Bintang legenda, BBNU gegar Axiata Arena

- Advertisement -

 

KUALA LUMPUR: Persis persembahan sebenar pada malam kemuncak. Itulah gambaran yang dapat diberi ketika menyaksikan sesi latihan segmen persembahan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 yang dikendalikan Primeworks Studios (PWS) di Studio Kamar Seni, Cheras, Kuala Lumpur, kelmarin.

Seronok dan teruja melihat kesungguhan barisan artis apabila masing-masing memberikan komitmen jitu memandangkan acara akan berlangsung dalam tempoh kira-kira seminggu lagi.

Boleh dikatakan kebanyakan mereka berusaha memberikan yang terbaik walaupun sekadar latihan. Meskipun berbeza genre muzik dan konsep persembahan yang bakal diketengahkan, namun mereka bagaikan sebuah keluarga.

Buktinya, sebaik saja seseorang artis selesai membuat latihan, tepukan gemuruh dihadiahkan sebagai tanda sokongan dan menaikkan semangat setiap artis terbabit.

Berdasarkan apa yang dipersembahkan itu, tidak mustahil, malam kemuncak ABPBH 33 yang bakal dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, menjanjikan persembahan memukau.

Lebih penting, ABPBH meneruskan tradisi menghimpunkan penyanyi baharu dan lama bagi menyemarakkan lagi segmen yang menjadi tunggak dalam sesebuah acara berkonsepkan anugerah.

Artis yang bakal menghangatkan pentas ABPBH 33 adalah Faizal Tahir, Elly Mazlein, Syamel, Zizi Kirana dan Dolla; Ernie Zakri dan Hafiz Suip; Azlan Typewriter, Yonnyboii dan Zynakal serta Naim Daniel, Tuju dan Man Keedal.

Tidak ketinggalan, Aina Abdul, Indah Ruhaila, Tomok dan Lan Solo serta pasangan adik-beradik, Liza dan Azlina Aziz bersama Noki K-Clique.

Mengulas sesi latihan yang dijalankan, Pengarah Muzik ABPBH 33, Mohamad Sharhan Syazwan Mohd Ashri atau Chaan berpuas hati dengan komitmen semua artis.

“Ini adalah sesi latihan pertama. Saya berpuas hati dengan kerjasama dan komitmen ditunjukkan penyanyi yang terbabit dalam segmen persembahan.

“Mereka sudah bersedia dan faham apa yang sepatutnya dilakukan terutama dari segi nyanyian dan penghayatan.

“Berdasarkan latihan, saya akan melihat bahagian mana perlu dibuat penambahbaikan.

“Selain itu, disiplin barisan artis sangat bagus apabila datang tepat pada masanya,” katanya kepada BH Online.

 

Pengarah Muzik ABPBH 33, Mohamad Sharhan Syazwan Mohd Ashri. - NSTP/Saifulizan Tamadi
Pengarah Muzik ABPBH 33, Mohamad Sharhan Syazwan Mohd Ashri. – NSTP/Saifulizan Tamadi

 

Chaan berkata, latihan berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti mengasingkan sesi latihan.

“Setiap artis sudah dimaklumkan mengenai masa latihan dan mereka perlu datang mengikut jadual untuk mengelak berkumpul terlalu ramai pada satu masa,” katanya yang banyak menimba pengalaman dengan maestro muzik, Datuk Ramli MS dan Allahyarham Lok U yang sinonim dengan ABPBH.

Pada malam kemuncak, semua penyanyi akan diiringi 14 pemuzik dan dua penyanyi latar.

Sementara itu, kebanyakan artis yang terbabit dalam sesi latihan meluahkan rasa teruja dan tidak sabar untuk beraksi pada malam kemuncak ABPBH 33.

Penyanyi dan komposer popular, Faizal berkata, persembahan pada malam itu bakal menyaksikan satu pembaharuan dalam dirinya.

“Selain bakal beraksi dengan penyanyi muda, saya juga akan menonjolkan sisi berbeza dari segi gaya nyanyian. Kalau hendak tahu, kenalah tonton,” ujarnya berahsia.

 

Bakat baharu, Zynakal (kiri) dan Yonnyboii berlatih bagi memantapkan segmen persembahan. - NSTP/Saifulizan Tamadi
Bakat baharu, Zynakal (kiri) dan Yonnyboii berlatih bagi memantapkan segmen persembahan. – NSTP/Saifulizan Tamadi

 

Bagi kumpulan yang popular menerusi single Make You Wanna, Dolla, persembahan malam kemuncak bakal menguji kemampuan mereka beraksi atas pentas berskala besar.

“Tidak dinafikan persembahan ini memberi cabaran buat kami yang masih baharu. Ini adalah peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan dan tentunya kami akan memberi yang terbaik,” kata anggota Dolla.

Pada malam kemuncak, Yonnyboii bersama pasangan duet, Shalma Eliana akan mempersembahkan lagu tema Xiaomi Malaysia iaitu Xiaomi For Me!

Pentas ABPBH 33 juga dihangatkan dengan sketsa komedi dijayakan Khir Rahman, Liza Abdullah, Nora Danish, Joey Daud, Man dan Kaka Azraff, manakala Datuk AC Mizal dan Nabila Huda bertindak sebagai pengacara.

Malam kemuncak ABPBH 33 akan disiarkan secara langsung di TV3, saluran Tonton, YouTube TV3 dan BH termasuk laman web ABPBH di www.abpbh.com.my pada Jumaat, 13 November ini, mulai jam 9 malam. Buat julung kalinya, acara anugerah berprestij ini turut disiarkan laman aplikasi TikTok.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat