Saifuddin Cadangkan OIC Tubuh Yayasan Pendidikan Pelarian

- Advertisement -

SEPANG – Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah mencadangkan penubuhan Yayasan Pendidikan Pelarian Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi merancang, mempermudah dan membangunkan intervensi dalam semua bidang pendidikan untuk pelarian.

Bercakap pada Seminar Antarabangsa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (OIC-IPRC) Tetap Bebas kelapan di sini pada Rabu, beliau berkata ini termasuk mengenal pasti institusi sedia ada, awam dan swasta di peringkat sekolah rendah, menengah dan pendidikan tinggi bagi membolehkan pelajar golongan pelarian mendapat pendidikan.

“Kompleks sekolah untuk pelajar pelarian, termasuk aset, perabot, peralatan, pengangkutan dan penginapan pelajar. Kurikulum yang lengkap dan bersesuaian serta bersepadu dan seimbang yang menjamin pendidikan berkualiti,” katanya.

Saifuddin turut menggariskan keperluan untuk akreditasi dan pengiktirafan antarabangsa bagi pensijilan, biasiswa untuk pelajar pelarian, latihan guru dan pembangunan kerjaya termasuk untuk guru pelarian serta kursus dan tunjuk ajar bagi menyokong pelajar pelarian.

Bidang lain termasuk urusan undang-undang seperti pasport dan dokumentasi imigresen, kad pelarian dan visa pelajar bagi memastikan tiada halangan pentadbiran untuk mendaftarkan pelajar pelarian.

Beliau berkata yayasan itu juga boleh memudahkan perkongsian dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama dengan pelarian di negara OIC bagi memastikan perkhidmatan perlindungan dan bantuan kepada pelajar pelarian dan keluarga mereka.

“Yayasan sedemikian yang diketuai OIC amat diperlukan dan akan memberi peluang kepada kanak-kanak serta remaja pelarian untuk berubah daripada menjadi “generasi yang hilang” kepada menjadi pemimpin dan penyumbang kepada masa depan, untuk membina negara mereka apabila perang berakhir atau menyumbang kepada pembangunan negara tuan rumah baharu mereka,” katanya.

Saifuddin berharap cadangannya akan dimasukkan dalam Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Hak dan Akses kepada Pendidikan untuk Pelarian yang akan dibacakan Pengerusi IPHRC Dr Haci Ali Acikgul pada akhir seminar pada Khamis.

Berdasarkan statistik Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Saifuddin berkata sehingga akhir 2021 terdapat kira-kira 27.1 juta pelarian dan 4.6 juta pencari suaka di seluruh dunia.

Saifuddin berkata menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO), 50 peratus pelarian dan pencari suaka dalam populasi global terdiri individu di bawah umur 18 tahun. Bagaimanapun, disebabkan beberapa faktor kebanyakan mereka tidak mempunyai akses kepada pendidikan.

Bagi menyediakan pendidikan kepada pelarian, Saifuddin berkata negara tuan rumah perlu mempunyai keazaman politik yang kuat, perancangan dasar yang bernas dan sumber mencukupi.

“Sebagai antara negara yang menempatkan pelarian buat sementara waktu, kami mengakui masih banyak yang perlu dilakukan dalam menyediakan pendidikan kepada pelarian di negara ini,” katanya.

Beliau berkata sehingga Ogos 2022 hanya 44 peratus (5,046) kanak-kanak pelarian di Malaysia telah mendaftar dalam pendidikan rendah dan 16 peratus (874) belia pelarian mendaftar dalam pendidikan menengah.

Seminar Antarabangsa OIC-IPHRC kelapan bertemakan “Perspektif Islam Dalam Perlindungan Pelarian – Hak dan Akses kepada Pendidikan” dihadiri kira-kira 200 peserta termasuk perwakilan dan pemerhati dari lebih 40 negara.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat