Kesungguhan Kerajaan Untuk Rakyat

- Advertisement -

Kedudukan kerajaan yang tidak kukuh bukan sahaja menyebabkan pihak lawan mengambil kesempatan, rakan sekutu juga akan sentiasa menunggu peluang merebut kuasa.

Justeru tidak hairanlah sejak Belanjawan 2021 dibentangkan 6 November lalu, cakap-cakap untuk menggagalkan undiannya menjadi sangat kuat. Sekiranya Belanjawan 2021 gagal diluluskan ia bermakna kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Dewan Rakyat.

Namun pada 26 November lepas, pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) telah diluluskan melalui undian suara.

Kelulusan melalui undian suara ini sangat anti-klimaks kepada segala macam sandiwara dan hiruk pikuk politik sejak ia kali pertama dibacakan minggu sebelumnya.

Sejak beberapa hari sebelum pengundian terdapat angin yang hampir pasti bahawa Belanjawan 2021 akan mencatat sejarah sebagai belanjawan yang kali pertama gagal dalam undian.

Ini kerana Belanjawan ini bukan sahaja ditolak oleh blok pembangkang tetapi juga dikenakan syarat ketat oleh Barisan Nasional yang berada dalam blok kerajaan. Barisan Nasional (BN) menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran “one-off” hingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP selain melanjutkan moratorium sehingga Jun 2021.

Namun akhirnya Belanjawan 2021 bacaan kali kedua diluluskan setelah pihak penentang gagal mendapat sokongan 15 orang Ahli Dewan Rakyat (ADR) untuk memaksa diadakan undian secara terperinci secara belah bahagi.

Apa yang menyedihkan hiruk-pikuk isu KWSP, moratarium dan menggagalkan undian belanjawan telah menenggelamkan perbincangan dan perbahasan mengenai strategi Belanjawan 2021 bagi membina Kesejahteraan Rakyat; Kelangsungan Perniagaan; dan Ketahanan Ekonomi.

RUU Perbekalan memohon kelulusan sejumlah RM322.50 bilion bagi perbelanjaan kerajaan pada tahun 2021. Ini merupakan belanjawan terbesar pernah dibentangkan dengan harapan ia bukan sahaja mampu menjaga kebajikan rakyat tetapi juga memulihkan ekonomi negara.

Antara yang menarik perhatian penulis ialah penambah baik bantuan tunai bersasar melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). BPR merupakan penjenamaan semula dari, Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Antara penambah baik yang dilakukan ialah mengambil kira pendekatan isi rumah dan bilangan isi rumah. Ini bagi memastikan pemberian bantuan lebih adil kepada keluarga yang memerlukan.

Contohnya, isi rumah yang berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200, manakala isi rumah yang mempunyai 2 orang anak atau lebih akan menerima bantuan RM1,800.

Ada beberapa kategori lagi yang para pembaca boleh semak dalam teks belanjawan dan menampakkan penambahbaikan yang menguntungkan rakyat.

Secara keseluruhan, pemberian BPR ini dijangka akan memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan RM 6.5 bilion berbanding dengan 4.3 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion di bawah BSH sebelum ini.
Peningkatan dan pengklasifikasian semula sangat signifikan kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

Kumpulan Rentan

Kerajaan juga mengumumkan kenaikan bantuan bulanan kepada kumpulan rentan atau kurang perlindungan sosial.

Elaun orang kurang upaya (OKU) yang tidak berupaya bekerja dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 ringgit. Kadar Bantuan Warga Emas dan Bantuan Penjagaan OKU dan Pesakit Kronik Terlantar dinaikkan daripada RM350 kepada RM500. Manakala kadar elaun pekerja OKU dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.
Selain itu kadar bantuan bulanan Kanak-kanak Keluarga Miskin turut dinaikkan daripada maksimum RM450 sebulan kepada RM1,000 sebulan. Peningkatan lebih sekali ganda ini jelas merupakan komitmen kerajaan membela kumpulan bawahan.

Apa yang perlu kita perhatikan juga ialah pada Julai 2020 kerajaan telah menaikkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional kepada RM2,208 bagi setiap isi rumah berbanding RM908 sebelum ini. Ini sekaligus meluaskan kumpulan yang akan dibantu kerajaan dalam tahun 2021.

Dalam menjaga kesejahteraan rakyat juga had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak bagi penyakit serius telah dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000 ringgit.
Had pelepasan cukai bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh dinaikkan daripada 500 kepada 1,000 ringgit. Selain itu, had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan bagi rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa juga dinaikkan dari 5,000 kepada 8,000 ringgit.

Ini semua hanyalah sebahagian kecil ratusan langkah kerajaan dalam Belanjawan 2021 bagi menjaga kesejahteraan rakyat. Hampir RM28 bilion dperuntukan khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif langsung kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

Selain bantuan secara langsung kepada rakyat kerajaan turut menyediakan pelbagai inisiatif dan insentif bagi memulihkan ekonomi.

Antaranya inisiatif Geran Prihatin Khas (GPK) yang dibuka semula dengan peruntukan sebanyak RM 600 juta bagi anggaran sebanyak 200 ribu penerima kalangan PKS (perusahaan kecil dan sederhana) Mikro adalah sangat tepat bagi memastikan kerancakan semula aktiviti ekonomi di kalangan peniaga kecil tempatan.
Sayangnya semua ini dan banyak lagi pengumuman penting Belanjawan 2021 yang pro-rakyat tenggelam dalam isu yang tiada kena mengena dengan RUU Perbekalan 2021 ini.

Sungguhpun perubahan dalam pengeluaran wang KWSP dan moratarium yang diumumkan tidak seratus peratus sama seperti yang diminta, ia masih memperlihatkan peningkatan jumlah pencarum yang terbabit dan menunjukkan kesungguhan kerajaan mahu memenuhi hasrat semua pihak.

Sesuatu yang perlu diingat, tanpa KWSP dan moratarium pun, Belanjawan 2021 telah mempamerkan sifat prihatin, ihsan dan bersungguh kerajaan menangani rakyat yang terkesan teruk akibat pandemik koronavirus ini.

*Artikel ini sedutan dari akhbar Wilayahku edisi 4-10 Disember 2020.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat