Telefon ayah bahan eksperimen

- Advertisement -

Siapa sangka, dia yang asalnya bercita-cita ingin menjadi guru namun kini memilih kerjaya tetap sebagai juruvideo dan penyunting bebas sejak tujuh tahun lalu.

Azrul Azizi Abdul Aziz, 31, mengakui pernah melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) Melaka.

“Sebaik menamatkan pengajian di sana, saya menjalani latihan praktikal di sebuah sekolah menengah di Melaka.

“Bagaimanapun, selama sebulan saya mengajar pelajar tingkatan satu dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Namun saya dapati diri saya tidak mempunyai jiwa ke arah bidang itu,” kata bapa kepada dua anak itu.

Dia kemudian nekad membuat keputusan menceburi bidang kreatif (videografi) sebagai mata pencarian utama bagi menyara diri dan keluarga.

“Selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah saya mencari pengalaman dengan bekerja di Singapura sebagai pembantu restoran selama hampir setahun dan sepanjang tempoh itu saya cuba mencari peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana pula.

 

BEKERJA sebagai juruvideo bebas memberi peluang kepada Azrul menerokai kepelbagaian budaya rakyat Malaysia.
BEKERJA sebagai juruvideo bebas memberi peluang kepada Azrul menerokai kepelbagaian budaya rakyat Malaysia.

 

“Alhamdulillah dengan duit simpanan, saya dapat membiayai pengajian dan lebih manis lagi di situlah saya bertemu jodoh dengan rakan sekelas,” katanya.

Akuinya, minat terhadap audio visual kreatif bermula sejak dia berusia 15 tahun lagi selepas bapanya membeli sebuah telefon pintar yang dilengkapi kamera

“Saya jadikan telefon ayah sebagai bahan eksperimen untuk merakam dan menyunting visual pelbagai subjek dengan kehidupan harian keluarga sebagai subjek tumpuan.

“Dari situlah saya melihat potensi boleh dikembangkan lagi walaupun hakikatnya ibu saya inginkan saya menjadi seorang pendidik,” katanya.

Menurutnya, ketika memulakan kerjaya

berkenaan, beliau sering diperlekehkan dan dipandang sebelah mata kerana segelintir pihak beranggapan kerjaya itu tidak menjamin masa depan.

“Selain itu, saya sering berasa begitu kerdil berbanding dengan rakan-rakan yang mempunyai kerjaya hampir sama dan terbabit lebih lama dalam bidang berkenaan.

 

MENJAYAKAN penggambaran dokumentari Yak Kan Putus Asak di Gua Musang, Kelantan
MENJAYAKAN penggambaran dokumentari Yak Kan Putus Asak di Gua Musang, Kelantan

“Ketika bertemu rakan sealiran, kami sering bertukar-tukar pandangan idea, kreativiti, peralatan dan perkembangan teknologi audio visual. Kebanyakan apa yang diutarakan mereka, saya tidak memahaminya kerana masih terkial-kial untuk mengenal pasti jenis peralatan, teknologi, kaedah melaksanakan kerja dan tidak mempunyai reputasi serta klien tetap.

“Namun, ia tidak menjadikan saya patah semangat untuk memajukan diri dan meningkatkan pemahaman budaya kerja dalam bidang ini,” katanya.

Kini selepas hampir tujuh tahun terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam bidang ini, beliau boleh berbangga dengan pencapaian peribadi yang kini menjadi sumber rezeki untuk kelangsungan hidup.

Antara hasil buah tangan Azrul yang turut mencintai dunia fotografi ialah penerbitan dokumentari Yak Kan Putus Asak (bahasa Orang Asli Bateq) iaitu merupakan kerjasama terbitan antara sebuah syarikat akhbar tempatan dengan Facebook, video komersial minyak masak Muri, penerbitan dokumentari di beberapa stesen televisyen dan puluhan video perkahwinan pasangan raja sehari.

 

BERSAMA isteri selepas selesai majlis Konvokesyen UiTM 2017 di Shah Alam.
BERSAMA isteri selepas selesai majlis Konvokesyen UiTM 2017 di Shah Alam.

 

Tambahnya, perkembangan teknologi dan pengeluaran pelbagai produk audio visual yang begitu pantas di mana setiap hari terdapat pelbagai kamera, telefon pintar, peralatan audio, pelbagai jenis lensa dikeluarkan pengeluar antarabangsa.

“Selain harga yang begitu tinggi, sebagai penggiat dalam bidang kreatif ini, saya perlu sentiasa bersedia mengadaptasi perkembangan teknologi dan memahami kehendak pelanggan yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.

“Tidak dapat dinafikan terdapat pelanggan yang begitu cerewet terhadap bahan video yang dirakam dan disunting. Di sinilah terletaknya kesabaran dan kemahiran perhubungan awam untuk berurusan dengan pelanggan yang mempunyai sikap begitu,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat