Menelusuri Menteri Luar Malaysia, Hishammuddin Tun Hussien

- Advertisement -

Dr. Achmad Dzariean Mohd Nadzri

Menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Luar Malaysia tatkala negara dan seantero dunia sedang berhadapan dengan wabak pandemik COVID 19 bukanlah dilihat sebagai sesuatu yang dianggap mudah. Ia menuntut pengalaman, komitmen dan iltizam yang sangat tinggi oleh Dato Sri Hishamuddin Tun Hussein.

Meletakkan keutamaan COVID 19 sebagai agenda utama beliau pada ketika dilantik sebulan yang lalu, Hishamuddin telah menegaskan bahawa pentingnya elemen kerjasama antara negara yang mempunyai hubungan kukuh dengan Malaysia sebagai salah satu keutamaan yang perlu ditekankan.

Dalam ucapan sulungnya sebagai Menteri Luar, Hishamuddin menyatakan ” kita berada dalam situasi yang sangat kompleks dalam dunia yang tiada sempadan sekarang, pertimbangan geopolitik perlu diambil kira untuk tujuan diplomatik dan kita mahu menjadikannya lebih baik pada masa akan datang.”

Barangkali apa yang telah disampaikan oleh Hishamuddin ini juga turut mengambil inspirasi dari ucapan Almarhum Tun Hussein sewaktu Perasmian Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1977 yang berbunyi; “Di dalam perlaksanaan dasar berkecuali dan dasar bebas luar negeri kita, kita sentiasa menghulurkan tangan persahabatan kepada semua negara yang berhasrat hendak bersahabat dengan kita, tidak kira sistem kerajaan atau ideologi politik mereka, kecuali bahawa mereka bersedia mengakui kemerdekaan dan kedaulatan kita dan tidak melibatkan diri mereka di dalam hal ehwal negeri kita…”

Ternyata, apa yang telah diucapkan ini juga sebenarnya telah dijadikan asas kepada negara dalam menentukan hala tuju dasar luar negara pada waktu itu.

Antara perkara penting yang menjadi keutaaman Almarhum Tun Hussein Onn pada ketika itu adalah Malaysia akan mengekalkan dasar neutralisasi, mengekalkan sokongan terhadap konsep keserantauan dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penglibatan Malaysia secara aktif dalam ASEAN.

Jika dilihat kembali terhadap insiatif yang telahpun dilaksanakan oleh Hishamuddin sebagai Menteri Luar pada kali ini, ianya seolah-olah menepati idea yang telah menjadi keutamaan dasar luar negara oleh Tun Hussein Onn ketika menjadi Perdana Menteri satu ketika dahulu.

Jika kita masih ingat terdapat beberapa insiden “ketegangan diplomatik” kecil dengan beberapa negara telah berlaku semasa kerajaan lepas. Ini telah memberikan impak yang tidak baik dalam hubungan antara negara tertentu dan memerlukan masa untuk pemulihan.

Apabila mengambil alih jawatan Menteri Luar, Hishamuddin berhadapan cabaran getir untuk menguruskan hal ehwal rakyat di luar negara yang terperangkap dengan pandemik Covid-19.

Beliau dengan pantas membina semula hubungan akrab Malaysia dengan negara-negara timur tengah seperti Arab Saudi, Qatar dan UAE. Dalam keadaan tidak boleh membuat lawatan rasmi, Hishamuddin menggunakan persahabatan beliau dengan para diplomat antarabangsa dan keluarga di raja dunia Arab bagi membetulkan semula hubungan luar Malaysia.

Sebaik menjawat jawatan Menteri Luar sahaja Hishamuddin mula menerima respon luar biasa  dari negara kuasa besar seperti China, Arab Saudi dan negara-negara utama dalam ASEAN seperti Singapura, Indonesia, Thailand.

Ini seharusnya dijadikan indikator bahawa hubungan diplomatik ini sebenarnya sedang “dipulihkan”oleh Hishamuddin.

Pengalaman terdahulu Hishamuddin selaku Menteri Pertahanan mungkin banyak membantu beliau melaksanakan tugas yang diamanahkan di Kementerian Luar kini.

Penerimaan Hishamuddin dalam kelompok elit diplomatik dunia dapat diukur dengan  bantuan peralatan perubatan  oleh kerajaan China, UAE dan Brunei kepada Malaysia.

Kementerian Luar dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), parti politik MIC dan ibu bapa telah mengadakan misi kemanusiaan untuk membawa pulang rakyat yang berada di beberapa negara seperti India, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Ketika seluruh dunia berhadapan Lockdown, Hishamuddin memimpin Wisma Putra memudahkan urusan imigresen dan kebenaran penerbangan bagi membantu membawa pulang pelajar dan warga negara kita yang berada di negara-negara sukar.

Hishamuudin turut mengadakan inisiatif di luar jangka dengan mewujudkan Malaysian Diplomatic Equipment Stockpile (MDES) yang merupakan kerjasama pintar Wisma Putra dan pihak swasta bagi menyediakan peralatan perubatan untuk semua petugas barisan hadapan di setiap kedutaan Malaysia di serata dunia.

Pandemik ini telah membataskan sempadan negara secara fizikal, namun medium perkongsian maklumat dalam mengukuhkan kerjasama antara negara perlu diberi keutamaan.

Justeru inisiatif Hishamuddin mengadakan perbincangan dua hala secara telesidang dengan Menteri Luar asing merupakan sesuatu yang patut dipertimbangkan oleh Menteri-Menteri lain dalam kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin bagi mengukuhkan hubungan dua hala dengan negara-negara lain.

*Penulis adalah Felo Bersekutu, Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD, PUSAT PENGAJIAN ANTARABANGSA, UUM SINTOK, KEDAH)

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat