Sokongan global perlu bagi tangani COVID-19

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Usaha setiap negara menentang penularan COVID-19 ketika ini perlu mendapat sokongan dan kerjasama di peringkat global.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata saling kebergantungan dan usaha sama perlu diberikan keutamaan bagi matlamat kemanusiaan serta harapan bersama.

Beliau yang berucap pada Sesi Khas ke-31 di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), secara dalam talian, pagi tadi, berkata pandemik COVID-19 menuntut tindakan yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

Katanya, usaha sesebuah negara terhadap pencarian pemulihan sepenuhnya bukanlah sesuatu yang linear, sebaliknya ia perlu mengimbangi faktor kesihatan awam, ekonomi dan sosial bagi sesebuah negara.

“Persoalannya, bagaimana kita keluar daripada keadaan ini? Kita memerlukan vaksin, yang mudah diperolehi, vaksin yang saksama serta mampu dimiliki.

“Pendirian kami dalam hal ini jelas, sesiapa yang menemuinya (vaksin) perlu berkongsi. Bukan saja ia adalah tanggungjawab global, ia juga tanggungjawab moral.

“Malaysia sangat bertegas bahawa sesuatu vaksin, apabila ia dibangunkan, perlu mempromosikan kerjasama antarabangsa berbanding dengan pertandingan berbentuk kenegaraan,” katanya.

Pada masa sama, Hishammuddin berkata, dunia juga berdepan dengan isu maklumat salah berkaitan dengan vaksin, ketika beberapa syarikat mengumumkan keputusan positif kajian yang dijalankan.

Katanya, ketika dunia kini mempunyai sedikit harapan dalam mengakhiri pandemik COVID-19,

namun wujud maklumat salah pada setiap masa dalam media sosial mengenai pelalian dan pengubahan DNA.

Hishammuddin berkata, motif utama kempen ini adalah untuk mengeliru serta menjejaskan kepercayaan dalam bidang perubatan yang akhirnya menyebabkan pandemik ini berterusan.

“Ia mudah, maklumat salah menyebabkan kehilangan nyawa, terutama ketika kita sedang menyediakan program pelalian kebangsaan untuk rakyat kita.

“Kesedaran umum mengenai keperluan terhadap vaksin adalah penting dalam menghalang berlakunya suasana ketakutan dan pecah belah ketika ia dilaksanakan.

“Propaganda anti vaksin bukan sesuatu yang baharu, ia sekadar gejala kepada isu lebih besar iaitu hakisan kepercayaan terhadap pihak berkuasa, pakar dan penafian terhadap sains,” katanya.

Justeru, beliau berkata, perkara negatif yang dihasilkan oleh propaganda sedemikian perlu ditangani secara langsung.

Hishammuddin berkata, adalah suatu tragedi apabila penyokong kepada mereka yang berkempen menentang konsep pelalian ini dibiarkan berkembang, berikutan ia berisiko memberi pengaruh yang merosakkan kepada masyarakat umum dan mengancam berjuta-juta nyawa.

Beliau berkata, ia berikutan, ketika COVID-19 kini menjadi musuh utama, bahaya maklumat salah juga adalah nyata dan mampu mengganggu kejayaan yang dicapai ketika ini.

Selain itu, Hishammuddin berkata, Malaysia kekal komited untuk bekerja bersama-sama dengan PBB dan semua negara anggota manakala, multilateralisme perlu diteruskan untuk memberi hasil kepada semua.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat