Jurey menang tanpa bertanding

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Berterima kasih dengan kepercayaan ahli Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berjanji akan melaksanakan amanah diberikan dengan baik, selepas memikul tanggungjawab selama empat penggal sejak 2008.

Sehubungan itu, Jurey berkata, dia sudah melakukan beberapa perkara untuk kepentingan industri dan ahli PTVM.

“Saya berjumpa Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang baharu, Datuk Seri Mohammad Mentek dan keesokannya, bertemu Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran RTM, Datuk Ruzain Idris untuk berbincang mengenai kerjasama dua hala antara PTVM, KKMM serta RTM, sejurus menang tanpa bertanding jawatan presiden kali ini.

“Pada masa sama, membangkitkan isu membabitkan kepentingan industri terutama berkaitan syarikat penerbitan dan ahli PTVM.

“Antaranya, kami memohon RTM membuat sesi ‘pitching’ sebanyak tiga kali dalam setahun berbanding sebelum ini, hanya sekali dalam setahun. Ekoran itu, mana-mana produksi yang terlepas dan tidak berkesempatan, boleh mencuba menyertai sesi pitching yang lain,” katanya kepada HIP.

Katanya, ia supaya lebih banyak syarikat produksi yang boleh menyertai sesi berkenaan dan pada masa sama, memberi peluang sama rata pada syarikat produksi lain.

“Memandangkan sekarang industri seni semakin pulih, banyak syarikat produksi boleh menjalankan penggambaran, jadi kami mohon RTM membuka peluang kepada lebih banyak syarikat produksi berbeza.

“Selain itu, kami menggalakkan kontrak yang lebih banyak diberikan kepada syarikat produksi yang mempunyai rekod bagus dan berpengalaman luas dalam industri penerbitan supaya syarikat boleh terus berkembang maju.

“Dari situ, syarikat ini boleh memberi peluang pekerjaan terutama pelajar dalam industri ini. Sebab kita lihat, syarikat yang ada tidak mampu menawarkan pekerjaan kepada graduan kerana pergi sesi pitching belum tentu dapat. Jadi, kami memohon RTM memberikan kontrak pada syarikat produksi berkelayakan,” katanya.

 

Datuk Jurey Latiff Rosli bersama Naib Presiden, Datuk A Aida ketika mengunjungi Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang baharu, Datuk Seri Mohammad Mentek. - Foto Datuk Jurey Latiff Rosli
Datuk Jurey Latiff Rosli bersama Naib Presiden, Datuk A Aida ketika mengunjungi Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang baharu, Datuk Seri Mohammad Mentek. – Foto Datuk Jurey Latiff Rosli

 

Bagaimanapun, Jurey berkata, dia bukan menidakkan keupayaan syarikat produksi baharu, cuma memohon RTM mengukur kemampuan sesebuah syarikat produksi sebelum kontrak diberikan.

Selain itu, katanya, PTVM turut menyuarakan supaya RTM membenarkan syarikat produksi menjalinkan kerjasama bersama stesen televisyen di luar negara.

“Maksudnya kandungan karya tempatan bukan hanya disiarkan di RTM, tetapi juga di luar negara. Kami mohon RTM bersetuju dan kami boleh berbincang dengan pihak luar untuk ditayangkan di luar negara. Kita memiliki kandungan bagus, takkanlah mahu ditayangkan di RTM saja.

“Contohnya, PTVM menjalankan kerjasama dengan syarikat penerbitan di Singapura supaya boleh ditayangkan di sana. Tidak mahukah kandungan tempatan ditayangkan di aplikasi seperti Netflix, Viu dan sebagainya. Cuma, RTM perlu memberi kebenaran kerana sebelum ini, tidak membenarkan kandungannya disiarkan di stesen lain.

“Kami turut mencadangkan kandungan RTM haruslah bertaraf antarabangsa supaya ia mampu disiarkan di luar negara,” katanya.

Oleh itu, Jurey memohon RTM mempertimbangkan permohonan berkenaan bersesuaian dengan kemajuan industri pada masa akan datang.

Jurey berkata, pihaknya juga sudah bersetuju untuk RTM bekerja lebih erat dengan PTVM bagi mengadakan kursus kepada syarikat penerbitan.

“Kita tahu ada masalah timbul daripada syarikat penerbitan apabila isu teknikal dan pengurusan tidak dipantau, jadi kami mencadangkan mereka memberikan kursus supaya dapat memberikan sijil kepada syarikat yang membekalkan kandungan di RTM.

“Sebelum ini, ada yang buka syarikat, mohon lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan berdaftar dengan KKMM, sudah boleh masuk sesi pitching di RTM, walaupun tiada pengalaman.

“RTM perlu menghentikan perkara ini. PTVM melihat perlu ada satu kaedah yang mana kita memberi sijil untuk memastikan mereka berkelayakan. Insya-Allah, kami mengharapkan adanya industri yang lebih kondusif untuk penggiat seni cari makan,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat