Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui agensinya, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah melaksanakan pembasmian besar-besaran melibatkan tapak sampah haram di 7 buah negeri mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal 2007 (Akta 672).
Sebanyak 2,093 tapak lokasi sampah haram telah ditutup melibatkan anggaran kos pembersihan berjumlah RM1.6 juta dengan anggaran jumlah sisa yang dibersihkan adalah sebanyak 6,410 tan pada tahun lalu .
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata demikian ketika turun padang dalam operasi pembersihan dan penutupan tapak pelupusan sampah haram di Jalan Davis di bandaraya ini pada Isnin.
“KPKT memandang serius isu berkaitan pengurusan sisa pepejal di mana pelaksanaan operasi berterusan tapak pelupusan sampah haram merupakan antara inisiatif utama kementeriannya.
Ianya bertepatan dengan gagasan Malaysia Madani yang memfokuskan kepada dua tonggak iaitu kesejahteraan dan ihsan dalam memberi keselesaan kepada rakyat selaras dengan hasrat kementeriannya prihatin terhadap kualiti kehidupan masyarakat, ”katanya.
“Sebanyak 15 kes pendakwaan mahkamah telah berjaya disabitkan kesalahan dengan jumlah denda sebanyak RM168,000.00 tahun lalu.
Penutupan tapak pelupusan sampah haram ke 2,093 ini melibatkan kekuatan anggota seramai 44 orang daripada SWCorp, Alam Flora Sdn Bhd dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan jumlah sisa pukal dan sisa binaan yang dibersihkan sebanyak 500 tan, ”katanya lagi.
“Pelbagai usaha giat dijalankan oleh KPKT sebagai langkah ‘way forward’ untuk membanteras kewujudan tapak pelupusan sampah haram secara komprehensif.
Antaranya, memasang CCTV di setiap hot spot untuk memantau dan membawa pesalah ke muka pengadilan serta menjalankan pemeriksaan ‘aliran sisa’ terhadap penjana sisa binaan dan sisa institusi, komersial dan industri untuk memastikan sasaran sifar lokasi sampah haram menjelang 2026 tercapai, ”tegasnya.
“Selain itu KPKT akan menubuhkan ‘Skuad Tindak Pantas’ di peringkat SWCorp bagi melaksanakan pelan tindakan yang dirancang serta mencadangkan tapak pelupusan sisa lengai baharu untuk pelupusan sisa binaan dan sisa institusi, komersial dan industri.
KPKT juga akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan pendakwaan berkaitan kesalahan melupuskan sisa pepejal di tempat yang tidak dibenarkan, ”tegasnya lagi.
“Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, kerja-kerja kutipan sisa pepejal isi rumah dan sisa pukal akan diteruskan dan dipergiatkan terutamanya di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Cina akan dipantau dari semasa ke semasa.
Justeru, penduduk dinasihatkan untuk mengeluarkan sisa pukal yang tidak dikehendaki untuk tujuan kutipan, ”ujarnya.
Turut hadir Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Long, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Ketua Setiausaha (KSU) KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Taib, Timbalan KSU KPKT, Datuk Saidatu Akhma Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Ir. Ts. Dr. Mohd Azhar Abd hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman. – SUARA.TV