Tasha tolak watak penggoda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sering membawakan watak antagonis dan penggoda, pelakon Tasha Shilla, 31, kini lebih selektif dalam pemilihan karakter demi menjaga nama baik suami, Muhammad Atiq Idris, 33.

Memulakan kerjaya lakonan seawal usia 12 tahun, Tasha menafikan tidak dapat keizinan suami, sebaliknya tidak mahu mempersia-siakan kepercayaan yang diberikan.

“Saya cuba elak watak penggoda. Jujurnya, suami tak campur tangan dalam urusan kerjaya.

“Cuma, apabila suami memberikan keizinan, saya kena pandai menjaga diri. Saya juga kena tahu batasan sebagai seorang isteri,” katanya kepada BH Online.

Membuktikan seriusnya terhadap bidang lakonan, Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011 itu berkata, dia banyak mengikuti kelas lakonan sama ada menerusi dalam talian mahupun berguru dengan pelakon berpengalaman.

Tasha atau nama sebenarnya, Natasha Sheila Abdul Razak berkata, biarpun sudah memiliki pengalaman agak lama dalam dunia lakonan, tetapi ilmu lakonan tetap perlu digali dan digilap.

Katanya, selain meluangkan masa dengan suami sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia juga menggunakan kesempatan selama tiga bulan untuk mengasah ilmu lakonan.

“Saya pernah mengikuti kelas bersama aktres, Fauziah Ahmad Daud. Kadang kala, biarpun berlakon bersama pelakon berpengalaman, tetapi ilmu diperoleh tidak sama dengan menghadiri kelas lakonan.

“Selain itu, saya juga mengikuti ‘Master Class’ daripada luar negara yang boleh dipelajari secara dalam talian. Bagi saya, macam mana lama sekalipun dalam bidang lakonan, saya tetap perlu gilap dan asah bakat lakonan jika ingin bertahan lama,” katanya yang bakal muncul di dalam drama bersiri, Mummy Oja di saluran Awesome TV.

Membuktikan seriusnya terhadap bidang lakonan, Tasha Shilla banyak mengikuti kelas lakonan menerusi dalam talian dan berguru dengan pelakon berpengalaman. - Foto IG Tasha Shilla
Membuktikan seriusnya terhadap bidang lakonan, Tasha Shilla banyak mengikuti kelas lakonan menerusi dalam talian dan berguru dengan pelakon berpengalaman. – Foto IG Tasha Shilla

Selain mempelajari ilmu lakonan, kata Tasha, dia juga perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa yang kini menjadikan media sosial sebagai platform utama.

Tiada niat bersaing dengan bakat baharu yang ada, katanya, dia sentiasa memastikan akaun laman sosial dikemas kini kerana ia diambil kira syarikat produksi.

Tasha berkata, sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai dahan bergantung bukan bermakna dirinya boleh duduk bergoyang kaki.

Katanya, suaminya memberikan keizinan untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon. Malah, suaminya cukup ‘sporting’ kerana mudah menyesuaikan diri dengan rakan kru produksi walaupun berbeza bidang.

“Dari dahulu saya sudah menegaskan lakonan menjadi minat. Sebelum mendirikan rumah tangga, saya memberitahu suami keinginan untuk meneruskan kerjaya seni. Lakonan menjadi satu terapi, ia cara saya meluahkan kepuasan.

“Lagipun, saya mahu merebut peluang depan mata, sebelum dikurniakan cahaya mata. Mungkin selepas ada anak, saya memperlahankan kerjaya seni. Sementara belum ada rezeki, saya akan terus berlakon.

“Suami sangat memahami, malah cepat menyesuaikan diri walaupun kami berbeza bidang. Dia tiada masalah bergaul dengan kru jika saya ada perbincangan. Suami akan cuba menemani saya, malah setiap kali ada penggambaran, suami akan menghantar dan menjemput saya,” katanya.

Tasha berkata, dia sudah terbiasa bergerak bebas tanpa bantuan pembantu peribadi mahupun pengurus.

Justeru, Tasha berkata, awalnya kekok apabila ada insan yang menghantar dan menjemputnya.

“Sebelum ibu mempunyai cucu, dialah yang menemani saya. Bagaimanapun, selepas itu, saya sudah biasa berdikari. Bagaimanapun, suami bimbang memandangkan ada kala penggambaran berlanjutan hingga jauh malam, jadi dia lebih suka menghantar dan mengambil saya,” katanya.

BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat