UMNO ada pelan jika pindaan perlembagaan tak lulus

- Advertisement -

PETALING JAYA: UMNO mempunyai pelan selanjutnya jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak meluluskan pindaan perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bagaimanapun pihaknya tidak boleh mendedahkan butiran pelan tersebut kerana masih di bawah perancangan parti.

Namun katanya, UMNO masih mengharapkan satu keputusan positif agar pindaan yang diluluskan sebulat suara perwakilan itu dibenarkan oleh RoS.

“Sehingga kini, kami masih menunggu kata putus RoS yang dikatakan akan dibuat sebelum 16 Julai ini. Malah UMNO telah menyerahkan segala dokumen dan keperluan seperti dikehendaki mereka,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan RoS mempunyai masa sehingga 16 Julai untuk meluluskan pindaan perlembagaan UMNO bagi menangguhkan pemilihan parti berkenaan.

Perhimpunan Khas UMNO bulan lalu meluluskan usul meminda perlembagaannya iaitu memberi pilihan kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk menentukan tarikh pemilihan parti dengan klausa baharu yang dimasukkan di bawah Fasal 10.16 adalah pemilihan dalam tempoh enam bulan selepas PRU.

Keputusan pindaan itu kemudian diserahkan kepada RoS untuk disemak dan diteliti dengan agensi itu mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk menerima atau mengemukakan maklum balas selainnya.

Sementara itu, Ahmad menafikan lima kepemimpinan tertinggi UMNO masih belum duduk berbincang tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meskipun ketetapan itu dikemukakan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Mac lalu.

Katanya, perbincangan tersebut baharu sahaja berlangsung ketika mesyuarat MT yang berlangsung pada 24 Jun lalu.

“Mereka dah banyak bincang, tetapi saya tidak tahu apakah butiran perbincangannya kerana saya bukan dalam kalangan lima jawatan tertinggi parti,” katanya.

Sementara itu, pakar perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, tidak ada sebab Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan pindaan perlembagaan UMNO itu kerana jabatan berkenaan pernah meluluskan pindaan serupa kepada MCA iaitu melanjutkan pemilihan parti selewat-lewatnya enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

Beliau berkata, pertimbangan kelulusan juga wajar dibuat kerana perkara pindaan itu tidak pernah dicabar di mahkamah.

Justeru, kata beliau, kelewatan membuat keputusan dalam tempoh tidak munasabah tidak wajar berlaku, malah ROS perlu menghormati keputusan perwakilan mana-mana pertubuhan yang sah dan tidak boleh melakukan sebarang tindakan yang boleh mengundang isu kewibawaannya sebagai penjawat awam.

“Itu termasuk hak kebebasan asasi untuk berpersatuan dan tidak boleh ada diskriminasi antara parti politik,” katanya di sini semalam.

Ahmad Fauzi yang juga Pengasas Jurisprudens Watan dari UMP berkata, sekatan untuk tidak meluluskan pindaan perlembagaan parti hanya boleh dibuat jika ada peruntukan undang-undang yang membenarkan.

Beliau menjelaskan, Perkara 5 hingga 13 adalah menyentuh kebebasan asasi, yang mana kebebasan berpersatuan termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Akta Pertubuhan jelas mengiktiraf kuasa perwakilan dalam penggubalan Peraturan Perlembagaan, maka pindaan tersebut sewajarnya diluluskan jika prosedur dipatuhi.

“Soal justifikasi dan kewajaran pindaan itu adalah hak ahli pewakilan, bukan ROS selagi tiada percanggahan dengan apa jua undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Untuk rekod, Perhimpunan Agung MCA pada Disember 2019 memutuskan untuk meminda perlembagaan parti yang antara lain menetapkan pemilihan kepimpinan hanya akan dibuat selewat-lewatnya enam bulan selepas PRU atau selepas 36 bulan daripada pemilihan parti sebelum ini.

ROS sebelum ini memberi kebenaran kepada UMNO menangguhkan pemilihan parti sehingga Disember ini meskipun tempoh pemegang jawatan Majlis Tertinggi (MT) bagi penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun 2021.

– UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat