Jual Ladang Sawit, Langgar Perjanjian PN Punca Ahmad Faizal Hilang Sokongan – Najib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berpendapat kehilangan sokongan pada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpunca dari beberapa perkara yang tidak disenangi UMNO Perak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dua isu utama ialah penjualan ladang sawit 15,000 hektar milik kerajaan negeri secara rundingan terus tanpa tender dan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Perak.

“Pada tahun lepas, Allahyarham ADUN Slim UMNO (Datuk Khusairi Abdul Talib) telah memberi amaran kepada kerajaan PH serta Menteri PH dulu untuk tidak menjual ladang sawit 15,000 hektar pada ketika harga minyak sawit murah kepada sebuah syarikat Taiko Plantations Pte Ltd yang berpengkalan di Singapura.

“Ladang ini dah lama dimilik kerajaan Perak di bawah BN dan Allahyarham ADUN Slim pernah menjadi pengerusi syarikat kerajaan negeri yang memiliki ladang itu,”katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Hari ini, Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti ADUN dalam usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ (undi percaya) yang dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Dalam undi sulit terhadap usul itu, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya menerima 10 undi menyokong beliau sebagai Menteri Besar manakala 48 ADUN tidak menyokong dan satu berkecuali.

Usul tersebut dibawa oleh ADUN Pengkalan Baru daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Abd Manap Hashim.

Najib berkata, Allahyarham pernah menyatakan nilai ladang tersebut adalah sebanyak RM1.03 bilion dan memberi keuntungan besar sebanyak RM40 juta setiap tahun kepada negeri Perak sebelum pertukaran kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tambah beliau, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak tumbang dan Ahmad Faizal terus meminpin Perak di bawah Pakatan Nasional (PN) penjualan ladang tersebut dilakukan secara rundingan terus tanpa tender walaupun harga minyak sawit kini mencecah RM3,400 satu tan berbanding RM1,800 hingga RM2,000 satu tan tahun lalu.

Harga jualan yang diumum pada bulan April 2020 selepas kerajaan PN Perak ambil alih ialah RM342 juta sedangkan nilai keseluruhan ladang itu adalah RM1.03 bilion mengikut apa yang dimaklumkan oleh pengerusi terdahulu atau hanya 35% daripada harga asal.

Sementara itu, Najib memberitahu, pelantikan ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim sebagai Setiausaha Politik Ahmad Faizal tanpa merujuk dan mendapat persetujuan daripada kepimpinan UMNO negeri turut menjadi punca kepada kehilangan sokongan kepada Menteri Besar itu.

Ujarnya, UMNO Perak sudah lama berjaga-jaga setelah Bersatu Perak mengambil beberapa orang ADUN UMNO selepas PRU14 yang menyaksikan satu perjanjian dibuat apabila kerajaan PN Perak dibentuk selepas PH jatuh pada bulan Mac.

“Antaranya ialah setiap pelantikan politik perlu mendapat persetujuan parti masing-masing.

“Walaupun UMNO telah beberapa kali memberi amaran kepada MB Perak untuk tidak lantik ADUN UMNO menjadi setiausaha politik dia, MB Perak tidak mahu hirau,” katanya sambil menambah tindakan tersebut seolah-olah UMNO Perak dan perjanjian antara parti tidak penting.

Dalam pada itu, Najib menafikan dakwaan UMNO Perak berpakat dengan DAP dan PKR untuk menumbangkan Menteri Besar Perak itu.

“Ini tidak benar sebab PH Perak dah lama tunggu peluang untuk tumbangkan MB Perak sebab PH rasa mereka pernah dikhianat MB Perak yang juga membawa lari beberapa ADUN PH pada bulan Februari tahun ini.

“Sebab itu, PH Perak tak akan beri undi sokong kepada MB Perak apabila undi percaya dilakukan dalam DUN Perak,” ujarnya. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat