‘broken English’ dalam KP2 tidaklah memberikan kesan negatif, ia bukan sahaja menghiburkan malah membuatkan penonton mentertawakan diri sendiri akan penguasaan bahasa Inggeris mereka. Secara tak langsung belajar bersama-sama.

“Apabila orang mendengar ‘broken English’ dalam KP, mereka tahu ia salah, secara tak langsung akan cakap pada diri sendiri bahasa Inggeris mereka jauh lebih baik sebab tahu apa yang dituturkan dalam KP adalah salah,” katanya.

Selain Adibah, Kampung People 2 masih mengekalkan pelakon asal iaitu Elly Mazlein, Rashidi Ishak, Hun Haqeem, Riena Diana dan ramai lagi.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat